Pakatan Rakyat mohon YDP Agong tangguh pelantikan Najib
Harakahdaily Thu | Apr 02, 09 | 4:13:56 pm MYT | |
KUALA LUMPUR, 2 April (Hrkh) - Pakatan Rakyat memohon limpah restu Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin agar menangguhkan pelantikan Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keenam, yang dijadualkan jam 10 pagi esok. Dalam surat yang dihantar ke Istana Negara, Pakatan Rakyat memohon YDP Agong membuat penangguhan itu supaya beliau disiasat dan dibersihkan terlebih dahulu daripada pelbagai tuduhan yang dihadapkan kepada Timbalan Perdana Menteri. Berikut disertakan surat yang dihantar ke Istana Negara:
Mengadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud al-Muktafi Billah Shah Yang bersemayam di atas takhta Kerajaan Malaysia dengan beberapa amat kebesaran dan kemuliaannya. Assalamualaikum dan Salam Sejahtera, Ampun Tuanku, Dengan hormat dan takzimnya patik sekalian merafa'kan sembah dan berdoa kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala, mudah-mudahan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sentiasa berada dalam keadaan selamat dan kesejahteraan. Ampun Tuanku, MEMOHON PERKENAN UNTUK MENANGGUHKAN LANTIKAN PERDANA MENTERI BARU SEHINGGA NAMA BELIAU DIBERSIHKAN OLEH SURUHANJAYA BEBAS Patik sekalian mewakili semua 81 Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dengan penuh takzim ingin merafa' sembah mengenai rancangan YAB Perdana Menteri untuk mengadap Seri Paduka Baginda pada 2 April ini bagi menyatakan hasrat meletakkan jawatan dan menyerahkan jawatan beliau kepada YAB Timbalan Perdana Menteri yang merupakan Presiden Umno yang baru. Ampun Tuanku, Jawatan Perdana Menteri ini merupakan suatu jawatan tertinggi dalam negara yang menjadi maruah sesebuah negara. Jawatan yang sebegitu penting seharusnya diberikan kepada individu terpilih yang bersih dan tidak dipersoalkan integritinya. Baru-baru ini terdapat banyak skandal yang mengaitkan nama YAB Timbalan Perdana Menteri seperti komisyen pembelian kapal selam Scorpene yang melibatkan negara Perancis. Yang paling mengejutkan adalah peristiwa pembunuhan seorang wanita Mongolia yang dikatakan turut mengaitkan nama beliau. Perkara di atas telah tersebar ke seluruh dunia dan diulas di banyak akhbar dan majalah seluruh dunia. Oleh kerana perkara di atas begitu banyak diperkatakan dan memandangkan jawatan Perdana Menteri begitu penting buat negara ini, adalah amat wajar sekiranya Seri Paduka Baginda menangguhkan lantikan Perdana Menteri yang baru ini sehingga segala dakwaan berkenaan disiasat oleh sebuah Suruhanjaya Bebas dan nama beliau dibersihkan demi menjaga maruah negara ini. Ampun Tuanku, Patik sekalian akhiri warkah yang tidak sepertinya ini dengan sekalung penghargaan ke atas keprihatinan dan pertimbangan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Mudah-mudahan Allah Subhanahu Wata'ala melanjutkan usia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan seluruh kerabat Tuanku dan semoga sentiasa berada di dalam kesejahteraan dan kebahagiaan yang berkekalan. Amin Ya Rabbal 'Alamin Ampun Tuanku, Patik sekalian dengan segala hormat takzimnya; Bagi pihak Ahli Parlimen Pakatan Rakyat YB Dato' Seri Anwar Ibrahim YB Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang YB Lim Kit Siang SENARAI AHLI PARLIMEN PARTI KEADILAN RAKYAT 1. YB Ahmad bin Kassim SENARAI AHLI PARLIMEN PARTI ISLAM SEMALAYSIA 31. YB Ustaz Nasir Zakaria SENARAI AHLI PARLIMEN DEMOCRATIC ACTION PARTY 52. YB Lim Guan Eng |
0 komen:
Post a Comment