Thursday, August 28, 2014

ADUN Sura Ziarah Bakal Haji, 1.3 Juta Bakal Banjiri Arab Saudi

DUNGUN 28 Ogos 2014 - Bermula 24 Ogos, Ahad baru-baru ini, ADUN Sura, Y.B. Haji Wan Hapandi Wan Nik memulakan ziarah bakal haji yang akan menunaikan ibadah haji pada tahun ini.
 
Seramai hampir 30 orang dikenalpasti bakal bertolak ke tanah suci bermula semalam, 27 Ogos. Kunjungan dari rumah ke rumah bakal haji ini dapat mengeratkan hubungan selain mengenali lebih dekat rakyat di kawasan yang diwakilinya.
“Dengan kunjungan singkat ini dapatlah mengenali dengan lebih dekat sesama kita di samping mendengar permasalahan semasa yang dihadapi, “ ujar beliau selepas mengunjungi salah seorang bakal haji di Kampung Bukit Chatak.

“Apapun saya mendoakan semoga semua bakal haji dikurniakan kekuatan dan kesihatan yang baik sepanjang mengerjakan ibadah haji ini seterusnya beroleh haji mabrur, insyaAllah,” akhiri beliau sebelum singgah ke rumah bakal haji berikutnya.

Sementara itu, Arab Saudi dijangka menerima seramai 1.3 juta jemaah dari seluruh dunia pada tahun ini dengan negara Asia Selatan akan menghantar jemaah terbesar iaitu 410,000 orang dan diikuti dengan negara Arab seramai 250,000 orang.

Kenyataan yang dipetik Arab News memberitahu Kementerian Haji Arab Saudi memaklumkan, kira-kira 228,000 jemaah adalah terdiri dari negara Asia Tenggara termasuk Malaysia dan Indonesia.

Penerbangan pertama jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci tahun ini dijadualkan 27 Ogos, manakala penerbangan akhir 27 September, yang melibatkan seramai 22,320 orang Jemaah haji. 


Kumpulan pertama seramai 450 jemaah haji Malaysia bagi musim 1435 Hijrah ini tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohamad Bin Abdulaziz pada 9 pagi waktu tempatan (2 petang waktu Malaysia) Rabu.     

Sunday, August 24, 2014

Setahun Lalu ADUN Sura Ziarah Rakan Tunai Haji Sebelum Kembali Bertemu Penciptanya

DUNGUN, 25 Ogos 2014 - Hampir setahun lalu, 24 September 2013, ADUN Sura, Y.B. Haji Wan Hapandi Wan Nik mengunjungi rakan sepersekolahannya Haji Zakariah Ali yang akan berangkat untuk menunaikan ibadah haji dan pada pagi semalam, 24 Ogos, 2014 rakannya itu telah kembali ke pangkuan Penciptanya.
Haji Wan Hapandi bersama ADUN Rantau Abang, Haji Alias Harun 
dan wakil Ahli Parlimen Dungun, Haji Embong Abdullah 
ketika menziarah Allahyarham pada 24 September tahun lalu.

Allahyarham Haji Zakariah, 58, merupakan calon Barisan Nasional bagi kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Sura pada Pilihan Raya Umum Ke-13 yang lalu namun tewas kepada calon PAS, Haji Wan Hapandi Wan Nik dengan majoriti 2,957 undi.

Sebelum menceburi bidang politik, Allahyarham merupakan bekas Ketua Sektor Pengurusan Sekolah di Jabatan Pendidikan Negeri dan pernah memegang jawatan sebagai Pegawai Pendidikan Daerah Dungun.

Allahyarham dilantik Pegawai Khas Kepada Menteri Besar pada Ogos tahun lalu.
Menurut Haji Wan Hapandi, berita kematian rakannya itu diketahui pada waktu pagi sebelum beliau bertolak ke Kuala Terengganu untuk mengikuti sesi perbincangan soalan bagi persidangan DUN Terengganu yang dijadualkan pada 23 dan 24 September akan datang.

"Saya mendapat berita kematian beliau, sejurus sebelum bertolak ke Kuala Terengganu, jadi saya bergegas dahulu menziarahi jenazah beliau yang pada masa itu masih berada di kediaman beliau di Kampung Balai Besar, " ujar Haji Wan Hapandi yang sama-sama menuntut di Sekolah Menengah Tengku Ampuan Intan Zaharah, Dungun bersama Allahyarham sekitar tahun 1969 hingga 1973.

Isteri Allahyarham, Zainon Mohamad, 55, menyedari kematian suaminya yang menghidap penyakit jantung itu semasa mengejutkan Allahyarham untuk solat Subuh kira-kira pukul 5.45 pagi.
"Saya sempat menunaikan solat jenazah beliau yang telah disempurnakan selepas Asar dan penghantaran jenazah ke hospital Dungun sebelum itu dan ke tanah perkuburan menggunakan perkhidmatan Van Jenazah Ahli Parlimen Dungun, " beritahu beliau lagi yang turut memaklumkan jenazah telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gong Pasir.

"Saya doakan beliau ditempatkan di kalangan hamba-hambaNya yang soleh dan semoga keluarga beliau bersabar di atas musibah yang menimpa ini, " akhiri beliau.

Thursday, August 14, 2014

Hubungan Jabatan Dan Agensi Dengan ADUN Memudahkan Urusan Rakyat

IMG-20140812-WA0075DUNGUN - PAS mengalu-alukan tindakan pejabat dan agensi kerajaan menjalinkan hubungan silaturrahim dan ukhuwah dengan semua pihak dan bersedia hadir untuk apa-apa jua program yang membawa kebaikan untuk rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik berkata selaku penjawat awam, para kakitangan kerajaan seharusnya menjaga hubungan baik dengan semua pihak tanpa sebarang prasangka.
“saya merasa sukacita dan ucap terima kasih serta mengalu-alukan pihak jabatan dan agensi kerajaan yang mengadakan majlis-majlis sempena hari raya,
“kakitangan kerajaan adalah penjawat awam yang dibayar melalui cukai dipungut dari rakyat, tanggungjawab yang paling besar adalah menunaikan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat,”ujarnya.
IMG-20140812-WA0076Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis rumah terbuka yang dianjurkan oleh Pejabat Agama Daerah Dungun di sini pada Selasa 12 Ogos.
Beliau yang pernah mendapat jemputan dari kakitangan beberapa jabatan dan agensi sebelum ini bimbang untuk hadir kerana tindakan kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) yang memberikan tekanan kepada mana-mana pihak yang cuba berbaik dengan PAS.
“AlhamduliLlah, kita harap ada pemikiran yang lebih matang dan terbuka dan dengan kehadiran saya dan semua wakil-wakil rakyat PAS dalam majlis anjuran jabatan dan agensi itu insyaAllah,
“akan meningkatkan hubungan……..berkenal-kenalan dan dapat memudahkan urusan wakil-wakil yang dipilih rakyat dengan jabatan dan agensi,”jelasnya.

Saturday, August 9, 2014

Pembakaran Bendera Zionis Yahudi Di Rumah Terbuka ADUN Sura

DUNGUN, 9 Ogos 2014 - Rata-rata di kalangan wakil rakyat mengadakan rumah terbuka sempena Aidilfitri bersama rakyat masing-masing.
ADUN Sura, Y.B. Haji Wan Hapandi Wan Nik turut mengadakan majlis tersebut yang berlangsung bermula jam 10.00 pagi hingga jam 2.00 petang di perkarangan kediaman beliau, di sini, hari ini.
Di laluan pintu masuk ke perkarangan kediaman beliau diletakkan bendera Israel untuk dipijak oleh para tetamu yang hadir kemudian ianya dibakar sebagai simbolik menunjukkan protes di atas kebiadapan rejim zionis yang melakukan serangan tidak berperikemanusiaan di Gaza.
“Kita menerima baik cadangan yang dikemukakan oleh pihak Pemuda PAS DUN Sura, supaya bendera rejim zionis diletakkan di laluan masuk ke perkarangan lokasi majlis ini untuk dipijak oleh para tetamu yang hadir seterusnya dibakar sebagai menunjukkan protes terhadap sikap biadap rejim ke atas saudara seIslam di Gaza, “
“Sebelum ini, kita turut menghulurkan sumbangan kewangan yang disalurkan melalui PAS Kawasan Dungun sebagai tanda solidariti terhadap nasib yang menimpa saudara kita di sana, “ ujar beliau ketika melayan tetamu yang hadir.
“Di samping kita menyambut Hari Raya sewajarnya kita jangan lupa kepada saudara kita di Gaza yang masih terkepung dengan serangan ganas rejim zionis, kita doakan saudara kita di sana terus diberi kekuatan dan kemenangan oleh Allah S.W.T., insyaAllah, “ tambah beliau lagi.
Majlis yang dihadiri oleh lebih tiga ribu orang itu turut dikunjungi oleh Ahli Parlimen Dungun, Y.B. Ustaz Haji Wan Hassan Mohd Ramli dan isteri serta pelbagai lapisan masyarakat termasuk dari golongan warga Tionghua.

Golongan kanak-kanak diraikan dengan penyediaan aiskrim percuma dan agihan duit raya.

Acara pembakaran bendera zionis Yahudi dilakukan di waktu puncak majlis dan disempurnakan bersama oleh Ahli Parlimen Dungun, Y.B. Ustaz Haji Wan Hassan Mohd Ramli dan ADUN Sura sendiri diiringi laungan takbir oleh para hadirin.

Sunday, August 3, 2014

ADUN Sura Saran Polis Pertingkat Rondaan dan Rangka Pelan Bertindak Lebih Berkesan

DUNGUN, 4 Ogos 2014 - ADUN Sura, Y.B. Haji Wan Hapandi Wan Nik meminta pihak polis mempertingkatkan rondaan di kawasan yang kerap berlaku kejadian pecah rumah dan kecurian khususnya di bandar Dungun dan sekitarnya.
 
“Kita yakin pihak polis mempunyai rekod lokasi yang kerap berlakunya jenayah pecah rumah ini, berdasarkan rekod yang ada ini kekerapan rondaan di kawasan berkenaan termasuk di premis yang tidak berpenghuni perlu dipertingkatkan seperti di PASTI dan lain-lain premis pendidikan yang tidak menyediakan perkhidmatan pengawal keselamatan, “ beliau menyarankan langkah demikian merujuk kejadian kecurian di PASTI As-Syakirin, Tanah Lot di sini.
 “Dan melalui Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) disarankan merangka pelan bertindak yang lebih berkesan untuk mencegah kejadian seumpama ini dari terus berulang, “ ujar beliau yang juga merupakan Ketua Lajnah Kebajikan & Kemasyarakatan PAS Kawasan Dungun.

Dalam kejadian yang disedari pagi Khamis 31 Julai itu, bahagian bawah yang menempatkan dua kelas PASTI telah digeledah dan pendawaian elektrik telah dicuri, penjenayah dipercayai menceroboh masuk melalui tingkap belakang berdasarkan kesan umpilan penghadang tingkap yang rosak. 

Berikutan kejadian tersebut, tindakan segera pungutan derma kilat telah diusahakan melalui Pemuda PAS DUN Sura dan PAS Cawangan Tanah Lot, memandangkan sesi persekolahan sempena cuti Aidilfitri bermula pada Ahad 3 Ogos. Sejumlah RM6,000 berjaya dipungut untuk menampung kos pendawaian elektrik dan pemasangan grill tingkap. 


“Memandangkan sesi persekolahan bermula 3 Ogos, tindakan segera telah dilakukan untuk keselesaan para pelajar dan guru dan Alhamdulillah dengan inisiatif yang turut diusahakan oleh Pemuda PAS DUN Sura, kerja-kerja baikpulih telah diusahakan, “ demikian menurut Ketua PAS Cawangan Tanah Lot, Haji Mohd Amin Hamid yang turut mengucapkan terima kasih kepada para dermawan di atas sumbangan yang telah diberikan.
Related Posts with Thumbnails

YB ADUN Sura Untuk Semua

 

Arkib Laman

Blog YB ADUN Sura © 2008 | Ripped by SamarQondy | Coordinated by Team IT DUN Sura