Sunday, December 28, 2014

Rakyat Tidak Mahukan Panggilan Retorik Politik Ketika Ini, Cukuplah Dengan Panggilan Agar Nyawa Mereka Diselamatkan Didengari



KUALA LUMPUR, 28 Disember 2014 : JUHAM mendesak kerajaan pusat mengisytiharkan darurat bencana mengikut perkara 20 arahan no. 20, dasar dan mekanisme pengurusan bencana negara, majlis keselamatan negara. Desakan itu berdasarkan situasi banjir di negara ini khususnya di Pantai Timur masih dalam keadaan kritikal.



Demikian dinyatakan JUHAM dalam satu kenyataan medianya  melalui  Pengarah Jabatan Undang-Undang & Hak Asasi Manusia, Pemuda Pas Malaysia Noorazmir Zakaria.

Berikut kenyataan penuh JUHAM.

1. Jabatan Undang-undang & Hak Asasi Manusia, Pemuda Pas Malaysia (JUHAM) mendesak Kerajaan Persekutuan untuk mengisytiharkan darurat serta-merta di negeri-negeri yang teruk terjejas dilanda bencana banjir mengikut Per. 25 Arahan No. 20, Dasar Dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara, Majlis Keselamatan Negara.

2. JUHAM berasa amat aneh dengan sikap Kerajaan Persekutuan yang telah meluluskan dan menetapkan sendiri Standard Operating Procedures (SOP) mereka dalam mengendalikan bencana melalui Arahan No. 20 Majlis Keselamatan Negara tersebut. Namun, kali ini mereka memilih untuk tidak mengikut SOP mereka sendiri.

3. Kerajaan Persekutuan pernah mengisytiharkan darurat bencana ini beberapa kali sebelum ini, tetapi kenapa tidak sekarang? Sebagai contoh, darurat disebabkan jerebu pernah diumumkan di Kuching pada 1997, Pelabuhan Klang pada 2005 dan Muar serta Ledang pada 2013.

4. Berdasarkan kepada peningkatan jumlah mangsa yang dipindahkan ke tempat operasi pemindahan, jumlah mangsa yang belum dipindahkan juga sebenarnya masih belum dipastikan. Malah, masih terdapat mangsa banjir yang sedang berada di bukit-bukau yang tersisih daripada operasi menyelamat.

5. Ironinya, TV9 melalui rancangan Nasi Lemak Kopi O pada pagi Sabtu turut menerima panggilan telefon secara langsung daripada mangsa banjir yang terperangkap di bukit-bukau dan mengesahkan mereka tidak menerima bantuan tatkala bekalan makanan sudah kehabisan.

6. Situasi sebegini mengharuskan untuk pengisytiharan darurat serta-merta kerana bencana ini bukan lagi bencana biasa, tetapi melibatkan nyawa yang bertarung dengan masa. Kerajaan mahupun media tidak boleh menafikan bahawa bencana banjir ini sudah meragut nyawa manusia, namun statistik sebenar masih samar ekoran laporan yang tidak dikemaskini secara tersusun.

7. JUHAM kesal dengan mainan media yang cuba menghalalkan tindakan Kerajaan yang gagal mengisytiharkan darurat ini dengan menggunakan alasan rakyat akan rugi kerana mereka tidak boleh menuntut insuran akibat daripada pengisytiharan darurat tersebut.

8. JUHAM menegaskan bahawa alasan ini tidak berasas atas faktor berikut:
a. Mana-mana pelanggan insurans sebenarnya perlu mengambil polisi tuntutan yang melibatkan bencana banjir terlebih dahulu sekiranya mereka ingin membuat tuntutan yang serupa. Sekiranya mereka tidak berbuat demikian, tuntutan yang melibatkan bencana banjir adalah langsung tidak relevan.

b. Sekiranya ada di kalangan mangsa banjir mempunyai polisi perlindungan akibat bencana banjir tersebut sekalipun, mereka masih boleh membuat tuntutan tersebut kerana bencana banjir yang menimpa mereka adalah SEBELUM pengisytiharan darurat.

9. Justeru, JUHAM menegaskan bahawa alasan berkenaan insurans tersebut langsung tidak relevan dalam menafikan pengisytiharan darurat dibuat.

10. Seterusnya, JUHAM menafikan sekeras-kerasnya alasan sesetengah pihak yang mengatakan Kerajaan Persekutuan akan mengambil-alih hal ehwal pentadbiran Kerajaan Negeri. Hal ini kerana pengisyiharan darurat bencana ini langsung tidak mempunyai kaitan dengan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan kerana ia hanyalah melibatkan pengurusan bencana semata-mata, bukannya membawa kepada peralihan penguasaan sesuatu kerajaan.

11. Setelah pengisytiharan darurat bencana ini dibuat, maka keseluruhan aset Kerajaan Persekutuan akan digunakan sepenuhnya. Maka, apakah alasan untuk tidak menggunakan keseluruhan aset Kerajaan termasuk kelengkapan tentera darat, tentera udara mahupun tentera laut bagi menyelamatkan nyawa rakyat sendiri? Rakyat tidak mahukan panggilan retorik politik ketika ini. Cukuplah dengan panggilan agar nyawa mereka diselamatkan didengari.

12. Apatah lagi, JUHAM percaya pengisytiharan darurat bencana ini akan menyebabkan usaha menyelamat lebih efisyen kerana segala arahan di setiap agensi kerajaan akan lebih mudah diturunkan tanpa bebanan birokrasi.

13. Tenaga serta aset menyeluruh daripada Kerajaan Pusat amat ditagih bukan sahaja ketika banjir melanda, tetapi juga dalam operasi pasca banjir memandangkan proses pembersihan perlu dilakukan segera untuk mengelakkan wabak penyakit yang boleh meragut nyawa.

14. Akhirnya, JUHAM mendesak kesemua media utama membuat laporan terkini terhadap operasi menyelamat bencana banjir ini setanding dengan laporan media sebelum ini terhadap kehilangan pesawat MH370. Rakyat mahukan laporan terkini kerana mangsa yang bertarung nyawa akibat bencana banjir ini adalah rata-ratanya terdiri daripada keluarga mereka sendiri.


sumber : harakahdaily.net 

Monday, December 15, 2014

ADUN Sura Gesa Kerajaan Wujudkan Sukarelawan Mengawal Kawasan Pantai Di Musim Tengkujuh

DUNGUN, 15 Disember 2014 - ADUN Sura merangkap Pengarah Jawatankuasa Tindakan Banjir PAS Kawasan Dungun, Y.B. Haji Wan Hapandi Wan Nik, menggesa kerajaan mewujudkan pasukan sukarelawan bagi mengawal dan meninjau di kawasan pantai yang berisiko berlakunya tragedi lemas di musim tengkujuh.
Beliau yang juga Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Kawasan Dungun mencadangkan perkara tersebut ekoran kejadian terbaru di Telok Bidara, Seberang Pintasan, di sini, 13 Disember, petang Sabtu baru-baru ini.
“Memandangkan masyarakat masih kurang peka terhadap bahaya melakukan aktiviti pantai di musim tengkujuh, amat wajar pihak kerajaan memikirkan langkah-langkah lebih berkesan untuk menghalang sebarang aktiviti pantai bermula tibanya musim tengkujuh sehingga berakhirnya musim tersebut, “ cadang beliau selepas meninjau lokasi kejadian petang ini.
“Dengan adanya pasukan sukarelawan yang melarang aktiviti pantai di musim tersebut, sekurang-kurangnya dapat menghalang orang ramai daripada terlibat dengan sebarang aktiviti yang membahayakan nyawa mereka”
“Papan tanda yang ada nampaknya kurang berkesan untuk beri peringatan kepada masyarakat tentang bahaya ini, “ujar beliau lagi.

Dalam kejadian 13 Disember, kira-kira jam 6.00 petang Sabtu baru-baru ini, Syed Mustapha Syed Suhaimi, 18, masih hilang selepas dihanyutkan ombak di Pantai Teluk Bidara, Seberang Pintasan, di sini.

Sementara sepupu mangsa, Syed Ali Syed Alwi, 18, dan seorang lagi rakannya Jalauddin Ali Hassan, 21, yang turut mandi laut terselamat.

Tahun lalu pada tarikh yang sama, dua pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin turut lemas di lokasi sama. Mohd Hanif Jainuri, 18, dari Kampung Sri Dalam Senggarang, Johor dan Ahmad Syukri Eiman Romainor, 18, dari Sungai Besi, Kuala Lumpur menemui ajal akibat lemas.

Sementara itu, ADUN Sura turut merakamkan ucapan setinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi mencari mangsa yang telah masuk hari ketiga, di antaranya Unit Amal, PDRM, Anggota Bomba dan Penyelamat, JPAM dan RELA termasuk squad bencana daripada DUN Rantau Abang sendiri, selain daripada Chukai dan Kuala Berang.

“Semoga operasi mencari dengan kerjasama semua pihak ini dapat membuahkan hasil serta dikurniakan ganjaran amal soleh dari sisiNya, insyaAllah,” tambahnya lagi.

“Ibubapa juga mesti sentiasa mengawasi anak-anak kecil mereka supaya tidak bermain di kawasan berisiko seperti paya terbiar dan longkang-longkang besar, “ akhiri beliau.

Beliau dipercayai merujuk kejadian seorang kanak-kanak ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Kampung Ladang Hospital, Kuala Terengganu pada 14 Disember, semalam.

Mangsa, Mohamad Zarul Adha Rosmadi, enam tahun terjatuh selepas bermain di longkang besar kira- kira jam 4.30 petang.

Mangsa dipercayai bermain bersama abang dan sepupunya, sebelum terjatuh ke dalam longkang.
Related Posts with Thumbnails

YB ADUN Sura Untuk Semua

 

Arkib Laman

Blog YB ADUN Sura © 2008 | Ripped by SamarQondy | Coordinated by Team IT DUN Sura