Sunday, May 18, 2014

ADUN Sura Gesa Menteri Besar Baru Beri Perhatian Minat Ibubapa Terhadap Sekolah Menengah Agama

DUNGUN, 18 Mei 2014 - Ekoran permohonan yang tinggi setiap tahun untuk memasuki sekolah menengah agama, ADUN Sura, Y.B. Haji Wan Hapandi Wan Nik, menggesa Menteri Besar Terengganu yang baru memikirkan langkah positif ke arah menambah bilangan sekolah tersebut di setiap daerah, khususnya di Dungun.

“Di Dungun ini, hanya Sekolah Menengah Agama Sultan Ismail sahaja yang ada, sedangkan permohonan dan minat ibubapa kepada para pelajar yang selesai peperiksaan UPSR adalah lebih cenderung memasuki sekolah agama,” beliau berkata demikian sebelum menyampaikan sumbangan penghargaan kek sempena Hari Guru 2014 ke sekolah-sekolah sekitar DUN Sura, di sini.
 
 “Ditambah dengan gejala sosial di kalangan remaja, menyebabkan ibubapa menaruh keyakinan yang tinggi untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah aliran agama, “tambah beliau lagi yang pernah mendengar rungutan ibubapa yang melahirkan kekecewaan setelah anak mereka yang mempunyai kelayakan gagal memasuki sekolah berkenaan kerana tempat terhad.
“Jika sekolah tidak ditambah sekalipun, sekurang-kurang ada usaha dan perancangan untuk menambah kelas bagi menampung permohonan yang tinggi setiap tahun, “ akhiri beliau.
Sementara itu, sebanyak hampir 50 biji kek disumbangkan oleh ADUN Sura sempena Hari Guru 2014 yang merangkumi semua sekolah rendah dan menengah termasuk Pejabat Pelajaran Daerah Dungun.

"Sumbangan kek ini tidak hanya diberikan kepada sekolah kendalian PAS sahaja, malah turut disampaikan kepada semua Tabika Kemas, Tabika Perpaduan termasuk Taska Permata, " ujar AJK MTD Sura, Ustaz Haji Mohd Hanafiah Hitam yang turut sama semasa penyampaian kek tersebut dilakukan.

Penyampaian kek ini disertai sama oleh sebahagian AJK MTD Sura dan AJK Majlis Tindakan Muslimat DUN Sura termasuk isteri kepada Ahli Parlimen Dungun, Puan Hajjah Siti Zaliha Mohd dan isteri kepada ADUN Sura, Puan Hajjah Roslina Harun.

ADUN Sura Santuni Warga Pendidik Sempena Hari Guru 2014

DUNGUN, 18 Mei 2014 - ADUN Sura, Y.B. Haji Wan Hapandi Wan Nik menyediakan hampir 50 biji kek untuk disumbangkan ke sekolah-sekolah, menengah dan rendah, PASTI dan tadika sekitar DUN Sura, di sini, termasuk Pejabat Pelajaran Daerah Dungun sempena Hari Guru 2014.
Turut mengambil bahagian dalam sumbangan ini ialah sebahagian Ahli Jawatankuasa MTD Sura termasuk AJK Majlis Tindakan Muslimat DUN Sura.
Mereka disertai sama oleh isteri kepada Ahli Parlimen Dungun, Puan Hajjah Siti Zaliha Mohd dan isteri kepada ADUN Sura sendiri, Puan Hajjah Roslina Harun.
 
Program tahunan sejak dimulakan oleh bekas ADUN Sura terdahulu, Y.B. Ustaz Haji Wan Hassan Mohd Ramli ini bukan sahaja menumpukan kepada sekolah yang berada di bawah kendalian PAS sahaja, malah turut melibatkan tabika Kemas, Tabika Perpaduan, Taska Permata serta sekolah-sekolah kerajaan sehingga Pejabat Pelajaran Daerah Dungun.

ADUN Sura tidak sempat hadir ke semua lokasi sumbangan kerana bertembung dengan majlis lain yang perlu dipenuhi undangannya. Baki sumbangan disampaikan oleh wakilnya dari kalangan AJK MTD Sura. 

Sunday, May 11, 2014

ADUN Sura Ulangi Desakan Percepat Pembinaan Hospital Baru Dungun

DUNGUN, 12 Mei - ADUN Sura, Y.B. Haji Wan Hapandi Wan Nik mengulangi desakan supaya kerajaan negeri menggunakan semua saluran yang ada untuk memastikan Kementerian Kesihatan mempercepatkan pembinaan sebuah hospital baru di daerah Dungun.

Beliau diminta mengulas keadaan Hospital Dungun yang tidak lagi mampu menampung jumlah pesakit yang makin bertambah selain berada di lokasi yang agak sibuk.

“Kita minta pihak berwajib dapat memberi keutamaan hal kebajikan rakyat ini, memandangkan keperluan untuk memperolehi khidmat kesihatan ini wajar menjadi agenda utama pihak kerajaan, “ ujar beliau ketika ditemui di Hospital Dungun semasa menyampaikan kek sebagai simbolik penghargaan sempena Hari Jururawat 2014, di sini.

“Saya sendiri pernah bangkitkan hal ini di sidang DUN Terengganu yang lalu, termasuk dikemukakan permasalahan ini melalui Ahli Parlimen Dungun, Y.B. Ustaz Haji Wan Hassan Mohd Ramli di sidang parlimen, namun sehingga sekarang pihak kerajaan pusat masih belum menunjukkan sebarang reaksi positif untuk pembinaan hospital baru ini,”
“Sesuai dengan taraf perbandarannya, sewajarnya Dungun diberi keutamaan termasuk dalam aspek penyediaan kesihatan yang baik dan selesa untuk penduduknya, “ desak beliau lagi yang juga Ketua Lajnah Kebajikan PAS Kawasan Dungun.
Sementara itu, sumbangan kek sempena Hari Jururawat 2014 tersebut disertai oleh Ahli Jawatankuasa Majlis Tindakan Muslimat DUN Sura yang terdiri dari Ketuanya, Puan Hajjah Siti Zaliha Mohd merangkap isteri kepada Ahli Parlimen Dungun, Setiausahanya Puan Zaidah Abdullah, selain tiga orang Ahli Jawatankuasanya, Puan Rohaizah Ithnin, Puan Noliah Ngah dan Puan Hajjah Roslina Harun selaku isteri kepada ADUN Sura.
Empat lokasi sumbangan tersebut ialah Hospital Dungun, Klinik Kesihatan Alur Tembesu, Pejabat Kesihatan Daerah Dungun dan Kilinik Desa Padang Jambu.

Sempena Hari Jururawat 2014 : ADUN Sura Hargai Bakti Jururawat

DUNGUN, 12 Mei 2014 - Sempena Hari Jururawat 2014 yang diraikan tanggal 12 Mei setiap tahun, ADUN Sura, Y.B. Haji Wan Hapandi Nik menyampaikan sumbangan kek sebagai simbolik penghargaan di atas peranan warga jururawat membantu masyarakat terutama dalam aspek kesihatan.
"Semoga ciri-ciri pengamal perubatan yang sangat istimewa yang dimiliki oleh seorang jururawat yang cemerlang, Rufaidah binti Sa'ad yang pernah berkhidmat di zaman Rasulullah S.A.W. menjadi motivasi untuk terus cemerlang dalam dunia kejururawatan masakini, " petikan ucapan ADUN Sura sempena Hari Jururawat 2014.
Penyampaian sumbangan tersebut disertai oleh Ahli Jawatankuasa Majlis Tindakan Muslimat DUN Sura yang terdiri dari Ketuanya, Puan Hajjah Siti Zaliha Mohd merangkap isteri kepada Ahli Parlimen Dungun, Setiausahanya Puan Zaidah Abdullah, selain tiga orang Ahli Jawatankuasanya, Puan Rohaizah Ithnin, Puan Noliah Ngah dan Puan Hajjah Roslina Harun selaku isteri kepada ADUN Sura.
Empat lokasi sumbangan tersebut ialah Hospital Dungun, Klinik Kesihatan Alur Tembesu, Pejabat Kesihatan Daerah Dungun dan Kilinik Desa Padang Jambu.

PAS Berjaya Realisasikan Impian Miliki Rumah Kediaman Sendiri

DUNGUN, 11 Mei 2014 - Tanggal 9 Mei, 2014 merupakan detik bersejarah bagi kehidupan lima sekeluarga di Kampung Sungai Buaya, di sini yang terdiri daripada sepasang suami isteri iaitu Encik Mohd Sazlly Najalhi, 36 dan pasangannya, Puan Salina Abu Bakar serta tiga orang mereka yang terpaksa tinggal di kandang kambing terbiar kerana tidak mampu untuk membina kediaman sendiri, akhirnya impian memiliki kediaman sendiri menjadi kenyataan.
Sempena setahun kemenangan ADUN Sura, Y.B. Haji Wan Hapandi Wan Nik melalui PRU-13 yang lalu, satu majlis penyerahan kunci dilakukan di tapak rumah yang baru disiapkan tersebut.
"Saya bersyukur setelah genap setahun diberi kemenangan, dengan kerjasama semua pihak yang prihatin terhadap golongan yang memerlukan, rumah ini berjaya disiapkan sebagaimana dijadualkan, " ujar beliau semasa ucapan sebelum penyerahan kunci kepada keluarga terbabit.
Impian yang tertangguh sejak sepuluh tahun lalu itu, dimulakan melalui majlis pelancaran pembinaannya akhir Januari lalu. 
"Saya masih ingat, kita mulakan mesyuarat untuk tujuan ini akhir tahun 2013 lalu dan pada Januari baru-baru ini kita mulakan pembinaannya, " beritahu ADUN Sura.
"Selaku wakil rakyat pembangkang, kita tidak diberi sebarang peruntukan untuk mambantu rakyat, walau bagaimana pun hasrat untuk melihat golongan yang memerlukan tidak terpinggir, melalui sikap prihatin daripada para dermawan khususnya, dengan kos sebanyak RM28 ribu, hasrat murni ini berjaya direalisasikan, Alhamdulillah, " penghargaan beliau kepada dermawan yang banyak menjayakan pembinaan rumah tersebut.

Tuesday, May 6, 2014

ADUN Sura Hargai Peranan Anggota Bomba dan Penyelamat

DUNGUN, 6 Mei 2014 - Sempena Hari Anggota Bomba Sedunia yang disambut tanggal 4 Mei baru-baru ini, ADUN Sura, Y.B. Haji Wan Hapandi Wan Nik pagi tadi, meluangkan masa hadir ke Balai Bomba dan Penyelamat Dungun di Sungai Penaga, di sini, menyampaikan kek sebagai simbolik penghargaan di atas peranan pasukan berkenaan dalam operasi menyelamat khususnya di sekitar daerah Dungun.
Ketibaan ADUN Sura, disambut oleh Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Encik Nor Azizi bin Che Noh.
Beliau merakamkan ucapan terima kasih di atas prihatin dan ingatan pihak ADUN Sura terhadap peranan pasukan bomba dalam usaha menyelamatkan nyawa dan harta benda masyarakat.
"Terima kasih di atas prihatin pihak Y.B. terhadap peranan kami, memanglah menjadi tekad kami untuk berusaha menjayakan setiap operasi dengan penuh tanggungjawab, " ujar beliau, yang turut menerangkan pengalaman pasukannya dalam mengendalikan operasi menyelamat di sekitar Dungun.

"Sebelum ni, ingatan yang sama pernah kami terima daripada Y.B. Ustaz Wan Hassan, terima kasih YB kerana masih berterusan menghargai tanggungjawab kami," akui beliau yang sebelum ini pernah menerima penghargaan yang sama daripada ADUN Sura terdahulu, Y.B. Ustaz Haji Wan Hassan Mohd Ramli.
Beliau turut menyampaikan cenderamata kepada ADUN Sura di atas kunjungan tersebut sebagai ingatan daripada pihak beliau dan anggotanya.
ADUN Sura turut berkesempatan bersua muka dengan anggota bomba yang bersiap sedia untuk menjalankan tugas di bilik operasi.
Dalam kunjungan sekitar tiga puluh minit itu, Encik Nor Azizi sempat memberi taklimat ringkas kepada ADUN Sura berhubung jentera penyelamat yang baru diterima dalam tempoh seminggu lalu.
ADUN Sura diiringi oleh Ketua PAS Cawangan Jalan Lembah, Ustaz Haji Abdull Rahim Abdull Jalil ketika kunjungan tersebut.
Related Posts with Thumbnails

YB ADUN Sura Untuk Semua

 

Arkib Laman

Blog YB ADUN Sura © 2008 | Ripped by SamarQondy | Coordinated by Team IT DUN Sura