Sunday, December 28, 2014

Rakyat Tidak Mahukan Panggilan Retorik Politik Ketika Ini, Cukuplah Dengan Panggilan Agar Nyawa Mereka Diselamatkan Didengari



KUALA LUMPUR, 28 Disember 2014 : JUHAM mendesak kerajaan pusat mengisytiharkan darurat bencana mengikut perkara 20 arahan no. 20, dasar dan mekanisme pengurusan bencana negara, majlis keselamatan negara. Desakan itu berdasarkan situasi banjir di negara ini khususnya di Pantai Timur masih dalam keadaan kritikal.



Demikian dinyatakan JUHAM dalam satu kenyataan medianya  melalui  Pengarah Jabatan Undang-Undang & Hak Asasi Manusia, Pemuda Pas Malaysia Noorazmir Zakaria.

Berikut kenyataan penuh JUHAM.

1. Jabatan Undang-undang & Hak Asasi Manusia, Pemuda Pas Malaysia (JUHAM) mendesak Kerajaan Persekutuan untuk mengisytiharkan darurat serta-merta di negeri-negeri yang teruk terjejas dilanda bencana banjir mengikut Per. 25 Arahan No. 20, Dasar Dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara, Majlis Keselamatan Negara.

2. JUHAM berasa amat aneh dengan sikap Kerajaan Persekutuan yang telah meluluskan dan menetapkan sendiri Standard Operating Procedures (SOP) mereka dalam mengendalikan bencana melalui Arahan No. 20 Majlis Keselamatan Negara tersebut. Namun, kali ini mereka memilih untuk tidak mengikut SOP mereka sendiri.

3. Kerajaan Persekutuan pernah mengisytiharkan darurat bencana ini beberapa kali sebelum ini, tetapi kenapa tidak sekarang? Sebagai contoh, darurat disebabkan jerebu pernah diumumkan di Kuching pada 1997, Pelabuhan Klang pada 2005 dan Muar serta Ledang pada 2013.

4. Berdasarkan kepada peningkatan jumlah mangsa yang dipindahkan ke tempat operasi pemindahan, jumlah mangsa yang belum dipindahkan juga sebenarnya masih belum dipastikan. Malah, masih terdapat mangsa banjir yang sedang berada di bukit-bukau yang tersisih daripada operasi menyelamat.

5. Ironinya, TV9 melalui rancangan Nasi Lemak Kopi O pada pagi Sabtu turut menerima panggilan telefon secara langsung daripada mangsa banjir yang terperangkap di bukit-bukau dan mengesahkan mereka tidak menerima bantuan tatkala bekalan makanan sudah kehabisan.

6. Situasi sebegini mengharuskan untuk pengisytiharan darurat serta-merta kerana bencana ini bukan lagi bencana biasa, tetapi melibatkan nyawa yang bertarung dengan masa. Kerajaan mahupun media tidak boleh menafikan bahawa bencana banjir ini sudah meragut nyawa manusia, namun statistik sebenar masih samar ekoran laporan yang tidak dikemaskini secara tersusun.

7. JUHAM kesal dengan mainan media yang cuba menghalalkan tindakan Kerajaan yang gagal mengisytiharkan darurat ini dengan menggunakan alasan rakyat akan rugi kerana mereka tidak boleh menuntut insuran akibat daripada pengisytiharan darurat tersebut.

8. JUHAM menegaskan bahawa alasan ini tidak berasas atas faktor berikut:
a. Mana-mana pelanggan insurans sebenarnya perlu mengambil polisi tuntutan yang melibatkan bencana banjir terlebih dahulu sekiranya mereka ingin membuat tuntutan yang serupa. Sekiranya mereka tidak berbuat demikian, tuntutan yang melibatkan bencana banjir adalah langsung tidak relevan.

b. Sekiranya ada di kalangan mangsa banjir mempunyai polisi perlindungan akibat bencana banjir tersebut sekalipun, mereka masih boleh membuat tuntutan tersebut kerana bencana banjir yang menimpa mereka adalah SEBELUM pengisytiharan darurat.

9. Justeru, JUHAM menegaskan bahawa alasan berkenaan insurans tersebut langsung tidak relevan dalam menafikan pengisytiharan darurat dibuat.

10. Seterusnya, JUHAM menafikan sekeras-kerasnya alasan sesetengah pihak yang mengatakan Kerajaan Persekutuan akan mengambil-alih hal ehwal pentadbiran Kerajaan Negeri. Hal ini kerana pengisyiharan darurat bencana ini langsung tidak mempunyai kaitan dengan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan kerana ia hanyalah melibatkan pengurusan bencana semata-mata, bukannya membawa kepada peralihan penguasaan sesuatu kerajaan.

11. Setelah pengisytiharan darurat bencana ini dibuat, maka keseluruhan aset Kerajaan Persekutuan akan digunakan sepenuhnya. Maka, apakah alasan untuk tidak menggunakan keseluruhan aset Kerajaan termasuk kelengkapan tentera darat, tentera udara mahupun tentera laut bagi menyelamatkan nyawa rakyat sendiri? Rakyat tidak mahukan panggilan retorik politik ketika ini. Cukuplah dengan panggilan agar nyawa mereka diselamatkan didengari.

12. Apatah lagi, JUHAM percaya pengisytiharan darurat bencana ini akan menyebabkan usaha menyelamat lebih efisyen kerana segala arahan di setiap agensi kerajaan akan lebih mudah diturunkan tanpa bebanan birokrasi.

13. Tenaga serta aset menyeluruh daripada Kerajaan Pusat amat ditagih bukan sahaja ketika banjir melanda, tetapi juga dalam operasi pasca banjir memandangkan proses pembersihan perlu dilakukan segera untuk mengelakkan wabak penyakit yang boleh meragut nyawa.

14. Akhirnya, JUHAM mendesak kesemua media utama membuat laporan terkini terhadap operasi menyelamat bencana banjir ini setanding dengan laporan media sebelum ini terhadap kehilangan pesawat MH370. Rakyat mahukan laporan terkini kerana mangsa yang bertarung nyawa akibat bencana banjir ini adalah rata-ratanya terdiri daripada keluarga mereka sendiri.


sumber : harakahdaily.net 

Monday, December 15, 2014

ADUN Sura Gesa Kerajaan Wujudkan Sukarelawan Mengawal Kawasan Pantai Di Musim Tengkujuh

DUNGUN, 15 Disember 2014 - ADUN Sura merangkap Pengarah Jawatankuasa Tindakan Banjir PAS Kawasan Dungun, Y.B. Haji Wan Hapandi Wan Nik, menggesa kerajaan mewujudkan pasukan sukarelawan bagi mengawal dan meninjau di kawasan pantai yang berisiko berlakunya tragedi lemas di musim tengkujuh.
Beliau yang juga Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Kawasan Dungun mencadangkan perkara tersebut ekoran kejadian terbaru di Telok Bidara, Seberang Pintasan, di sini, 13 Disember, petang Sabtu baru-baru ini.
“Memandangkan masyarakat masih kurang peka terhadap bahaya melakukan aktiviti pantai di musim tengkujuh, amat wajar pihak kerajaan memikirkan langkah-langkah lebih berkesan untuk menghalang sebarang aktiviti pantai bermula tibanya musim tengkujuh sehingga berakhirnya musim tersebut, “ cadang beliau selepas meninjau lokasi kejadian petang ini.
“Dengan adanya pasukan sukarelawan yang melarang aktiviti pantai di musim tersebut, sekurang-kurangnya dapat menghalang orang ramai daripada terlibat dengan sebarang aktiviti yang membahayakan nyawa mereka”
“Papan tanda yang ada nampaknya kurang berkesan untuk beri peringatan kepada masyarakat tentang bahaya ini, “ujar beliau lagi.

Dalam kejadian 13 Disember, kira-kira jam 6.00 petang Sabtu baru-baru ini, Syed Mustapha Syed Suhaimi, 18, masih hilang selepas dihanyutkan ombak di Pantai Teluk Bidara, Seberang Pintasan, di sini.

Sementara sepupu mangsa, Syed Ali Syed Alwi, 18, dan seorang lagi rakannya Jalauddin Ali Hassan, 21, yang turut mandi laut terselamat.

Tahun lalu pada tarikh yang sama, dua pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin turut lemas di lokasi sama. Mohd Hanif Jainuri, 18, dari Kampung Sri Dalam Senggarang, Johor dan Ahmad Syukri Eiman Romainor, 18, dari Sungai Besi, Kuala Lumpur menemui ajal akibat lemas.

Sementara itu, ADUN Sura turut merakamkan ucapan setinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi mencari mangsa yang telah masuk hari ketiga, di antaranya Unit Amal, PDRM, Anggota Bomba dan Penyelamat, JPAM dan RELA termasuk squad bencana daripada DUN Rantau Abang sendiri, selain daripada Chukai dan Kuala Berang.

“Semoga operasi mencari dengan kerjasama semua pihak ini dapat membuahkan hasil serta dikurniakan ganjaran amal soleh dari sisiNya, insyaAllah,” tambahnya lagi.

“Ibubapa juga mesti sentiasa mengawasi anak-anak kecil mereka supaya tidak bermain di kawasan berisiko seperti paya terbiar dan longkang-longkang besar, “ akhiri beliau.

Beliau dipercayai merujuk kejadian seorang kanak-kanak ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Kampung Ladang Hospital, Kuala Terengganu pada 14 Disember, semalam.

Mangsa, Mohamad Zarul Adha Rosmadi, enam tahun terjatuh selepas bermain di longkang besar kira- kira jam 4.30 petang.

Mangsa dipercayai bermain bersama abang dan sepupunya, sebelum terjatuh ke dalam longkang.

Tuesday, November 25, 2014

"Jangan Leka," Pengarah JK Banjir PAS Dungun

Oleh : NM

DUNGUN, 26 November 2014 - Pengarah Jawatankuasa Tindakan Banjir PAS Kawasan Dungun, Y.B. Haji Wan Hapandi Wan Nik, mengulangi gesaan beliau agar penduduk yang mendiami kawasan berisiko tidak leka dan terus mengikuti perkembangan maklumat banjir dari masa ke semasa. 
Gambar hiasan…akhir tahun lalu, Pengarah Banjir PAS Dungun, Y.B. Haji Wan Hapandi Wan Nik
ketika mengiringi Pesuruhjaya BPPNT, Y.B. Ustaz Haji Satiful Bahri Mamat meninjau dan
menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Durian Mentangau, Dungun.

“Walaupun bacaan paras air di beberapa batang sungai utama di kawasan Dungun berada di bawah paras berjaga-jaga dan hujan turun sekejap-sekejap, risiko banjir masih lagi berada dalam zon yang dikatakan musim tengkujuh.

“Daerah Dungun belum dilanda banjir musim ini, hanya beberapa tempat dinaiki air seperti di Kampung Nyiur baru-baru ini, namun keadaan masih terkawal dan sekejap sahaja,”ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kawasan Sura berharap sangat ibu-bapa di kawasan pantai dapat mengawasi seluruh anak dan keluarga apabila berada di pantai kerana keadaan laut dan ombak tidak menentu. Nelayan juga perlu berwaspada bila turun ke laut mencari rezeki dalam keadaan musim tengkujuh ini terutama nelayan pantai yang menggunakan bot kecil. 
Gambar hiasan…akhir tahun lalu, Pengarah JK Banjir PAS Dungun, Y.B. Haji Wan Hapandi Wan Nik
selaku ADUN Sura sejurus selesai mempengerusikan satu mesyuarat, hadir
 menyantuni mangsa banjir di pusat pemindahan di Balairaya Sura Utara, Dungun.

Begitu juga dengan aktiviti riadah di kawasan air terjun dan tasik terutama di kawasan perkelahan di Hulu Dungun, beliau menasihati pengunjung mengelakkan dari sebarang risiko bila berada di sana dalam keadaan hujan tidak menentu.

sumber : buletinonline.net

Sunday, October 5, 2014

Sempena Aidiladha, 80 Ekor Lembu Diqurbankan Di Bawah PAS Cawangan Dalam DUN Sura

DUNGUN, 5 Oktober 2014 - Berpandukan qaedah perlaksanaan agihan daging qurban seperti tahun-tahun sebelumnya, beberapa cawangan yang tidak melaksanakan sembelihan qurban akan turut menerima agihan daging dari beberapa pusat agihan yang telah ditetapkan untuk diagihkan kepada faqir miskin di cawangan berkenaan.

PAS Cawangan Bukit Chatak 1 mencatat jumlah sembelihan terbanyak iaitu 32 ekor daripada 80 ekor jumlah keseluruhan di Dun Sura. 

Pada hari raya pertama sahaja sebanyak 67 ekor telah disempurnakan penyembelihannya sementara bakinya sebanyak 13 ekor lagi bakal disempurnakan pada hari raya kedua.

“Beberapa cawangan yang tidak melaksanakan sembelihan qurban telah ditetapkan menerima daging di pusat agihan pada raya pertama iaitu di Surau Ustaz Haji Omar Shukri sementara baki cawangan lain akan menerima daging di pusat agihan pada raya kedua iaitu di Surau Haji Wan Ahmad,” demikian menurut ADUN Sura, Y.B. Haji Wan Hapandi Wan Nik merangkap Pengerusi MTD Sura yang ditemui di tapak penyembelihan di cawangan Bukit Chatak 1.

“Melalui qaedah perlaksanaan agihan ini, mana-mana cawangan yang tidak melaksanakan sembelihan qurban akan turut menerima daging qurban untuk diagihkan kepada faqir miskin di cawangan mereka,” tambah beliau lagi.

Beliau sendiri menyingsing lengan bersama para petugas membantu urusan agihan berkenaan.

Berdasarkan qaedah agihan ini, seramai hampir 300 orang faqir miskin dari beberapa cawangan yang tidak melaksanakan sembelihan qurban akan menerima agihan daging sempena Aidiladha tahun ini.


Sementara itu di cawangan Bukit Chatak 1, ADUN Sura menyampaikan sumbangan daging qurban dan beras kepada seramai lebih 200 orang faqir miskin sebaik urusan penyembelihan selesai.

Tuesday, September 9, 2014

ADUN Sura Santuni Calon Peperiksaan UPSR 2014, Lebih 20 Ribu Calon Menduduki Peperiksaan

DUNGUN, 9 September 2014 - ADUN Sura, Y.B. Haji Wan Hapandi Wan Nik hari ini hadir sendiri meluangkan masa bertemu calon-calon peperiksaan UPSR di Sekolah Kebangsaan Kuala Dungun, di sini.
Selain bertemu calon peperiksaan dari Sekolah Kebangsaan Kuala Dungun, beliau turut berkesempatan bersua muka dan memberi kata-kata perangsang kepada calon-calon dari Sekolah Rendah Agama Bersepadu Zainal Abidin yang ditempatkan di pusat peperiksaan di sekolah tersebut.
Sementara itu, seramai 472,853 murid menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) selama tiga hari di 8,299 pusat peperiksaan di seluruh negara, bermula hari ini.
Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu Zakaria Hussin pula berkata seramai 21,791 calon menduduki UPSR di 383 pusat peperiksaan di negeri ini.

Naluri seorang guru yang masih menebal dalam dirinya, mendorong ADUN Sura meninjau suasana hari pertama calon-calon menduduki peperiksaan.

Akhir tahun lalu, seramai lebih 50 orang calon peperiksaan UPSR 2013 dari sekolah sekitar DUN Sura yang memperolehi keputusan cemerlang 5A telah menerima sumbangan penghargaan daripada ADUN Sura. 

Thursday, August 28, 2014

ADUN Sura Ziarah Bakal Haji, 1.3 Juta Bakal Banjiri Arab Saudi

DUNGUN 28 Ogos 2014 - Bermula 24 Ogos, Ahad baru-baru ini, ADUN Sura, Y.B. Haji Wan Hapandi Wan Nik memulakan ziarah bakal haji yang akan menunaikan ibadah haji pada tahun ini.
 
Seramai hampir 30 orang dikenalpasti bakal bertolak ke tanah suci bermula semalam, 27 Ogos. Kunjungan dari rumah ke rumah bakal haji ini dapat mengeratkan hubungan selain mengenali lebih dekat rakyat di kawasan yang diwakilinya.
“Dengan kunjungan singkat ini dapatlah mengenali dengan lebih dekat sesama kita di samping mendengar permasalahan semasa yang dihadapi, “ ujar beliau selepas mengunjungi salah seorang bakal haji di Kampung Bukit Chatak.

“Apapun saya mendoakan semoga semua bakal haji dikurniakan kekuatan dan kesihatan yang baik sepanjang mengerjakan ibadah haji ini seterusnya beroleh haji mabrur, insyaAllah,” akhiri beliau sebelum singgah ke rumah bakal haji berikutnya.

Sementara itu, Arab Saudi dijangka menerima seramai 1.3 juta jemaah dari seluruh dunia pada tahun ini dengan negara Asia Selatan akan menghantar jemaah terbesar iaitu 410,000 orang dan diikuti dengan negara Arab seramai 250,000 orang.

Kenyataan yang dipetik Arab News memberitahu Kementerian Haji Arab Saudi memaklumkan, kira-kira 228,000 jemaah adalah terdiri dari negara Asia Tenggara termasuk Malaysia dan Indonesia.

Penerbangan pertama jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci tahun ini dijadualkan 27 Ogos, manakala penerbangan akhir 27 September, yang melibatkan seramai 22,320 orang Jemaah haji. 


Kumpulan pertama seramai 450 jemaah haji Malaysia bagi musim 1435 Hijrah ini tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohamad Bin Abdulaziz pada 9 pagi waktu tempatan (2 petang waktu Malaysia) Rabu.     

Sunday, August 24, 2014

Setahun Lalu ADUN Sura Ziarah Rakan Tunai Haji Sebelum Kembali Bertemu Penciptanya

DUNGUN, 25 Ogos 2014 - Hampir setahun lalu, 24 September 2013, ADUN Sura, Y.B. Haji Wan Hapandi Wan Nik mengunjungi rakan sepersekolahannya Haji Zakariah Ali yang akan berangkat untuk menunaikan ibadah haji dan pada pagi semalam, 24 Ogos, 2014 rakannya itu telah kembali ke pangkuan Penciptanya.
Haji Wan Hapandi bersama ADUN Rantau Abang, Haji Alias Harun 
dan wakil Ahli Parlimen Dungun, Haji Embong Abdullah 
ketika menziarah Allahyarham pada 24 September tahun lalu.

Allahyarham Haji Zakariah, 58, merupakan calon Barisan Nasional bagi kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Sura pada Pilihan Raya Umum Ke-13 yang lalu namun tewas kepada calon PAS, Haji Wan Hapandi Wan Nik dengan majoriti 2,957 undi.

Sebelum menceburi bidang politik, Allahyarham merupakan bekas Ketua Sektor Pengurusan Sekolah di Jabatan Pendidikan Negeri dan pernah memegang jawatan sebagai Pegawai Pendidikan Daerah Dungun.

Allahyarham dilantik Pegawai Khas Kepada Menteri Besar pada Ogos tahun lalu.
Menurut Haji Wan Hapandi, berita kematian rakannya itu diketahui pada waktu pagi sebelum beliau bertolak ke Kuala Terengganu untuk mengikuti sesi perbincangan soalan bagi persidangan DUN Terengganu yang dijadualkan pada 23 dan 24 September akan datang.

"Saya mendapat berita kematian beliau, sejurus sebelum bertolak ke Kuala Terengganu, jadi saya bergegas dahulu menziarahi jenazah beliau yang pada masa itu masih berada di kediaman beliau di Kampung Balai Besar, " ujar Haji Wan Hapandi yang sama-sama menuntut di Sekolah Menengah Tengku Ampuan Intan Zaharah, Dungun bersama Allahyarham sekitar tahun 1969 hingga 1973.

Isteri Allahyarham, Zainon Mohamad, 55, menyedari kematian suaminya yang menghidap penyakit jantung itu semasa mengejutkan Allahyarham untuk solat Subuh kira-kira pukul 5.45 pagi.
"Saya sempat menunaikan solat jenazah beliau yang telah disempurnakan selepas Asar dan penghantaran jenazah ke hospital Dungun sebelum itu dan ke tanah perkuburan menggunakan perkhidmatan Van Jenazah Ahli Parlimen Dungun, " beritahu beliau lagi yang turut memaklumkan jenazah telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gong Pasir.

"Saya doakan beliau ditempatkan di kalangan hamba-hambaNya yang soleh dan semoga keluarga beliau bersabar di atas musibah yang menimpa ini, " akhiri beliau.

Thursday, August 14, 2014

Hubungan Jabatan Dan Agensi Dengan ADUN Memudahkan Urusan Rakyat

IMG-20140812-WA0075DUNGUN - PAS mengalu-alukan tindakan pejabat dan agensi kerajaan menjalinkan hubungan silaturrahim dan ukhuwah dengan semua pihak dan bersedia hadir untuk apa-apa jua program yang membawa kebaikan untuk rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik berkata selaku penjawat awam, para kakitangan kerajaan seharusnya menjaga hubungan baik dengan semua pihak tanpa sebarang prasangka.
“saya merasa sukacita dan ucap terima kasih serta mengalu-alukan pihak jabatan dan agensi kerajaan yang mengadakan majlis-majlis sempena hari raya,
“kakitangan kerajaan adalah penjawat awam yang dibayar melalui cukai dipungut dari rakyat, tanggungjawab yang paling besar adalah menunaikan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat,”ujarnya.
IMG-20140812-WA0076Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis rumah terbuka yang dianjurkan oleh Pejabat Agama Daerah Dungun di sini pada Selasa 12 Ogos.
Beliau yang pernah mendapat jemputan dari kakitangan beberapa jabatan dan agensi sebelum ini bimbang untuk hadir kerana tindakan kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) yang memberikan tekanan kepada mana-mana pihak yang cuba berbaik dengan PAS.
“AlhamduliLlah, kita harap ada pemikiran yang lebih matang dan terbuka dan dengan kehadiran saya dan semua wakil-wakil rakyat PAS dalam majlis anjuran jabatan dan agensi itu insyaAllah,
“akan meningkatkan hubungan……..berkenal-kenalan dan dapat memudahkan urusan wakil-wakil yang dipilih rakyat dengan jabatan dan agensi,”jelasnya.

Saturday, August 9, 2014

Pembakaran Bendera Zionis Yahudi Di Rumah Terbuka ADUN Sura

DUNGUN, 9 Ogos 2014 - Rata-rata di kalangan wakil rakyat mengadakan rumah terbuka sempena Aidilfitri bersama rakyat masing-masing.
ADUN Sura, Y.B. Haji Wan Hapandi Wan Nik turut mengadakan majlis tersebut yang berlangsung bermula jam 10.00 pagi hingga jam 2.00 petang di perkarangan kediaman beliau, di sini, hari ini.
Di laluan pintu masuk ke perkarangan kediaman beliau diletakkan bendera Israel untuk dipijak oleh para tetamu yang hadir kemudian ianya dibakar sebagai simbolik menunjukkan protes di atas kebiadapan rejim zionis yang melakukan serangan tidak berperikemanusiaan di Gaza.
“Kita menerima baik cadangan yang dikemukakan oleh pihak Pemuda PAS DUN Sura, supaya bendera rejim zionis diletakkan di laluan masuk ke perkarangan lokasi majlis ini untuk dipijak oleh para tetamu yang hadir seterusnya dibakar sebagai menunjukkan protes terhadap sikap biadap rejim ke atas saudara seIslam di Gaza, “
“Sebelum ini, kita turut menghulurkan sumbangan kewangan yang disalurkan melalui PAS Kawasan Dungun sebagai tanda solidariti terhadap nasib yang menimpa saudara kita di sana, “ ujar beliau ketika melayan tetamu yang hadir.
“Di samping kita menyambut Hari Raya sewajarnya kita jangan lupa kepada saudara kita di Gaza yang masih terkepung dengan serangan ganas rejim zionis, kita doakan saudara kita di sana terus diberi kekuatan dan kemenangan oleh Allah S.W.T., insyaAllah, “ tambah beliau lagi.
Majlis yang dihadiri oleh lebih tiga ribu orang itu turut dikunjungi oleh Ahli Parlimen Dungun, Y.B. Ustaz Haji Wan Hassan Mohd Ramli dan isteri serta pelbagai lapisan masyarakat termasuk dari golongan warga Tionghua.

Golongan kanak-kanak diraikan dengan penyediaan aiskrim percuma dan agihan duit raya.

Acara pembakaran bendera zionis Yahudi dilakukan di waktu puncak majlis dan disempurnakan bersama oleh Ahli Parlimen Dungun, Y.B. Ustaz Haji Wan Hassan Mohd Ramli dan ADUN Sura sendiri diiringi laungan takbir oleh para hadirin.

Sunday, August 3, 2014

ADUN Sura Saran Polis Pertingkat Rondaan dan Rangka Pelan Bertindak Lebih Berkesan

DUNGUN, 4 Ogos 2014 - ADUN Sura, Y.B. Haji Wan Hapandi Wan Nik meminta pihak polis mempertingkatkan rondaan di kawasan yang kerap berlaku kejadian pecah rumah dan kecurian khususnya di bandar Dungun dan sekitarnya.
 
“Kita yakin pihak polis mempunyai rekod lokasi yang kerap berlakunya jenayah pecah rumah ini, berdasarkan rekod yang ada ini kekerapan rondaan di kawasan berkenaan termasuk di premis yang tidak berpenghuni perlu dipertingkatkan seperti di PASTI dan lain-lain premis pendidikan yang tidak menyediakan perkhidmatan pengawal keselamatan, “ beliau menyarankan langkah demikian merujuk kejadian kecurian di PASTI As-Syakirin, Tanah Lot di sini.
 “Dan melalui Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) disarankan merangka pelan bertindak yang lebih berkesan untuk mencegah kejadian seumpama ini dari terus berulang, “ ujar beliau yang juga merupakan Ketua Lajnah Kebajikan & Kemasyarakatan PAS Kawasan Dungun.

Dalam kejadian yang disedari pagi Khamis 31 Julai itu, bahagian bawah yang menempatkan dua kelas PASTI telah digeledah dan pendawaian elektrik telah dicuri, penjenayah dipercayai menceroboh masuk melalui tingkap belakang berdasarkan kesan umpilan penghadang tingkap yang rosak. 

Berikutan kejadian tersebut, tindakan segera pungutan derma kilat telah diusahakan melalui Pemuda PAS DUN Sura dan PAS Cawangan Tanah Lot, memandangkan sesi persekolahan sempena cuti Aidilfitri bermula pada Ahad 3 Ogos. Sejumlah RM6,000 berjaya dipungut untuk menampung kos pendawaian elektrik dan pemasangan grill tingkap. 


“Memandangkan sesi persekolahan bermula 3 Ogos, tindakan segera telah dilakukan untuk keselesaan para pelajar dan guru dan Alhamdulillah dengan inisiatif yang turut diusahakan oleh Pemuda PAS DUN Sura, kerja-kerja baikpulih telah diusahakan, “ demikian menurut Ketua PAS Cawangan Tanah Lot, Haji Mohd Amin Hamid yang turut mengucapkan terima kasih kepada para dermawan di atas sumbangan yang telah diberikan.

Thursday, July 24, 2014

ADUN Sura Sampaikan Sumbangan Kos Pembedahan Pesakit Gout

DUNGUN, 24 Julai 2014 - ADUN Sura, Y.B. Haji Wan Hapandi Wan Nik, petang tadi mengunjungi dan bertanya khabar pesakit gout, Abdullah Abd Ghani, 46, yang telah menjalani pembedahan kecil pada awal Jun, baru-baru ini.

Sakit gout adalah sejenis penyakit sendi yang berpunca daripada pembentukan kristal asid urik di dalam cecair sendi ekoran daripada kandungan asid urik yang tinggi di dalam darah.
Menurut Encik Abdullah, yang merupakan seorang peniaga warung di tepi sungai Kampung Nibong, beliau mula mengalami penyakit ini sejak berusia 20-an.
Selain menyampaikan sumbangan hasil derma orang ramai, ADUN Sura turut menyampaikan hamper raya ketika ziarah yang turut disertai oleh Setiausaha MTD Sura, Encik Mohamed Ibrahim Sini Mohamed, Ketua Lajnah Kebajikan & Kemasyarakatan MTD Sura, Haji Zakariah Yusoff dan Ketua PAS Cawangan Jalan Lembah, Ustaz Haji Abdull Rahim Abdull Jalil.

Tuesday, July 22, 2014

Terjah Sahur : Kreativiti Mencipta Program Baru, Mendekatkan Masyarakat Dengan PAS

DUNGUN, 22 Julai 2014 - Dalam suasana aman yang memerlukan kepakaran dan kebijaksanaan merancang ketika masih berada di bawah penguasaan musuh, maka sebarang bentuk kreativiti hendaklah dicipta terutamanya dalam menghasilkan pendekatan baru yang boleh membawa masyarakat lebih mengenali sesuatu perjuangan.

Golongan pemuda yang masih mempunyai segala kekuatan sewajarnya lebih terkedepan dalam hal ini, dengan aqal yang masih muda dan kuat, keazaman yang kuat untuk melihat Islam didaulatkan, ditambah dengan niat yang ikhlas mengharapkan redhaNya, mudah-mudahan inilah pemuda yang digambarkan oleh Allah SWT di dalam al-Quranul Karim, yang bermaksud :-

Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.(Al-Kahfi 18:13) 
“Maka program Terjah Sahur yang dicipta oleh Pemuda DUN Sura ini, diharap dapat mendekatkan lagi masyarakat untuk mengenali PAS, lebih-lebih lagi pihak pemuda baru sahaja selesai dengan program tahunannya, Pemuda BersamaMu 10.0 yang telah pun mempunyai trademarknya yang tersendiri”, demikian pandangan ADUN Sura, Y.B. Haji Wan Hapandi Wan Nik yang turut bersama program ‘Terjah Sahur’ yang dianjurkan Pemuda DUN Sura, awal pagi tadi. 
Program ‘Terjah Sahur’ yang diadakan julung kalinya ini mensasarkan pengawal keselamatan di sekolah-sekolah sekitar DUN Sura, di sini.

Juadah sahur yang disediakan ialah nasi goreng ayam, sebekas biskut raya dan air minuman.

Seramai 26 orang pengawal keselamatan disantuni oleh ADUN Sura bersama para petugas squad Pemuda BersamaMu yang melibatkan 11 buah sekolah yang terdiri daripada sekolah kebangsaan dan sekolah menengah sekitar DUN Sura.
Related Posts with Thumbnails

YB ADUN Sura Untuk Semua

 

Arkib Laman

Blog YB ADUN Sura © 2008 | Ripped by SamarQondy | Coordinated by Team IT DUN Sura