Wednesday, September 28, 2011

Presiden PAS Berucap Di Sidang Antarabangsa Tehran

Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang 
Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah diberi penghormatan menyampaikan ucapan di Persidangan Antarabangsa Kebangkitan Islam di Tehran pada Sabtu lalu. Persidangan yang disertai oleh 700 perwakilan dari seluruh negara umat Islam itu membincangkan konflik terkini yang berlaku di Asia Barat seperti di Mesir, Tunisia, Libya, Yaman, Syria dan Palestin.

Ucapan yang bertajuk 'Kebangkitan Islam : Kebijaksanaan Menanganinya' disampaikan pada sesi ketiga persidangan yang turut dihadiri oleh Presiden Iran, Mahmud Ahmadinajad. Menurut Abdul Hadi, menjadi kewajipan kepada umat Islam untuk mengambil langkah segera menggantikan kerajaan yang tumbang di Asia Barat dengan kerajaan Islam yang adil untuk semua. Ketika semua mata tertumpu kepada Asia Barat dan negara umat Islam khususnya, penting bagi kita untuk memastikan kerajaan yang menggantikan diktator yang jatuh di Asia Barat melaksanakan syariat Islam dan berlaku adil kepada semua termasuk kepada bukan Islam. Menurut beliau, kesempatan fenomena kebangkitan ini mestilah diisi dengan mengilmukan rakyat yang ramai masih jahil di negara-negara umat Islam.

Di samping itu beliau juga menyeru supaya negara-negara umat Islam segera menangani konflik di Syria, kerana ia menjadi pintu kepada pejuang-pejuang pembebasan Palestin seperti Hamas, Jihad Islami dan lain-lain. Begitu juga dengan konflik di Yaman, Bahrain, Libya dan lain-lain negara mestilah diselesaikan dengan bijaksana supaya kerajaan baru yang dibentuk tidak mengulangi dasar dan sistem pemerintahan yang sama dengan kerajaan sebelumnya.

Turut menyampaikan ucapan ialah wakil Hamas Dr Musa Abu Marzuq, bekas Presiden Afghanistan, Dr Burhanudin Rabbani yang mati dibunuh dua hari selepas persidangan, Penasihat Jamiat Islami Pakistan, Sheikh Qazi Husin Ahmad, pemimpin Ikhwanul Muslimin Mesir, Dr Kamal Halabawi dan beberapa wakil lagi.

Ustaz Abdul Hadi turut ditugaskan mempengerusikan salah satu sesi sidang tersebut dan mengetuai bengkel khas tentang sejarah kebangkitan Islam melibatkan lebih 100 orang wakil pelbagai negara. Persidangan selama dua hari itu turut dihadiri wakil daripada lebih 70 buah negara umat Islam dan juga tokoh-tokoh akedemik dari Universiti Al Azhar, Turki dan Iran.

sumber : pas.org.my

Monday, September 26, 2011

Ketua UMNO Bahagian Dungun Dan Ahli Parlimen Dungun Tidak "Berlaga Daun"

DUNGUN 26 September, Isnin - Perbalahan yang terus berlaku di kalangan pemimpin Umno di negeri Terengganu menyebabkan pembangunan dan kemajuan tidak dapat dilaksanakan dengan baik.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli dalam program yang dihadiri Timbalan Perdana Menteri (TPM) Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 20 September lalu, Ahli Parlimen Dungun tidak hadir kerana berbalah dengan Ketua Umno Bahagian Dungun.

"Ketua (Umno) Bahagian Dungun dengan Ahli Parlimen Dungun tidak 'berlaga daun', itulah saudara tengok pelik gambar (program) di Dungun ini,

"gambar (sekiranya) ada ahli parlimen (ada) tidak ada (gambar) Ketua Bahagian, gambar (kalau) ada Ketua Bahagian (tidak ada (gambar) Ketua Bahagian,"katanya dalam majlis ceramah sempena Hari Keluarga DUN Sura, pada Sabtu 24 September.

(Gambar - Pesuruhjaya PAS Terengganu, Y.B. Haji Mohd Abdul Wahid turut memeriahkan Hari Keluarga DUN Sura dengan mencuba permainan 'baling bola')

Katanya beliau mendapat salinan surat menyatakan program tersebut sepatutnya diadakan di KETENGAH berdasarkan permohonan Ahli Parlimen Dungun kepada TPM.

Tetapi, katanya, program tersebut dicantas oleh Ketua Umno Bahagian Dungun dan diadakan di 'Arena Square' dalam bandar Dungun.

"hari ini orang beri saya (satu) surat, kes ini sebab nak ajak TPM ke Dungun 20hb baru ni, dalam surat ini jemput TPM ke majlis pecah tanah yag dijadualkan bertempat di tapak projek di KETENGAH,

"tiba-tiba Ketua Umno Bahagian (Dungun) 'kerat' bawa mari (TPM) berjamu di tempat Arena Square,"jelasnya.

Sehubungan itu, Ustaz Wan Hassan yang juga Yang DiPertua PAS Dungun menyeru supaya rakyat Dungun supaya menukar kerajaan dlam pilihanraya umum yang akan datang untuk melaksanakan pembangunan yang lebih baik.

Beliau berkata demikian ketika mengulas janji demi janji yang ditaburkan oleh pemimpin Umno berhubung pembinaan hospital Dungun yang tertangguh sekian lama.

"Timbalan Perdana Meneri datang ke Dungun (baru-baru ini) berjanji pula, hospital Dungun ini dia akan tengoklah kata dia, ramai dah yang (menabur) janji, bukan seorang dua, dalam Dewan (sidang DUN) berapa kali saya bangkit dah,

"Rancangan Malaysia ke-9 tidak berjalan (pembinaan hospital) rancangan Malaysia ke-10 tidak berjalan, kita kata kena tukar kerajaanlah, kita tunggu kerajaan Pakatan Rakyat (memerintah) kita buat hospital ini," tegasnya.

sumber ; BuletinOnline.net

Wednesday, September 21, 2011

Speaker DUN Kelantan Ke DUN Sura 24 Sept. Sabtu

DUNGUN 21 September, Rabu - Dalam keadaan isu-isu semasa yang tercetus akhir-akhir ini dilihat menyebelahi Pakatan Rakyat, pada 24 September, Sabtu ini, Lajnah Penerangan DUN Sura mengambil kesempatan ini dengan mengundang dua penceramah luar - dari Kelantan dan Perak.
Ceramah ini diadakan setelah di waktu siangnya warga DUN Sura menyertai Hari Keluarga yang diadakan di tapak yang sama.

" Dengan lambakan isu yang ada, diharap seluruh warga DUN Sura khususnya tidak melepaskan peluang menilai sendiri kupasannya, " demikian pandangan Ketua Penerangan DUN Sura, Encik Mohd Yusof Ismail.

" Dengan hadirnya YB Chang Lih Kang untuk berceramah pada malam tersebut, saya harap ianya dapat menarik kehadiran rakan-rakan dari masyarakat Tionghua, " ujar Setiausahanya, Ahmad Roslin Abdul Wahab.

Tuesday, September 20, 2011

Hari Keluarga DUN Sura 2011, 24 Sept. Sabtu

DUNGUN 20 September, Selasa - PAS, sebagai sebuah parti yang berada di tengah masyarakat, selain mengadakan program kebajikan yang melibatkan penduduk dan rakyat kebanyakan, turut ditonjolkan ialah program bersifat kekeluargaan.

Di DUN Sura, Dungun, tanggal 24 September, 2011 hari Sabtu bakal berlangsung Hari Keluarga DUN Sura 2011 di tapak Pasar Minggu Sura Gate.

Program yang bermula jam 7.45 pagi itu, dimulai dengan perasmian oleh Y.B. ADUN Sura, Ustaz Haji Wan Hassan Mohd Ramli, selaku penasihat program.

Menurut Pengarah Hari Keluarga DUN Sura 2011, Encik Zakaria Tahir, pendaftaran acara sukaneka akan bermula jam 8.00 pagi sebaik selesai majlis perasmian.

" Seperti tahun-tahun sebelumnya, acara-acara terbahagi kepada beberapa kategori, di antaranya kanak-kanak, pemuda, muslimat, pertandingan antara cawangan termasuk acara yang melibatkan penyertaan keluarga, " 

" Tema Hari Keluarga pada tahun ini ialah "PAS Pilihan Kami", apa yang menarik, hadiah pada kali ini lebih mengancam, di mana Y.B. ADUN Sura sendiri berusaha keras mendapatkan hadiah melalui individu-individu, kebanyakannya barangan elektrik, selain handphone, basikal dan lain-lain yang pastinya menarik sebahagian besar masyarakat untuk menyertainya, " ujar beliau.

Menjelang tengahari, para peserta dan hadirin akan dijamu melalui jamuan rakyat di mana tiga ekor lembu telah disumbangkan oleh seorang dermawan bagi menjayakan sebahagian slot Hari Keluarga kali ini.

Selain itu, khususnya untuk kanak-kanak, pihak JK Hari Keluarga akan menampilkan maskot Upin dan Ipin sebagai sebahagian slot acara untuk menceriakan program yang berlangsung.

" Saya menyeru seluruh warga DUN Sura khususnya, supaya hadir beramai-ramai bersama keluarga masing-masing dan ambillah peluang sertai acara-acara sukaneka dan rebutlah hadiah-hadiah menarik yang disediakan khusus untuk para pengunjung dan jangan lupa bawa anak-anak bersama untuk bersama Upin dan Ipin, " demikian harapan Pengarah program, Encik Zakaria Tahir.

Thursday, September 15, 2011

Perutusan Khas Hari Malaysia...Najib & UMNO BN Masih Membisu Terhadap Kenyataan MPN

KUALA LUMPUR, 15 Sept : Biarpun pengumuman perdana menteri malam ini dialu-alukan, namun hakikatnya ia adalah menciplak janji Pakatan Rakyat seperti dimuatkan dalam Buku Jingga, kata Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Malah katanya, tawaran perubahan Pakatan Rakyat lebih luas berbanding beberapa perubahan yang telah diumum Datuk Seri Najib malam ini.

"Perjuangan kita menentang akta zalim ini sudah lama dahulu, cuma Umno BN ni lambat faham.

"Apa yang saya boleh kata, akhirnya BN tunduk dengan tuntutan kita dalam Buku Jingga," katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Beliau mengulas perutusan khas Hari Malaysia perdana menteri malam ini yang mengumumkan keputusan kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Selain memansuhkan ISA, katanya, kerajaan juga akan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, beliau yakin pengumuman Najib itu dibuat dalam keadaan BN sangat terdesak untuk menarik sokongan rakyat berdepan Pilihan Raya Umum ke-13.

Apatah lagi ujarnya, ucapan Najib tersebut tidak memberi fokus kepada kemerdekaan negara, malah lebih kepada janji perubahan politik mendepani pilihan raya.

"Realitinya Najib dalam keadaan terdesak untuk meraih undi dalam PRU-13 sehingga beliau berani merombak apa yang sebelum ini dipertahankan sungguh-sungguh," kata Tuan Ibrahim lagi.

Jika benar Najib Ikhlas melakukan perubahan politik katanya lagi, perdana menteri itu perlu juga memastikan sistem pilihan raya negara ini diperbaiki termasuk lapan perkara yang terkandung dalam tuntutan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).

Sementara itu, beliau juga turut membidas sikap Najib dan Umno BN yang sehingga kini masih berdiam diri dalam menyatakan pendirian berhubung kenyataan Majlis Profesor Negara (MPN) bahawa Tanah Melayu tidak pernah dijajah, namun hanya dinaungi British.

"Rakyat masih menunggu pendirian rasmi kerajaan berhubung perkara itu," katanya.
sumber : Harakahdaily

Tuesday, September 13, 2011

Kenyataan Presiden PAS Sempena Hari Pembentukan Malaysia


Adalah menjadi naluri semua manusia tanpa mengira latar belakang, kaum, agama, bahasa dan sebagainya untuk hidup sebagai manusia yang bebas merdeka, sama ada merdeka jasad dan akal fikiran dari sebarang bentuk perhambaan. 

Image Detail

Tidak akan ada orang yang waras akal fikiran mahu hidup di bawah belenggu mana-mana penjajahan, apatah lagi dikawal minda dan tindakannya. 

PAS ingin menegaskan bahawa kami menentang semua penjajah, sama ada komunis atau bukan komunis, mahupun oleh blok timur atau barat.

PAS amat menghargai peranan yang dimainkan oleh semua pihak dan tokoh seperti Sultan Abdul Samad, Sultan Zainal Abidin, Raja Abdullah serta Abdul Rahman Limbong, Tok Janggut, Dr Burhanuddin Helmy, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan lain-lainnya (sekadar beberapa nama) yang menyumbang sehingga lahirnya negara kita dengan bentuknya yang ada pada ketika ini. 

Mereka ini telah meletakkan asas negara kita, walaupun ada tindakan mereka yang kita tidak bersetuju kerana wujud kelemahannya yang tersendiri. 

Namun segala kelemahan orang lalu yang telah pun meninggal dunia ini tidak wajar untuk kita balas dengan kata nista. Apa yang wajar dilakukan ialah kita memohon agar kesilapan yang mereka lakukan mendapat keampunan dari Allah SWT.

Apa pun, peranan baik yang telah dilaksanakan akan dibalas dengan pahala di sisi Allah SWT. Kelemahan dan kesilapan lalu dalam merangka sebuah negara yang bernama Malaysia pula perlulah diperbaiki oleh kita yang hidup di zaman ini dan berterusan menjadi tanggungjawab generasi akan datang. 

Alangkah baiknya kehidupan berbagai bangsa dan agama, budaya dan bahasa yang wujud dalam negara kita ini mampu untuk menjadi resepi utama dalam melahirkan negara Malaysia yang benar-benar melindungi kebajikan rakyatnya.

Pada saat ini, kita sedang sama-sama melihat betapa kerajaan Umno BN yang ada ini sudah diberi amanah pemerintahan selama lebih 50 tahun dan semakin membawa negara kita kepada penyakit yang menyusahkan rakyat dengan daya saing negara yang makin merudum, kos hidup yang meningkat dan barang keperluan yang melambung harganya, keluhuran akhlak yang tidak lagi dianggap penting, kehidupan beragama ditinggalkan dan seribu lagi macam kerosakan, maka tentulah menjadi tanggungjawab kita semua untuk sama-sama melakukan perubahan. 

Penipuan pilihan raya juga semakin berleluasa dan tidak lagi menjadi medan muhasabah sebenar kalangan rakyat terhadap kerajaan. 

Jangan kita membiarkan Malaysia menjadi semakin lemah di bawah kerajaan Umno BN, kerana generasi anak cucu kitalah nanti yang akan menerima sengsaranya.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS
13 September 2011

sumber : Harakahdaily

Thursday, September 8, 2011

ADUN Sura Ucap Selamat Menduduki Peperiksaan UPSR 2011

DUNGUN 9 September, Jumaat - ADUN Sura merangkap YDP PAS Kawasan Dungun, Y.B. Ustaz Hj Wan Hassan Mohd Ramli bersama JK Pelajaran dan seluruh warga kerja DUN Sura mengucapkan selamat menduduki Peperiksaan UPSR 2011 kepada semua calon-calon peperiksaan di seluruh negara khususnya di Dungun dan DUN Sura. Peperiksaan akan bermula pada 13 hingga 15 September, 2011.


Menurut kenyataan media Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pelajaran Malaysia, pada tahun ini seramai 497,691 orang calon telah mendaftar untuk menduduki UPSR di 8,235 pusat peperiksaan di seluruh negara. UPSR kali ini melibatkan 48,560 petugas peperiksaan.

(Gambar - ADUN Sura ketika menyampaikan penghargaan kepada salah seorang pelajar cemerlang UPSR 2010, adik Nina Dasima Binti Mohd Ghani dari Sekolah Kebangsaan Sultan Omar di kediaman keluarganya di Jalan Teratai, Dungun)

" Kami mendoakan seluruh calon peperiksaan ini dikurniakan kemudahan dan ketenangan untuk menjawab peperiksaan seterusnya dianugerahkan kejayaan cemerlang ", katanya.

# sila lihat Tarikh Peperiksaan Awam 2011 di ruangan Notis blog ini.

Saturday, September 3, 2011

Rumah Terbuka ADUN Sura Dikunjungi Segenap Lapisan Masyarakat

DUNGUN 3 September, Sabtu - Sempena Aidilfitri 1432, ADUN Sura, Ustaz Haji Wan Hassan Mohd Ramli telah mengadakan Rumah Terbuka bagi meraikan rakyat yang berada di kawasan yang diwakilinya.


Majlis yang dijadualkan bermula jam 12.00 tengahari hingga jam 4.00 petang pada hari Khamis 1 September, hari ketiga Syawwal telah dikunjungi lebih awal daripada jadual oleh sebahagian besar tetamu.
Kehadiran bertali arus warga DUN Sura termasuk dari kaum Tionghua dan dari DUN berhampiran, menyebabkan petugas bahagian urusan masakan terpaksa berkerja keras memastikan hidangan mencukupi untuk disajikan kepada para pengunjung.
 
Majlis yang diadakan di perkarangan kediaman ADUN Sura itu, turut menerima kunjungan Pengarah Jabatan Pilihan Raya Negeri Terengganu, Ustaz Ariffin Deraman dan Setiausaha Politik Dato' Seri Anwar Ibrahim, Haji Abdul Rahman Yusof.
Selain dihidangkan dengan jamuan, para petugas turut mengedarkan risalah penerangan keluaran Jabatan Penerangan PAS Negeri Terengganu dan 'handbill' program terdekat "Hari Keluarga DUN Sura" yang akan diadakan pada 24 September, Sabtu, penghujung Syawwal.
Kepada yang tidak sempat berkunjung ke rumah terbuka ini, mereka masih berpeluang bersama program anjuran PAS, khususnya warga DUN Sura, apabila Hari Keluarga DUN Sura ini bakal menjadi platform untuk merapatkan hubungan PAS dengan masyarakat setempat.
Menyedari bahawa pilihan raya umum ke-13 bakal diadakan tidak lama lagi, kaunter semakan dan daftar pemilih turut dibuka bagi memberi peluang kepada para tetamu untuk menyemak nama masing-masing, selain mendaftar sebagai pemilih kepada mereka yang masih belum berbuat demikian. 




 
Dengan anggaran kehadiran melebihi 4 ribu orang, majlis yang diadakan dengan jayanya ini mendapat dokongan utama daripada pihak muslimin, muslimat, pemuda dan nisa' DUN Sura.
Golongan kanak-kanak merupakan di antara yang paling gembira, kerana selain menerima duit raya daripada ADUN Sura, mereka turut disediakan aiskrim percuma sebagai 'pembasuh mulut' selepas menjamah hidangan.
Related Posts with Thumbnails

YB ADUN Sura Untuk Semua

 

Arkib Laman

Blog YB ADUN Sura © 2008 | Ripped by SamarQondy | Coordinated by Team IT DUN Sura