Thursday, January 30, 2014

ADUN Sura Terus Bersama Denyut Nadi Masyarakat

DUNGUN, 30 Januari 2014 - ADUN Sura, Y.B. Haji Wan Hapandi Wan Nik biasa kelihatan di kawasannya dengan hanya menunggang motorsikalnya, Honda EX5.

Dengan bermotorsikal memudahkannya menyusuri kampung untuk memenuhi undangan serta menziarahi masyarakat setempat.

Petang Isnin, 27 Januari baru-baru ini, beliau yang diiringi Ketua PAS Cawangan Alor Tembesu/Sura Gate, Haji Hassan Abd Aziz singgah di rumah seorang warga emas, Timah binti Jusoh, 62, menyampaikan sumbangan kerusi roda.

Beliau sempat menyantuni dan menghulurkan sumbangan kepada seorang OKU, adik Nur Syuhada Abdullah, 14.

Tengahari Rabu, 29 Januari beliau ke Kampung Telok Lipat, menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada seorang buruh, Aziz Daud, 50, yang menetap di rumah PPRT bersama isteri dan anak-anaknya sekeluarganya.

Sementara tengahari tadi di kampung yang sama, beliau menziarahi dan bertanya khabar keadaan seorang pemuda yang mengalami kemalangan jalan raya.

Menjelang Tahun Baru Cina, beberapa orang warga Tionghua yang menetap di Kampung Telok Lipat ini menerima sekotak limau mandarin. Mengiringi beliau ialah Ketua PAS Cawangan, Haji Mohd Salim Uda.

Selepas asar petang tadi, menghadiri solat jenazah Abd Rahman Muda, 68, dari Kampung Tanah Lot.

Jenazah disembahyangkan di Surau Kubur, Kampung Molek dan diimamkan oleh Ahli Parlimen Dungun, Ustaz Haji Wan Hassan Mohd Ramli.

Monday, January 27, 2014

ADUN Sura Desak Kerajaan Negeri Pertingkat Keberkesanan Peranan JKKK

DUNGUN, 27 Januari 2014 (kemaskini) -  "Apakah wajar rakyat dibiarkan menghuni bekas kandang kambing selama 10 tahun ?" demikian reaksi spontan ADUN Sura, Y.B. Haji Wan Hapandi Wan Nik ketika diminta mengulas laporan akhbar Sinar Harian hari ini di mana pihak MAIDAM terkejut mendapati masih ada rakyat di negeri ini hidup dalam keadaan sedemikian.

"Soalnya di mana perginya JKKK yang sepatutnya menyalurkan maklumat kepada pihak berkenaan supaya hidup mereka lebih terbela tanpa menunggu tempoh yang lama untuk mendapat bantuan"

ADUN Sura menyeru seluruh rakyat Terengganu membuka mata terhadap tahap keberkesanan peranan JKKK apabila berdepan dengan kemelut yang sedang melanda masyarakat hari ini.

"Apa yang berlaku di DUN Sura ini, seharusnya membuka mata rakyat di seluruh negeri untuk menilai kembali peranan JKKK yang sepatutnya berperanan membantu rakyat yang dhaif, apatah lagi yang seagama dan sebangsa dengan mereka, "

"Saya yakin masih banyak kes yang seumpama ini di seluruh negeri apabila maklumat kesusahan rakyat ini diberi keutamaan penyelesaiannya jika peranan JKKK dipertingkatkan keberkesannya dan saya yakin jabatan kerajaan akan bersegera untuk bertindak apabila maklumat tepat ini disalurkan kepada mereka," tegas beliau lagi.

"Rakyat jangan lagi terus terpedaya dengan janji-janji manis apabila tiba pilihan raya, sedangkan apa yang berlaku adalah sebaliknya," akhiri beliau.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, pembinaan rumah Moswa yang dimaksudkan terus berjalan lancar sejak dirasmikan oleh ADUN Sura, Sabtu baru-baru ini.

Pengerusi Projek, Ustaz Haji Abdull Rahim Abdull Jalil berkata, "kita mengharapkan agar kerja-kerja pembinaan akan terus berjalan lancar dan akan dapat disiapkan sehingga akhir April ini, " 

"Sumbangan semua pihak masih diperlukan bagi menjayakan hasrat murni ini, supaya Mohd Sazlly sekeluarga dapat mendiami rumah yang lebih selesa," ujar beliau yang berpuashati dengan tahap kemajuan semasa kerja-kerja pembinaan rumah berkenaan.

baca juga di sini

Saturday, January 25, 2014

PAS Usaha Realisasikan Impian Rumah Kediaman

DUNGUN, 25 Januari 2014 - Selepas 10 tahun, impian untuk memperolehi rumah kediaman sendiri bakal terlaksana.

Demikian yang dihadapi oleh lima sekeluarga di Kampung Sungai Buaya, di sini. Mohd Sazlly Najalhi, 36 dan pasangannya, Salina Abu Bakar serta tiga orang mereka terpaksa tinggal di kandang kambing terbiar kerana tidak mampu untuk membina kediaman sendiri.

ADUN Sura, Y.B. Haji Wan Hapandi Wan Nik melancarkan Projek Rumah Moswa UPU Sungai Buaya di tapak milik keluarga tidak jauh dari kediaman asal mereka, petang tadi.

Menurut Setiausaha Projek, Mohd Nafi Abdullah pembinaan rumah berkenaan dijadualkan dapat disiapkan akhir April, "kita menjangkakan rumah yang berukuran 20' x 30' ini akan dapat disiapkan akhir April ini dan awal Mei mereka sekeluarga dapat mendiaminya," ujar beliau.

Anggaran kasar kos bahan-bahan binaan serta upah berjumlah RM25 ribu. "Saya bagi pihak JK Projek dengan rendah hati mengharapkan para dermawan turut sama membantu menjayakan usaha murni ini, " harap beliau. 

Friday, January 24, 2014

PAS Bersama Usaha Mencari Mangsa Lemas

DUNGUN, 24 Januari 2014 - Masuk hari ketiga, operasi mencari mangsa bot yang dipukul ombak ketika memasuki muara kuala Dungun masih diteruskan.

Malam ini satu solat hajat telah diadakan di kawasan letak kereta Medan Ikan Bakar, Kuala Dungun, di sini.

Dalam kejadian pada hari Rabu, 22 Januari baru-baru ini kira-kira jam 9.00 malam, sebuah bot bersama empat nelayan yang dalam perjalanan balik dipukul ombak ketika memasuki muara sungai Dungun.

Salah seorang daripada mereka, Mohammad bin Ariffin, 40, dari Kampung Teluk Bidara dipercayai terjatuh dan masih belum ditemui.

Solat hajat tersebut turut disertai oleh ADUN Sura, Y.B. Haji Wan Hapandi Nik, ADUN Rantau Abang, Y.B. Haji Alias Harun dan Setiausaha MTD Sura, Mohamed Ibrahim Sini Mohamed. Keluarga mangsa turut sama menyertai solat hajat ini.

Pada malam kejadian, Ahli Parlimen Dungun, Y.B. Ustaz Haji Wan Hassan Mohd Ramli dan ADUN Sura, Y.B. Haji Wan Hapandi Nik yang kebetulan mempengerusikan mesyuarat masing-masing di Dungun, bergegas ke lokasi sebaik mendapat maklumat.

Mereka bertemu keluarga mangsa dan diberi taklimat operasi mencari mangsa oleh pegawai Bomba dan Penyelamat yang bertugas dan sempat berdoa memohon dipermudahkan urusan operasi berkenaan. 

Tuesday, January 21, 2014

Hari Kedua ADUN Sura Bersama Rakyat Ditimpa Musibah Kebakaran

DUNGUN, 21 Januari 2014 - ADUN Sura, Y.B. Haji Wan Hapandi Nik hari ini sekali lagi menerima berita kebakaran yang melibatkan penduduk di kawasannya.

Menerima maklumat kebakaran melalui panggilan telefon daripada Ketua PAS Cawangan Padang Jambu, Baharuman Haji Abdul Hamid, beliau terus bergegas ke lokasi kejadian yang berlaku di Lorong 4, Kampung Padang Jambu, di sini tengahari tadi.

"Api yang marak serta angin menyebabkan api cepat merebak, memusnahkan dua buah rumah sementara sebuah lagi walaupun tidak musnah keseluruhan tetapi turut terbakar di bahagian dapur dan sebahagian ruang dalam rumah, " beritahu Baharuman yang berada di tempat kejadian.

Mangsa yang mengalami kemusnahan keseluruhan rumah adalah Hiffdzan Ramli, 49, tujuh sekeluarga, Ismail A. Rahman, 56, enam sekeluarga dan Aziz Hassan, 53, sembilan sekeluarga yang mengalami sebahagian rumah terbakar.

Petang tadi, ADUN Sura hadir bertemu semula mangsa yang terlibat dan menghulurkan sumbangan kewangan, barangan dapur dan lain-lain keperluan segera.

Semalam, satu kejadian kebakaran turut berlaku di Kampung Tanjung Pagar yang memusnahkan sebuah rumah kayu milik seorang kakitangan Pejabat Pelajaran Daerah Dungun.

Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan semasa dua tragedi kebakaran ini.

Monday, January 20, 2014

ADUN Sura Bersama Rakyat Ditimpa Musibah Kebakaran

DUNGUN, 20 Januari 2014 - Tujuh sekeluarga hanya tinggal sehelai sepinggang setelah rumah kediaman mereka musnah dalam satu kebakaran di Kampung Tanjung Pagar, di sini petang tadi.
ADUN Sura menenangkan Mohd Zulkifli 
ketika kejadian petang tadi

Ketua keluarga mangsa, iaitu Mohd Zulkifli Baru, 52, memberitahu ketika kejadian yang berlaku kira-kira jam 2.00 petang itu, hanya anak sulung lelakinya berada di rumah dan gagal berbuat sesuatu kerana api cepat merebak, yang meranapkan hampir keseluruhan rumah kayu mereka. Seorang lagi anaknya berada di rumah jiran sementara tiga lagi belum pulang dari sekolah, sementara dia dan isteri masih di tempat kerja.

ADUN Sura, Y.B. Haji Wan Hapandi Nik yang turut berada di tempat kejadian, menenangkan mangsa yang merupakan seorang kakitangan di Pejabat Pelajaran Daerah Dungun. 

"Saya diberitahu oleh salah seorang anak melalui telefon yang memaklumkan rumah kami terbakar dan meminta saya balik ke rumah, setelah sampai sebahagian besar rumah kami hampir musnah dijilat api", cerita Mohd Zulkifli.

Ketika ditanya anggaran kerugian, beliau memberitahu, "secara kasarnya kerugian dalam linkungan RM150 ribu termasuk peralatan rumah".

Sementara itu, ADUN Sura turut menyampaikan sumbangan segera berupa kewangan kepada mangsa bagi pihak Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Kawasan Dungun dan DUN Sura.

"Saya bagi pihak PAS Kawasan Dungun dan DUN Sura merakamkan takziah di atas musibah yang menimpa dan berharap mangsa bersabar di atas ujian ini", ujar beliau yang merupakan Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Kawasan Dungun.

Sunday, January 19, 2014

ADUN Sura Luang Masa Ziarahi Rakyat Di Hospital Dungun

DUNGUN, 19 Januari 2014 - ADUN Sura, Y.B. Haji Wan Hapandi Nik meluangkan masa lebih sejam petang tadi ketika menziarahi para pesakit yang berada di wad lelaki Hospital Dungun.
ADUN Sura, Hj Wan Hapandi Nik ditemani Setiausaha MTD Sura,
Mohamed Ibrahim Sini Mohamed bertanya khabar Hassan Muhd Amin

Beliau hadir menziarahi Setiausaha PAS Cawangan Sungai Udang, Hassan Muhd Amin, 49, yang mengalami serangan jantung dan ditahan di wad untuk pemeriksaan lanjut.

Turut sama menyertai ziarah tersebut ialah Setiausaha MTD Sura, Mohamed Ibrahim Sini Mohamed, Ketua PAS Cawangan Sungai Udang, Enche Alias Muda dan AJK PAS Cawangan Alor Tembesu/Sura Gate, Haji Nordin Sulaiman.

Kesempatan masa ziarah ini diambil peluang untuk bertanya khabar serta bertemu dengan semua pesakit dan ahli keluarga yang kebetulan berada di sisi pesakit semasa tempoh waktu melawat dibenarkan.
Related Posts with Thumbnails

YB ADUN Sura Untuk Semua

 

Arkib Laman

Blog YB ADUN Sura © 2008 | Ripped by SamarQondy | Coordinated by Team IT DUN Sura