Thursday, January 10, 2008

Calon PAS Perlu Mesra Rakyat

Calon PAS perlu usaha lebih menangi hati rakyat - Husam

KUALA LUMPUR, 9 Jan (Hrkh) - Calon dan pemimpin PAS terutamanya daripada negeri-negeri yang tidak pernah memenangi sama ada dalam pilihan raya kecil mahupun umum perlu berusaha keras dalam mendekati dan memenangi hati rakyat sebelum mengimpikan kejayaan memenangi pilihan raya, kata Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan dialog bersama sidang editorial Harakah di Pejabat Harakah dekat sini baru-baru ini. Turut hadir ialah Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Lutfi Othman dan sidang pengarang serta wartawan.
Husam berkata, pendekatan yang dibuat oleh beberapa pimpinan PAS Kelantan selain pendekatan beberapa pemimpin Umno disana dengan menziarahi penduduk tempatan terutamanya dalam aktiviti keagamaan perlu dilihat secara positif.

Katanya, secara amnya dengan adanya media dan segala kelengkapan kempen melalui perkakas kerajaan pemimpin Umno/BN di sana tidak perlu beruasah sedemikian rupa bagi memenangi hati rakyat.
Tetapi sebaliknya pemimpin BN yang juga selaku pembangkang di Kelantan tidak hanya mengharapkan perkakasan kempen yang sedia ada, mereka berusaha dengan keras mendekati rakyat termasuk terpaksa solat fardhu berjemaah beberapa kali di pelbagai lokasi surau di kawasan mereka, katanya.
Biarpun kadang-kadang ianya dilihat seperti satu lakonan, tetapi ianya boleh dicontohi dalam usaha mendekatkan diri dengan masyarakat terutamanya kepada pemimpin yang berada di negeri-negeri Selatan seperti Melaka, Negeri Sembilan dan Johor, katanya.
Dalam dialog yang sama, Husam turut membincangkan secara serius mengenai peranan Harakah sebagai media pilihan raya dan berfungsi sebagai agen kepada PAS menyegarkan kempen pilihan raya dengan bahan yang menarik.

Husam antara lain mencadangkan beberapa idea baru bertujuan memantapkan Harakah sebagai organ terpenting kepada penerangan PAS selain media-media di bawah kumpulan Harakah serta method lain yang digunakan sebagai penerangan parti.
Antaranya Husam melihat peripentingnya Harakah menjadi sumber kepada pembaca, parti lawan dan akhbar lain dalam isu-isu yang membabitkan dasar parti sendiri dan pendedahan yang boleh menyedarkan rakyat.

Beliau meletakkan harapan yang tinggi kepada editorial Harakah membawa arus perubahan untuk dipersembahkan dalam pilihan raya akan datang, setidak-tidaknya Harakah sebagai media suara parti yang menyengat.

Hijrah & Pilihanraya

Semangat Maal Hijrah perlu cetus angin perubahan pilihan raya

KUALA LUMPUR, 10 Jan (Hrkh) - Maal Hijrah atau Awal Muharram adalah permulaan tahun baru takwin Islam, dan kali ini jatuh pada 10 Januari atau 1 Muharram 1429H.

Bekas Imam Besar Masjid Negara, Ustaz Taib Azamuddin Muhamad Taib berkata, sempena sambutan tahun 1429 ini umat Islam wajar memenuhi kehendak hijrah dalam bentuk niat dan jihad. Umat Islam perlu pertingkatkan azam supaya perkara-perkara buruk tidak diteruskan berleluasa, katanya. "Perbanyakan kebaikan dan kebajikan umpama dalam konteks jihad umat Islam perlu membuat perubahan dalam melaksanakan tanggungjawab mereka pada Pilihan raya Umum ke-12 nanti.

"Elok dibuat perubahan kerana apabila berlaku perubahan maka adalah pembaharuan dan kalau tidak ada perubahan maka keadaannya tidak berbeza," katanya.
Mengambil semangat hijrah Rasulullah s.a.w pada tahun 622 Masehi, Madinah menjadi sebuah negara yang berubah dengan jayanya dari segi politik, pembangunan dan sebagainya, ujarnya.
"Itu menunjukkan penghijrahan yang sebenarnya tidak berlaku di Malaysia. Kita sambut hanya untuk nama tetapi hijrah umat Islam sebenar dalam mendaulatkan Islam tidak berlaku," tegasnya. Sebab itu, katanya, kecenderungan menyambut tahun Masihi lebih hebat berbanding tahun baru Hijrah.

Sambutan Tahun Baru 2008 memperlihatkan kayanya program-program maksiat untuk menjauhkan umat Islam daripada Allah S.W.T terus meningkat dan diberikan tempat, ujar Taib Azamuddin yang juga AJK PAS Pusat.
"Rakyat harus sedar apabila sesuatu tidak berlandaskan kepada Islam ia tidak akan membawa kejayaan.Hijrah itu mesti dilakukan daripada kebatilan kepada kebenaran dan kefasikan kepada makruf," katanya.

Sementara itu, AJK PAS Pusat, Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin berkata, penghayatan Maal Hijrah pada tahun ini harus dirujuk kepada perjuangan umat Islam sekarang.
Jika dilihat kepada masalah yang dihadapi umat Islam hari ini mereka harus mempunyai keazaman dan tekad baru untuk menghadapi pelbagai bentuk serangan, ancaman, ugutan dan kemelut yang sedang melingkari umat Islam hari ini.
"Ertinya kemelut yang berlaku misalnya dari sudut akidah, kesedaran politik, syariah, mewujud masyarakat madani yang menunjangi proses budaya syura dan penghayatan demokrasi dalam masyarakat," katanya.
Katanya, umat Islam perlu bersih daripada pencemaran budaya, kebobrokkan moral, akhlak dan juga meneruskan kezaliman.

Sehubungan itu, masyarakat negara ini perlu ada tekad dan semangat untuk menukar dan menggantikan kumpulan kepimpinan yang tidak mahu melaksanakan kezaliman seperti penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
"Hijrah adalah perpindahan, peralihan jadi kita harus beralih atau berpindah daripada tahap yang rosak kepada lonjakan yang lebih baik melalui para pemimpin yang adil, bersih, telus, warak, berilmu serta lebih memahami agama dan sebagainya," katanya. - mks. -->

Hijrah 1429

Maal Hijrah: Ambil iktibar dan pengajaran hijrah Rasulullah s.a.w.

Dato' Sheikh Abdul Halim Abdul Kadir Thu Jan 10, 08
Persatuan Ulama Malaysia (PUM) ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut Maal Hijrah sempena dengan kedatangan bulan Muharam yang menandakan masuknya kita ke dalam tahun baru 1429 berdasarkan kalendar Hijrah yang diasaskan oleh Saidina Umar Al-Khattab.

Dalam kesempatan ini, PUM menyeru kepada seluruh masyarakat Malaysia agar kita mengambil iktibar dan pengajaran dari peristiwa Hijrah Rasulullah s.a.w yang telah mencetuskan kepada pembukaan peluang-peluang penyebaran agama Islam yang tercinta.
Sebagai umat Islam, kita perlu berpegang teguh kepada ajaran Allah yang telah disampaikan oleh NAbi Muhammad s.a.w. Allah berfirman: Berpegang teguhlah kamu pada tali Allah dan jangan berpecah belah (Al-Imran:101).

Seruan ini sangat jelas di mana kita diminta unutk bersatu padu, jangan berpecah di atas perbezaan-perbezaan ini seharusnya menjadi rahmat, bukan penyebab untuk berpecah belah tetapi seharusnya menjadi pemangkin kesatuan umat.
Hijrah menuntut kita berubah dari keburukan kepada kebaikan. Kita harus menjadikan peristiwa-peristiwa yang berlaku pada tahun lepas sebagai panduan untuk kita bergerak ke hadapan pada tahun ini dan tahun-tahun seterusnya. Kita tidak mahu melihat ramai nyawa terkorban di atas jalan raya, kita tidak mahu melihat mat rempit bermaharajalela dan seribu macam perkara yang kita tidak mahu lihat.

Ini menuntut kita melakukan perubahan, sama ada perubahan sikap, corak berfikir atau perubahan-perubahan mendasar yang perlu dilakukan kerajaan demi kebaikan rakyat Malaysia.
Dalam masa yang sama, umat Islam didedahkan dengan isu-isu serangan pemikiran seperti liberalisme, pluralisme dan lain-lain.
Ini menuntut umat Islam untuk bersedia dari segi ilmu yang boleh menepis hujah-hujah kumpulan yang ingin merosakkan kemurnian agama Islam. Janganlah mengharap sebahagian ulama atau hanya mengharapkan kerajaan menangani serangan-serangan ini.
Seharusnya umat Islam perlu menimba, mengkaji, menilai, memahami serta menguasai hujah-hujah balas bagi memelihara kesucian Islam.

Sebenarnya Hijrah mempunyai maksud yang sangat luas. Tun Dr Mahathir ketika masih menjadi Perdana Menteri pernah dalam perutusan Maal Hijrah 1422 menyebut bahawa antara mafhum hijrah ialah ia memberi teladan atau pengajaran kepada Umat Islam dalam menghadapi pelbagai cabaran hidup.
Hijrah bukan bermakna melarikan diri atau mengelak daripada masalah, tetapi mengundur untuk menyediakan diri bagi mengatasi cabaran.
Dalam kesempatan ini, PUM merasakan bahawa umat Islam perlu kuat kerana keperluan menangkis serangan dan tekanan oleh musuh Islam.

Oleh kerana umat Islam tidak mengendahkan seruan Islam berkenaan perpaduan maka hari ini orang Islam dan negara Islam amatlah lemah dan ditindas oleh musuh-musuh Islam.
Dalam hal ini persiapan dari sudut mempertahankan negara juga harus melalui fasa Hijrah agar kita setanding dengan negara-negara lain.

Yang Dipertua, Persatuan Ulama Malaysia.

dun sura

inilah laman pas dun sura
takbir
Related Posts with Thumbnails

YB ADUN Sura Untuk Semua

 

Arkib Laman

Blog YB ADUN Sura © 2008 | Ripped by SamarQondy | Coordinated by Team IT DUN Sura