Wednesday, July 30, 2008

AMALAN DI BULAN REJAB: ANTARA YANG PALSU DAN TULEN

Allah swt telah mengutuskan para rasul dan menurunkan kitab-kitabnya serta menyediakan batas-batas arahan dan larangan atau boleh juga disebut sebagai syariat kepada manusia. Ini semua bertujuan tidak lain dan tidak bukan supaya manusia itu mengabdikan diri serta mentauhidkan Allah swt di dalam semua keadaan dan tingkah lakunya. Malah, inilah tujuan utama penciptaan makhluk seperti mana yang ditegaskan oleh Allah swt di dalam firmannya yang bermaksud:

"Dan tidak Aku ciptakan jin dam manusia itu kecuali untuk mengabdikan diri kepada-Ku". (Surah al-Zaariyat: ayat 56).

Suatu perkara yang penting dan perlu untuk diberikan perhatian bahawa segala bentuk ibadah ini tidak akan diterima oleh Allah swt melainkan jika ianya dilakukan dengan penuh keikhlasan kepada Allah swt serta menepati dengan cara yang dilakukan dan diperintahkan oleh Rasulullah saw. Maka sebarang bentuk ibadah yang tidak memenuhi dua syarat ini, ianya tidak akan diterima oleh Allah swt apatah lagi untuk diberikan ganjaran. Allah swt berfirman yang bermaksud:

"Maka barangsiapa yang percaya dan mengharapkan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia melakukan amalan soleh dan janganlah mempersekutukan sesiapa pun di dalam ibadah kepada Tuhannya". ( Surah al-Kahfi: ayat 110).

Al-Imam Ibn Kathir (w 774 H) di dalam menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa: ((Barangsiapa yang mengharapkan ganjaran serta balasan yang baik hendaklah ia melakukan amalan yang bertepatan dengan syariat Allah, dan hanya kerana Allah (ikhlas) serta tidak ada sekutu bagi-Nya, dan inilah dua rukun untuk diterima segala amalan, iaitu mesti dilakukan dengan ikhlas kepada Allah dan menepati dengan syariat yang dibawa oleh Rasulullah saw)).

(Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim (Dimashq: Maktabah Dar al-Fiha’, cetakan ke-2, 1998), jilid 3, m/s 147).

Hal ini dikuatkan lagi dengan pendapat para ulamak, antaranya al-Fudhail bin ‘Iyadh r.h dalam kata-katanya: Sesungguhnya amalan yang dilakukan dengan penuh keikhlasan tetapi tidak betul maka ianya tidak akan diterima, dan jika dilakukan dengan betul tetapi tidak ikhlas, ianya juga tidak diterima, sehinggalah ianya dilakukan dengan penuh keikhlasan dan betul. Dan ikhlas itu ialah apabila dilakukan hanya kerana Allah ‘Azza wa Jalla, dan betul itu pula ialah apabila dilakukan menepati sunnah Rasulullah saw.

(Ibn Rejab al-Hanbali, Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, (Beirut: al-Maktabah al-‘Asriyah, cetakan ke-3, 2000), m/s 15).

Bulan Rejab dan amalan yang dilakukan di dalamnya.

Bulan Rejab adalah antara salah satu bulan yang termasuk di dalam bulan-bulan yang suci. Dinamakan dengan Rejab bersempena dengan penghormatan terhadapnya di zaman jahiliyyah dengan tidak melakukan sebarang peperangan di dalam bulan ini. (Al-Razi, Mukhtar al-Sihah (Bierut: Muassah al-Risalah, 2001), m/s 215)

Telah menjadi amalan kebanyakan umat Islam untuk menghidupkan bulan ini dengan pelbagai amalan. Persoalannya, adakah amalan-amalan tersebut dilakukan dengan ikhlas dan menepati sunnah Rasulullah saw untuk melayakkan amalan tersebut diterima? Menyentuh tentang persoalan ikhlas, kemungkinan semua orang memilikinya, tetapi adakah amalan tersebut bertepatan dengan syariat dan sunnah Rasulullah saw. Justeru, menjadi kewajipan ke atas umat Islam untuk menyemak dan memastikan segala amalan yang dilakukannya itu bertepatan dengan syariat dan sama dengan cara yang dilakukan oleh Rasulullah saw.

Antara amalan-amalan yang dilakukan oleh umat Islam dalam bulan Rejab ini yang tidak menepati sunnah Rasulullah saw ialah:

1) Menghidupkan malam ke-27, dan dinamakan dengan malam al-Isra’ wa al-Mi’raj.

Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa peristiwa al-Isra’ wa al-Mi’raj merupakan salah satu daripada peristiwa besar dan penting di dalam sejarah Islam. Ianya bukti kepada kebesaran Allah swt dan kebenaran Nabi Muhamad saw serta risalah yang dibawa oleh Baginda. Tersebar luas di kalangan umat Islam bahawa peristiwa agung ini berlaku di malam dua puluh tujuh di bulan Rejab. Maka sebahagian besar umat Islam menyambut dan menghidupkan malam ini dengan amalan-amalan yang khusus dengan mengharapkan fadhilat-fadhilat tertentu. Tetapi pendapat ini adalah tidak tepat sepertimana yang disebut oleh Syiekh Abdullah bin Abd al-Aziz bin Baz: Dan malam ini yang dikatakan berlaku padanya peristiwa al-Isra’ wa al-Mi’raj, tidak ada satu hadith sahih pun yang menyebut tentang tarikh peristiwa ini secara khusus, dan semua pendapat yang menyebut tentang tarikh berlakunya peristiwa ini secara khusus adalah tidak thabit daripada Rasulullah saw di sisi ulamak hadith, dan kepada Allah jualah diserahkan segala hikmah disebalik kerahsiaan ini kepada manusia, dan walau sekiranya terdapat hadith sahih yang menjelaskan tentang perkara ini, tetap juga tidak dibenarkan umat Islam untuk menghidupkan malam ini dengan amalan-amalan yang khusus, serta tidak harus untuk menghidupkannya dengan sebarang perayaan kerana Rasulullah saw dan para sahabat r.a tidak pernah merayakannya dan tidak melakukan sebarang amalan yang khusus. Sekiranya menghidupkan atau merayakan malam ke-27 ini amalan yang disyariatkan, semestinya Nabi saw akan menunjukan panduannya sama ada dengan kata-kata atau perbuatannya, dan sekiranya amalan ini pernah dilakukan oleh Baginda saw, semestinya akan diketahui dan masyhur serta akan disampaikan oleh para sahabat ra kepada kita.

(Abdullah bin Abd al-Aziz bin Baz, al-Tahzir min al-Bida’, cetakan ke-3, Uni. Islam Madinah, m/s 7).

2) Solat Raghaib

Solat ini dilakukan berdasarkan kepada satu hadith maudhu’ yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik ra, katanya: Telah bersabda Rasulullah saw: Rejab bulan Allah, Sya’ban bulan-ku, dan Ramadhan bulan umatku… dan tidak ada seorang pun yang berpuasa pada hari Khamis yang pertama dalam bulan Rejab kemudian melakukan solat diantara waktu Maghrib dan ‘Atamah (waktu sepertiga awal malam), iaitu dilakukan pada malam Jumaat sebanyak dua belas rakaat, dibaca pada setiap rakaat surah al-Fatihah sekali dan surah al-Qadr tiga kali, dan surah al-Ikhlas sebanyak dua belas kali, dan diselangi setiap dua rakaat dengan salam, dan apabila telah selesai, ia berselawat ke atasku sebanyak 70 kali, kemudian membaca: (Allahumma salli ‘ala Muhammadin Nabiy al-Ummiy wa ‘ala alihi), kemudian sujud dan membaca: (Subbhuhun Quddusun Rabbu al-Malaikatu wa al-Ruh) sebanyak 70 kali, kemudian ia angkat kepalanya dan kemudian membaca: (Rabbi ighfir warham watajawaj ‘amma ta’lamu innaka anta al-‘azizu al-a’dzam) sebanyak 70 kali, kemudian ia sujud kali kedua dan membaca seperti bacaan di sujud pertama, kemudian ia mohon kepada Allah segala hajatnya, nescaya akan ditunaikan. Bersabda Rasulullah saw lagi: Dan demi diriku yang di tangan-Nya, tidak ada seorang hamba pun, lelaki mahupun perempuan yang mengerjakan solat ini melainkan akan diampunkan Allah sekelian dosanya, walau pun seperti buih di lautan dan sebanyak dedaun di pohonan, dan ia akan dapat memberi syafaat pada hari Qiamat untuk 700 orang di kalangan kaum keluarganya…))

(Diriwayatkan oleh Ibn al-Jauzi, di dalam kitabnya al-Maudhu ‘at, jilid 2, m/s 124-125).

Seterusnya Ibn al-Jauzi menyebut: ((Hadith ini adalah maudhu’ dan dusta ke atas Rasulullah saw, di dalam nya terdapat seorang rawi yang bernama Ibn Jahdham yang terkenal dengan dusta, dan aku mendengar guruku; Abd al-Wahab berkata: Para rawinya majhul (tidak dikenali) dan telah disemak tentang peribadi mereka ini di dalam semua kitab tetapi tidak ku temui tentang mereka).

Al-Imam al-Syaukaniy rh juga menyebut di dalam kitabnya: al-Fawaid al-Majmu ‘ah fi al-Ahadith al-Maudhu‘ah: ((Hadith ini adalah maudhu’ dan perawinya adalah majhul (tidak dikenali), dan solat Raghaib yang masyhur ini telah sepakat para ulamak bahawa ia adalah maudhu’)).

Setelah kita mengetahui tentang kedudukan hadith yang menyebut tentang solat Raghaib ini, marilah kita melihat apakah pandangan para ulamak tentang hukum mengerjakan solat tersebut.

Imam al-Nawawi (w 676H) berkata: Sesungguhnya ia adalah bid ‘ah yang ditegah di antara bid ‘ah-bid ‘ah yang sesat, dan padanya terdapat pelbagai percanggahan yang jelas, Allah memerangi mereka yang mencipta dan mereka-reka solat ini, dan para imam telah menulis pelbagai penulisan yang bernilai dan bermutu yang menyebut tentang keburukannya, kesesatan orang yang mengerjakan sembahyang ini, dan yang melakukan bid ‘ah ini, serta dalil tentang kejelekan, kebatilan serta kesesatan orang yang mengamalkannya adalah terlalu banyak dan tidak terhitung.

(Al-Nawawi, al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, (Bierut: Dar al-Ma’rifah, cetakan ke-7, 2000), jilid 8, m/s 262.

Al-Imam Ibn Taimiyah (w 728 H) juga menyanggah pendapat tentang kewujudan solat ini dengan berkata: Solat ini (Raghaib) ini tidak dilakukan oleh Rasulullah saw dan tidak pula oleh seorang pun dikalangan para sahabat Baginda, tabi‘in dan para imam kaum Muslimin, dan Nabi saw tidak menggalakkannya serta tidak terdapat seorang pun dikalangan ulamak salaf dan imam-imam yang menggalakannya dan mereka tidak pernah menyebut akan adanya keutamaan-keutamaan yang khusus bagi malam ini. Hadith-hadith yang menyebut mengenainya adalah dusta dan maudhu’ dengan sepakat ahli ilmu, maka oleh kerana itu ahli-ahli tahqiq mengatakan bahawa solat tersebut adalah makruh, bukan sunat)).

(Ibn Taimiyah, Majmu’ al-Fatawa, 1/149)

Menurut al-Hafiz Ibn Rejab pula: Solat ini adalah bid‘ah di sisi jumhur (kebanyakan) ulamak, dan di antara mereka yang menyebut tentang perkara ini adalah di kalangan ulamak yang terkemudian seperti Abu Ismail al-Haruwi, Abu Bakar ibn al-Sam‘aniy, Abu al-Fadhl ibn Nasir, Abu al-Farj ibn al-Jawzi dan yang lain lagi, dan perkara ini tidak disebut oleh ulamak yang awal disebabkan ianya hanya muncul selepas daripada zaman mereka, dan yang terawal timbulnya perkara ini ialah selepas 400 tahun, maka sebab itulah golongan ulamak yang awal dan terdahulu tidak mengetahuinya dan tidak membincangkannya

(Ibn Rejab, Lataif al-Ma ‘arif, m/s 228)

Terdapat ramai lagi dikalangan ulamak yang membincangkan tentang hukum solat Raghaib ini. Kesimpulan yang dapat dibuat daripada pendapat-pendapat mereka semuanya menafikan kewujudan solat ini dan menganggap ia sebagai salah satu bid ‘ah (ibadat yang direka-reka) yang amat ditegah dan tidak boleh mengamalkannya kerana ianya tidak thabit daripada Rasulullah saw mahupun para sahabat ra serta al-tabi’in..

3) Berpuasa penuh di bulan Rejab atau sebahagiannya dengan menganggap ianya mempunyai fadhilat yang khas.

Sesetengah daripada umat Islam akan berpuasa di bulan ini sepenuhnya atau sebahagainya dan mereka menganggap puasa ini mempunyai kelebihan dan fadhilat yang khusus. Tetapi malangnya, ganjaran atau kelebihan yang khas bagi mereka yang melakukan amalan ini tidak bersumberkan daripada al-Quran atau hadith-hadith yang sahih. Bahkan ianya diambil daripada hadith-hadith yang maudhu’ (palsu) dan yang lebih malang lagi hadith-hadith ini disebarkan oleh golongan-golongan agama atau ustaz-ustaz kepada masyarakat Islam samada di dalam kuliah-kuliah mereka atau melalui penulisan. Antara hadith-hadith maudhu’ yang tersebar luas mengenai fadhilat puasa di bulan Rejab ini ialah:

1. Ibnu al-Jawzi menyebutkan dari riwayat Muhamad bin Abdul-Baqi dari Abu Bakr Muhamad bin al-Hassan al-Naqqasy, dari Abu Said r.a bahawa Rasulullah saw bersabda:

"Rejab adalah bulan Allah, Sya’ban bulanku dan Ramadhan bulan umatku, maka barangsiapa yang berpuasa bulan Rejab dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala dari Allah, maka ia wajib mendapat keredhaan Allah Yang Maha Agung dan ditempatkannya di Syurga al-Firdaus yang tertinggi. Sesiapa yang berpuasa dua hari dari bulan Rejab maka baginya pahala dua kali ganda, timbangan tiap-tiap ganda bagaikan bukit-bukit di dunia. Barangsiapa yang berpuasa tiga hari dari bulan Rejab maka Allah menjadikan antaranya dan Neraka sebuah parit yang panjangnya setahun perjalanan. Barangsiapa yang berpuasa empat hari dari bulan Rejab maka ia akan diselamatkan dari bala, gila, kusta, sopak, fitnah al-Masih al-Dajjal dan dari azab kubur…."

Ibnu al-Jawzi telah menghukum hadith ini dengan maudhu’.

2. Ibnu Shahin meriwayatkan dari Ali r.a dari Harun bin ‘Antarah bahawa Rasulullah saw bersabda:

"Sesungguhya bulan Rejab adalah bulan yang agung, maka barangsiapa yang berpuasa sehari dari bulan Rejab nescaya Allah menuliskan baginya puasa seribu tahun. Siapa yang berpuasa dua hari dari bulan Rejab maka Allah menuliskan baginya puasa dua ribu tahun. Siapa yang berpuasa tiga hari dari bulan Rejab maka Allah menulis baginya puasa tiga ribu tahun…"

Menurut Ibnu ‘Iraq: Hadith ini adalah maudhu’ tanpa syak lagi. Harun bin ‘Antarah pula disi Ibnu Hibban adalah seorang pereka hadith.

3. Diriwayatkan daripada Ali bin Abu Talib r.a bahawa Rasulullah saw bersabda:

"Aku dibangkitkan sebagai Nabi pada 27 Rejab, maka barangsiapa yang berpuasa pada hari itu dan ia berdoa sewaktu berbuka puasa, maka puasa itu menjadi kifarat baginya selama sepuluh tahun".

Hadith ini telah disebut oleh al-Hafidz Ibnu Hajar dari kitab Fawaid susunan Abu al-Hassan bin Shakhr dengan sanad yang batil.

Demikianlah antara contoh sebahagian kecil daripada hadith-hadith palsu yang tersebar dikalangan masyarakat Islam mengenai fadhilat puasa di bulan Rejab ini. Masih terdapat banyak lagi hadith-hadith palsu lain mengenai fadhilat puasa di bulan ini yang sesetengah daripada fadhilat tersebut tidak dapat diterima oleh akal yang sejahtera, apatah lagi ianya bercangggah dengan kaedah dan prinsip asas agama.

Al-Hafiz Ibn Hajar di dalam menyentuh perkara ini berkata: Tidak terdapat hadith-hadith yang boleh dijadikan hujah yang menyebut tentang fadhilat khusus bulan Rejab, atau fadhilat berpuasa (sepenuhnya) di bulan ini, atau berpuasa sebahagiannya, atau menghidupkan malamnya yang khusus.

(Ibn Hajar, Tabyin al-‘Ajab fi ma warada fi Fadhl Rajab, m/s 23).

Sayyidina Omar al-Khattab melarang orang berpuasa dibulan ini dan beliau pernah memukul tangan orang yang tidak mahu makan disebabkan berpuasa di bulan Rejab.

(al-Suyuti, al-Amr bi al-Ittiba’ wa al-nahyu an al-Ibtida’, (Bierut: Dar al-Kutub al-Ilmiyah, cet.1, 1988), m/s 63).

Al-Imam Al-Syawkaniy pula menyebut di dalam kitabnya al-Fawaid: ((Dalam satu risalahnya Ali bin Ibrahim al-‘Athar berkata: Apa yang diriwayatkan mengenai keutamaan puasa Rejab semuanya maudhu’ dan dhaif tidak mempunyai sumber. Katanya lagi: Abdullah al-Anshari tidak berpuasa Rejab dan beliau melarangnya dan berkata: Tidak ada satu hadith pun yang sahih dari Nabi saw mengenainya)).

(Al-Syawkaniy, al-Fawaid al-Majmu’ah, m/s 440).

Selain daripada amalan yang disebutkan ini, terdapat lagi amalan khusus lain yang disebarkan seperti amalan membaca apa yang disebut sebagai ‘Istighfar Rejab’. Disebutkan di antara fadhilatnya ialah sesiapa yang menulis atau menggantung atau membawa atau membaca istighfar Rejab maka ia akan mendapat pahala sebanyak 80, 000 pahala para Nabi.

Terdapat juga sesetengah umat Islam yang menunaikan umrah pada bulan ini dengan menganggap ianya mempunyai fadhilat yang khusus jika dilakukan pada bulan Rejab.

Demikianlah sebahagian amalan yang biasa dilakukan oleh umat Islam di dalam bulan Rejab ini yang tidak bersumberkan dari Rasulullah saw. Persoalan yang mesti diulang fikirkan lagi adakah amalan-amalan tersebut akan diterima oleh Allah dan mendapat ganjarannya?. Atau ianya tidak mendapat apa-apa kecuali penat dan letih sahaja. Semoga Allah swt mengampunkan kesalahan yang dilakukan di atas kejahilan kita. Marilah kita bersama-sama untuk membenteraskan kegiatan penyebaran hadith-hadith palsu di kalangan umat Islam. Pastikan ibadah yang kita lakukan benar-benar menepati sunnah Rasulullah saw dan diiringi dengan keikhlasan kepada Allah swt.

Saturday, July 26, 2008

Cerita Sebenar Isu Muzakarah

"Semalam al-Fadhil ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man merangkap Pesuruhjaya PAS Pahang dalam ceramahnya Isra' Mikraj di Hulu Bernam Selangor malam tadi 25.07.08. Beliau sempat membuat penjelasan mengenai isu muzakarah dan hakikat yang sebenarnya berlaku.

Ini adalah APA yang saya faham dari rakaman ceramah yang direkod oleh sahabat saya yang hadir mendengar ceramah tersebut.

Kepada ahli-ahli PAS yang tidak setuju dan marah akan isu ini fahamilah bahawa tanggapan anda semua adalah salah dan baliklah ke pangkal jalan. Jangan percaya bulat-bulat sesuatu berita kecuali setelah anda menyelidik dan PASTI ianya betul.

Nampaknya sebahagian ahli PAS sudah termakan dengan berita luar terdahulu dan cepat tergadah dengan membuat persepsi begini dan begitu hingga menampakkan perbalahan dan rencan. Malu kita dibuatnya. Tidakkah kita dalam satu jemaah perlu meletakkan kepercayaan kepada pemimpin yang kita pilih. Saya percaya dan anda juga bahawa pimpinan PAS takkan melupai kejahatan yang UMNO buat terhadap bangsa kita Melayu beragama Islam dan juga rakan-rakan kita dari bangsa India dan Cina yang sudah beralih menyokong PAS.

Tidakkah saudara memahami bagaimana PAS beroganisasi.. dan apa-apa perkara besar berkenaan hala tuju PARTI hendaklah terlebih dahulu mendapat persetujuan SYURA! Kenapa kita cepat sangat melenting. PAK LAH sengaja mahu mensensasikan cerita dan berita ini supaya kita berbalah. Takkan semudah itu kita KALAH... hanya dengan berita yang kita tak tahu usul pangkal mana benar mana SALAH!

Tuan Ibrahim menjelaskan bahawa UMNO sendiri yang memohon hendak berjumpa dengan PAS. PAS adalah parti terbuka.. hatta Allah sendiri menyuruh kita menerima perdamaian dari musuh sekiranya mereka datang secara damai.

وَإِنْ جَنَحُوا لِلسَّلْمِ فَاجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

"Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakalah kepada Allah. Sesungguhnya Ia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (Al-Anfal:61)

Oleh yang demikian PAS menerima untuk berbincang dengan UMNO tetapi hanya berkaitan dengan agama dan kebaikan bangsa.

Apa yang PAS mohon dengan tanpa berjanji apa-apa ialah:

1. Kalau UMNO betul-betul memperjuangkan Melayu... Pulangkan semula royalti Minyak! Pak lah kata setuju...

2. Kalau UMNO betul-betul memperjuangkan Melayu... daratkan semula saluran gas melalui Kelantan dan bukannya Thailand! Pak lah kata setuju...

3. Kalau UMNO betul-betul memperjuangkan Melayu... Luluskan semula permit HARAKAH 2 kali seminggu! Pak lah kata setuju...

4. Kalau UMNO betul-betul memperjuangkan Melayu... bebaskan TAWANAN ISA!!! Itulah apa yang diterangkan oleh Tuan Ibrahim secara ringkas..

dan apa yang kita lihat sekarang semuanya telah dibuat oleh PAK LAH.. cuma tidak semua tawanan ISA yang dibebaskan.... Adakah ini kita perlu pertikaikan.... PAS berjaya mendapatkan sebahagian besar manfaat bangsa tanpa mengadaikan perjuanganNYA... ALLAHU AKBAR!!

Jadilah ahli PAS yang bijak berfikir dan beraklak kepada pemimpin kita.. mohon maaflah daripada mereka secara ikhlas....

Sumber : TranungKite Online

Haron Din kagum Mursyidul Am PAS terima Anugerah Nobel Asia

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Hrkh) - Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din melahirkan rasa kagum atas penganugerahan hadiah nobel keamanan kepada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat oleh Gusi Peace Price Foundation.
Iklan

"Saya berasa amat terharu kerana penghargaan ini datang pada waktu dan saat umat Islam di Malaysia dan Asia melihat suatu perkembangan baru umat Islam di rantau ini yang mula meniti kejayaan khasnya bagi pejuang Islam di Malaysia," ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily.

"Sememangnya wajar tokoh itu diberi penghargaan, namun saya sangat yakin bahawa tuan guru tidak pernah mengharapkan anugerah itu kerana beliau lebih menghargai anugerah daripada Allah yang telah meletakkan beliau sebagai pejuang Islam yang beristiqamah, dedikasi dan komited dengan perjuangannya," katanya lagi.

Kejayaan tersebut ujarnya tidak dapat dipisahkan dengan sumbangan besar ulama' tersohor itu yang banyak menghasilkan karya, buku, mengajar, memberi pandangan yang kesahihannya menuju ke arah pembinaan ummah berteraskan Islam.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan bahawa selain anugerah yang diberikan Allah kepada manusia, bagi umat Islam terlalu kurang mendapat anugerah daripada manusia khususnya bagi mereka yang gigih memperjuangkan agama Allah.

"Bagi orang Islam, anugerah teragung adalah apabila dapat bertemu dengan Allah kelak.

"Namun teramat kurang dunia memberikan penghargaan kepada pejuang-pejuang Islam dan karyawan ulung dan tersohor," ujarnya lagi.

Beliau menganggapTuan Guru Nik Aziz memiliki pandangan yang membina, pendirian yang amat tegas, kata-kata yang didengari, dipatuhi pengikut serta amat digeruni musuh.

"Ketajaman penanya serta keberkesanan ideaya menjadi fokus utama penilai-penilai yang hendak menilai siapa tuan guru.

"Beliau seorang ulama' besar dan seorang ahli politik yang amat disegani, mempunyai visi dan misi yang jauh memandang ke hadapan, tok guru terus konsisten mengajak rakyat mendaulatkan Islam," katanya lagi.

Tuan Guru Nik Aziz dijangka akan menerima Anugerah Keamanan Nobel versi Asia, Anugerah Keamanan Gusi pada November ini di Manila, Filipina.

Anugerah keamanan Gusi ini diadakan setiap tahun oleh Gusi Peace Price Foundation dan difahamkan 10 hingga 15 tokoh akan dipilih untuk menerima anugerah yayasan itu.

Menurut sumber, anugerah ini akan disampaikan oleh Ketua Yayasan Gusi, Barry Gusi, di ibu pejabatnya yang terletak di Manila.

Barry Gusi dalam satu ulasannya mengenai penganugerahan itu berkata, Menteri Besar Kelantan itu merupakan tokoh kedua dari Malaysia yang memenangi anugerah ini.

Untuk tahun ini, seramai 1,490 tokoh dicalonkan di seluruh dunia sebagai penerima anugerah tersebut.

Anugerah ini boleh dikatakan sebagai anugerah Keamanan Nobel versi Asia, menurut Barry Gusi./wann_

Thursday, July 24, 2008

Tutup fail muzakarah, hanya ada sekadar muqabalah - Mursyidul Am

KOTA BHARU, 23 Julai (Hrkh) - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menjelaskan isu muzakarah sudah tutup fail dan apa yang berlaku sekadar pertemuan biasa (muqabalah).

"Pada kenyataan yang lepas saya benarkan pertemuan di antara pemimpin PAS dan Umno berkaitan Islam dan masalah rakyat, serupa sahaja dengan kenyataan yang disebut Presiden PAS.

Image"Kalau difahami betul-betul tidak bercanggah di antara satu sama lain. Kalau ada perjumpaan hendak masuk Barisan Nasional ia langsung tidak ada. Kenyataan Presiden pun memang begitu,"katanya pada persidangan media di sini, lewat petang ini.

Sebelum itu rombongan anggota Majlis Syura Ulama mengunjungi Menteri Besar Kelantan di JKR 10 di sini. Perbincangan terbabit diadakan hampir dua jam.

Turut kelihatan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang; timbalannya, Ustaz Nasharuddin Mat Isa; Timbalan Mursyidul Am, Dato' Dr Haron Din; Naib Presiden, Ustaz Ahmad Awang dan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato' Mohamed Daud.

Ikut serta pertemuan tersebut Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Dato' Abdul Halim Abdul Rahman.

Bagaimanapun Tuan Guru Nik Abdul Aziz mahu perkataan muzakarah yang di'geger'kan sebelum ini ditukar kepada istilah muqabalah (perjumpaan biasa).

Menurutnya keputusan syura sebelum ini bersetuju diadakan pertemuan biasa dengan pemimpin Umno kerana syura sudah membuat keputusan sebulat suara.

Perkara itu diputuskan pada 23 April lalu manakala pertemuan dengan pemimpin Umno hanya diadakan pada 20 Julai lalu. Image

Ustaz Abdul Hadi pula berkata, apa yang sebenarnya berlaku bukan muzakarah sebaliknya muqabalah di antara PAS dengan Umno bagi menyelesaikan masalah-masalah yang dialami umat Islam dan rakyat seluruh negara.

"Masalah yang dialami di negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat kita minta kerajaan pusat menyelesaikan. Itu yang kita bincangkan dalam pertemuan dengan pemimpin Umno.

"Tidak timbul masalah PAS menyertai kerajaan kerana PAS masih lagi bersama dengan Pakatan Rakyat. Kita akan terus dengan Pakatan sekarang memenuhi hikmah-hikmah politik yang kita perjuangkan,"katanya.

Bagaimanapun katanya dalam Pakatan Rakyat persefahaman kita tidak akan menjadi halangan, masing-masing memperjuangkan ideologi dan tetap berganding dalam isu-isu bersama.

Menurutnya sebagai orang Islam, PAS wajib menyuarakan kepada orang Islam lain dan dalam masa yang sama tidak mengabaikan keadilan Islam kepada semua kaum yang ada di negara ini.

Kata beliau di atas prinsip itulah diputuskan Majlis Syura Ulama di mana Timbalan Presiden dan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Mustafa Ali bertemu dengan pemimpin Umno bagi menimbulkan isu-isu berkaitan.

Manakala Dr Haron berkata, Majlis Syura Ulama PAS menyedari masalah tersebut berlaku sebelum disedari wartawan, di mana perbincangan Majlis Syura mengenainya dibuat pada April lalu.

"Ketika itu tidak timbul isu muzakarah. Majlis Syura telah menangapi perlu diberi ruang untuk kita bermuqabalah dari face to face.

"Namun apa yang timbul sekarang perkataan muzakarah itu seolah perlawanan seperti yang berlaku di Dewan Bahasa dan Pustaka baru-baru ini di antara Menteri Penerangan dan Dato' Seri Anwar Ibrahim.

"Kita tidak mahu berlawan macam itu, kita nafikan ada muzakarah. Kalau dedahkan begitu akan menimbulkan masalah kerana akan ada yang kalah dan menang. Hanya apa yang ada sekadar pertemuan biasa," katanya.

ImageBeliau menjelaskan mengapa hendak dilarang pertemuan biasa dan PAS bersetuju bekerjasama dalam semua perkara demi kebaikan semua rakyat di Malaysia.

Ditanya pertemuan lain bakal diadakan selepas ini, kata beliau itu mengikut keperluan.

"Bagaimanapun kita mahu lihat respon daripada Umno terhadap apa yang kita kemukakan terlebih dahulu," ujarnya.

Menurutnya juga usaha pertemuan itu sebenarnya dianjurkan pihak Umno.

Kata beliau, mereka yang mengusahakan dan bukti jelas dilihat kepada kenyataan ada tiga pertemuan sebelum ini dibuat sendiri Presiden Umno.

"Mereka yang membuat kenyataan dan merekalah yang mengusahakan pertemuan sebelum ini,"katanya.

Monday, July 21, 2008

Kenyataan PM bertujuan pecahbelahkan PAS

KUALA LUMPUR, 20 Julai - Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai perundingan dengan PAS bertujuan menabur benih perpecahan di dalam PAS yang mungkin mara mengambil alih tempat Umno pada masa depan, kata Naib Presiden PAS, Datuk Haji Husam Musa.

Membidas kenyataan Perdana Menteri dalam sebuah akhbar harian hari ini, Exco kerajaan negeri Kelantan itu mengulangi penegasan bahawa PAS tidak mampu berpecah semata-mata untuk memenuhi impian Perdana Menteri mendapatkan 'keldai' korban yang boleh ditunggang, walaupun sementara.

Perdana Menteri hari ini menyatakan bahawa beliau telahpun tiga kali bertemu pemimpin PAS yang mempunyai kuasa untuk membuat keputusan.

"Pengumuman sebelah pihak oleh Abdullah tentunya ada motif tersirat. Jujurkah Abdullah bila beliau umumkan pemimpin 'decision-makers' PAS telah tiga kali menemui beliau?

"Atau beliau sedang memainkan PAS dengan satu strategi politik dengan umpan yang enak? Sekurang-kurang, dalam keadaan terlalu terdesak, beliau boleh mencapai matlamat politik jangka pendek," katanya.

Presiden Umno itu, kata Husam, cuba menggambarkan gambaran positif terhadap dakwaan pertemuannya itu dengan menggunakan istilah -decision-makers' - 'pembuat keputusan', walaupun dia tahu mana-mana pertubuhan, apatah lagi parti Islam seperti PAS, tidak dimiliki oleh mana-mana pemimpin, sebesar mana pun pemimpin itu.

"PAS sebagai jamaah Islam dikendalikan dengan kaedah dan etika harakah Islamiyyah yang tertentu, termasuk musyawarah," tegas beliau.

Selain memecahbelahkan PAS, Husam menjangka, antara matlamat politik jangka pendek yang hendak dicapai Perdana Menteri dengan pengumumannya itu ialah mengukuhkan kedudukannya di dalam Umno di tengah pergolakan dalaman yang tidak menentu, menghilangkan keyakinan dalam Pakatan Rakyat dan menghalang Agenda Post Pilhanraya 2008 dan menjarakkan semula PAS dari sokongan masyarakat bukan Melayu, mungkin 40 tahun kebelakang semula.

"Mungkin Abdullah mendapat inspirasi umpan 'Negara Islam' yang dilemparkan oleh Dr. Mahathir selepas melihat kemaraan pembangkang dalam pilihanraya 1999 dan umpan itu menjadi sehingga pembangkang undur semula dalam pilihanraya 2004," katanya.

Husam menegaskan bahawa perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS sudah tentu tidak akan mengkesampingkan perpaduan ummat Islam dan tidak pula menjadikan perpaduan nasional agenda kedua selepas perpaduan Islam.

Perpaduan Islam, tegas beliau, dicapai dalam konteks perpaduan nasional yang semestinya diasaskan bukan di atas asas kaum semata-mata seperti dilakukan oleh Umno selama ini, tetapi di atas asas yang lebih kukuh seperti tiada diskriminasi kaum, tiada diskriminasi berdasarkan fahaman politik dan keadilan untuk semua.

"Perpaduan versi Umno sudah lusuh. Umno sesama Umno pun tidak dapat disatukan. Apatah lagi formula itu hendak digunakan bagi ummat Islam dan nasional," tegas beliau.

Sambil menyifatkan Perdana Menteri sudah pun mencapai maksud yang diharapkan pada darjah yang tertentu yang belum parah, Husam mengingatkan tugas utama pemimpin PAS pada waktu ini ialah memastikan parti tidak berpecah, bahkan kekal bersatu.

"PASlah satu-satunya parti yang paling stabil, kukuh dan mantap buat masa ini. Jika jangkitan kuman Umno meresap dan memecahkan PAS, perkongsian kuasa dengan Umno hanyalah ulangan percantuman sementara era Barisan Nasional dulu yang berakhir PAS ditolak ke tepi selepas Umno mencapai kekuatan mereka semula," kata beliau.

PAS juga, katanya, hendaklah memastikan kepercayaan dan harapan masyarakat bukan Islam terhadap PAS tidak dikhianati.

"Islam menekankan kepada kesetian terhadap janji," tegas beliau.

Jika PAS mempunyai pandangan dan agenda yang berguna untuk kepentingan negara, agenda ini boleh dimaklumkan kepada rakyat secara terbuka dan tuntutan boleh dibuat untuk Umno menerima atau melaksanakannya, tanpa terikat dengan satu perkongsian kuasa yang akan meletakkan PAS selama-lamanya pemain kedua yang bertugas menyelamatkan Umno dengan faham sekularnya yang merosakkan itu, katanya.

"Berulang kali PAS memainkan peranan yang sama," katanya lagi.

Tetapi itu tidak penting bagi Perdana Menteri, kata Husam, kerana dalam ketidaktentuan sebelum Disember ini, beliau memerlukan segala dahan yang ada untuk berpaut.

Pada waktu kepercayaan kepada kepimpinannya berada pada titik yang paling rendah, keupayaan pengurusan ekonomi yang hampir sifar, hala tuju negara yang amat kabur, keyakinan terhadap kemampuan membawa keharmonian pelbagai kaum yang amat rendah, kehilangan keyakinan terhadap institusi utama seperti kehakiman, polis dan jabatan Peguam Negara, Husam menyifatkan Perdana Menteri memang memerlukan PAS.

"Jawatan kerajaan yang mungkin ditawarkan oleh Abdullah kepada PAS tentulah bukan segala-galanya," tegas beliau

Wednesday, July 16, 2008

Anwar ditahan polis bertopeng



Polis menahan ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di luar rumahnya di Segambut Dalam dan dibawa ke ibu pejabat polis Kuala Lumpur tengahari ini.


Beliau ditahan sekumpulan anggota polis, termasuk yang bertopeng dan berjaket - dipercayai Bahagian Jenayah Berat, kira-kira sejurus tiba dari Putrajaya selepas memberi keterangan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Putrajaya.

Menurut peguam R Sivarasa, pihak polis telah menunggu kepulangan Anwar dan sebaik sahaja tiba, mereka membawa mantan timbalan perdana menteri itu, ke dalam kereta polis bercermin gelap dan membawanya ke IPK Kuala Lumpur.

Anwar tiba di IPK Kuala Lumpur jam 1.11 tengahari dengan dikawal oleh konvoi 15 kenderaan.

anwar ibrahim and policeManakala Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengesahkan kepada pemberita di Parlimen bahawa Anwar telah ditahan.

Katanya, beliau menerima panggilan telefon dari Anwar yang mengesahkan bahawa beliau telah ditahan.

Anwar juga, katanya, memberitahu bahawa beliau dilayan secara kasar oleh anggota polis yang menahannya itu.

Wan Azizah berkata, Anwar memintanya pulang ke rumah untuk menenangkan anak-anaknya dan kemudiannya pergi ke pejabat polis terbabit.

Naib presiden PKR, Azmin Ali tiba kira-kira jam 1.26 tengahari, dan menyifatkan tindakan polis itu sebagai "tidak bertamadun" kerana Anwar telah mengesahkan akan datang.

Lagi pula, tambahnya, masa yang diberikan oleh polis sehingga jam 2 petang juga belum lagi tamat.

Beliau juga menyifatkan tindakan polis sebagai tidak wajar kerana Anwar dikeluarkan dari keretanya di tepi jalan utama.

Kira-kira 200 penyokong Anwar termasuk ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat kini berhimpun di IPK Kuala Lumpur.

Mereka termasuk Yusmadi Yusof, Zuraidi Kamaruddin, Dr Zulkifly Ahmad, Dr Hatta Ramli, Tian Chua serta Karpal Singh.

Wan Azizah pula tiba dengan anak perempuannya, Nurul Nuha pada jam 1.30 hari.

Difahamkan Anwar akan didakwa mengikut Seksyen 377C, Kanun Keseksaan. Dalam pindaan terbaru, peruntukan ini berbunyi seperti berikut: Di bawah seksyen ini, seseorang melakukan kesalahan jika dia membuat hubungan seks dengan orang lain dengan memasukkan sesuatu benda ke dalam faraj atau dubur orang yang satu lagi itu.

Jika sabit kesalahan, orang yang melakukan kesalahan itu boleh dihukum dengan hukuman pemenjaraan sehingga 20 tahun dan boleh juga dihukum sebat.

Sunday, July 13, 2008

Jika ditangkap - Anwar mahu PAS, KeADILan dan DAP teruskan perjuangan

Izwan Abdul Halim
Sun Jul 13, 08 2:40:23 pm MYT

KOTA SARANG SEMUT, 13 Julai (Hrkh) - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) Dato' Seri Anwar Ibrahim mahu PAS, KeADILan dan DAP untuk meneruskan agenda perjuangan Pakatan Rakyat sekiranya apa-apa terjadi kepada beliau.

ImageBeliau juga mahu agar rakyat turut sama meneruskan agenda perjuangan bersama pemimpin Pakatan Rakyat seandainya kemungkinan beliau dipenjara semula.

Perkara itu ditegaskannya semasa menyampaikan ceramah '100 Hari Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah' bersama-sama Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak di Kompleks PAS Kedah di sini semalam.

Menjawab pertanyaan media bahawa wujud khabar angin yang mengatakan pihak keselamatan akan melakukan sesuatu ke atasnya, Anwar tidak menolak kemungkinan itu.

Image"Kita tidak tolak kemungkinan itu sebab kita pernah lalui dan watak yang sama juga masih main peranan, saya tidak tahu. Tetapi saya tidak tolak kemungkinan.

"Dulu kita tolak kemungkinan perkara itu berlaku, jadi kemungkinan itu ada. Saya cuma harap harap kali ini mereka hormat proses undang-undang,"ujarnya pada sidang media selepas ceramah tersebut.

Ditanya media mengenai jaminan keselamatan ke atasnya, beliau menegaskan tidak melihat adanya perubahan dari segi kawalan keselamatan sebagaimana yang mereka lakukan terhadap Balasubramaniam dan juga Saiful.

Pada ceramah tersebut, Anwar turut menyentuh mengenai debat antara beliau dengan Menteri Penerangan, Dato' Ahmad Shabery Cheek yang disambut hadirin dengan laungan 'lawan, lawan'.

"Saya nak lawan Menteri Penerangan buat apa? Saya nak lawan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

"Jadi saya hendak ulang, saya tunggu 15 haribulan Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri atau kedua-duanya sekali! Tetapi setakat ini dia tidak mahu, dia tidak mahu tidak mengapa,"ujarnya.

Bagaimanapun menurutnya, selepas beliau berbincang dengan pimpinan PAS dan DAP, beliau setuju meneruskan debat itu dengan tujuan mengambil peluang untuk jelaskan mengenai kesediaan Pakatan Rakyat untuk memerintah. - mks. _


Saturday, July 12, 2008

TV3 lakukan 'jenayah media', sebar fitnah

KUALA LUMPUR, 12 Julai (Hrkh) -Tindakan dan keghairahan media perdana di negara ini dalam menyiarkan berita-berita yang boleh memgambarkan keburukan pemimpin kerajaan negeri yang diperintah selain daripada Barisan Nasional (BN) amatlah dikesali.

Menurut Presiden Teras, Azmi Abdul Hamid dalam proses untuk memenuhi agenda memburukkan lawan politik BN , media perdana sangat ketara cuba menggambarkan pemerintahan Pakatan Rakyat juga turut menyalahgunakan wang rakyat untuk berbelanja mewah.

"Dalam keghairahan untuk mencari apa sahaja isu yang boleh memgambarkan keburukan pemimpin kerajaan negeri yang diperintah selain BN , didapati media perdana nampaknya tidak berhati-hati dalam memilih bahan berita.

"TV3 baru-baru ini telah melakukan 'jenayah media' yang turut melakukan fitnah sedangkan hanya beberapa hari sebelumnya media tersebut telah memaparkan secara khusus isu fitnah yang dikaitkan dengan politik Malaysia.

"Untuk kali pertama TV3 menyiarkan slot khas lengkapkan dengan bacaan ayat-ayat Al Quran yang mendedahkan fitnah yang menjadi gejala politik di negara ini,"jelasnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily pagi ini.

Tambahnya lagi,"akan tetapi hal yang sama jugalah yang dilakukan bila sebuah klip gambar yang membayangkan MB Kedah dikatakan mengguna pesawat khas dalam suatu penerbangan baru-baru ini."

Katanya lagi, padahal yang sebenarnya seperti yang dilaporkan oleh Bernama , ia bukan seperti yang telah cuba digambarkan oleh TV3 dan ia dikatakan ialah sebuah penerbangan rombongan di raja Kedah untuk berlepas ke Brunei bagi mengundang Sultan Brunei hadir di sambutan jubli emas Sultan Kedah.

"Teras kesal kenapa budaya fitnah media ini diamalkan oleh TV3, bukankah dengan cara yang sangat gelojoh ini akan memburukkan lagi keadaan berpolitik di negara ini.

"Menfitnah dengan berita yang salah apatah lagi dengan membabitkan kelompok istana adalah gejala yang tidak dapat diterima oleh rakyat,"ujarnya yang kesal dengan kejadian tersebut.

Beliau juga menegaskan bahawa,ketelanjuran ini tidak boleh dibiarkan berlalu malah untuk tidak memangsakan pihak yang menjadi sasaran, permohonan maaf terbuka perlu dilakukan oleh media yang berkenaan.

"Teras mengesa TV3 jangan terlalu ghairah dengan menyertai dan terlibat dalam politik fitnah yang sering dituduh pihak lawan BN yang melakukannya.

"Pada pendapat Teras, amalan media yang tidak beretika dan tidak dikawal itulah yang menyebabkan budaya fitnah berleluasa di negara ini,"tegasnya.

Monday, July 7, 2008

Nik Aziz cadang pengambilan kakitangan awam penuhi solat 5 waktu

Oleh BERNAMA

AMenteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan membawa satu usul dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk mewajibkan mereka yang menunaikan solat lima waktu dan solat Jumaat sebagai syarat wajib pengambilan bekerja bagi pemimpin, ketua jabatan dan kakitangan awam kerajaan negeri.

Beliau berkata cadangan untuk syarat menunaikan solat itu akan dijadikan sebagai satu kemestian dalam memegang jawatan sama seperti syarat kelayakan mesti lulus Bahasa Malaysia dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk membolehkan mereka mendapat pekerjaan.

“Saya akan mencadangkan di dalam dewan sebagai syarat wajib untuk memilih jawatan ketua kampung, tok penghulu, pemimpin dan kakitangan awam. Mereka mesti menunaikan solat lima waktu dan solat Jumaat.

“Syarat ini bagi memastikan mereka yang dipilih adalah mereka yang menjaga akhlak mereka supaya menjauhi daripada elemen rasuah dan tidak bermoral,” katanya kepada pemberita semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-12 berhenti rehat, di sini hari ini.

Beliau mengulas soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (Aun) Demit, Muhamad Mustafa mengenai langkah kerajaan negeri bagi mengatasi gejala meninggalkan solat khususnya solat Jumaat dan sejauh mana penguatkuasaan undang-undang terhadap isu itu.

Nik Aziz berkata pada pandangan beliau menunaikan solat lima waktu yang ditetapkan sebagai rukun Islam adalah menjadi satu tanggungjawab yang wajib perlu ditunaikan oleh orang Islam dan mereka yang tidak menunaikan rukun itu mempunyai masalah di dalam hati, iaitu kelemahan di dalam nilai akhlak dan moral.

“Sembahyang itu adalah makanan kepada hati sama seperti makan makanan untuk keperluan perut. Jika hati tidak diisikan maka hati kita akan lapar dan mudah terpengaruh kepada nilai-nilai negatif.

“Mereka yang tidak menunaikan sembahyang itu menunjukkan bahawa mereka sudah tidak takut kepada Tuhan, Tuhan yang maha berkuasa, apatah lagi kepada manusia, yang sememangnya kurang berkuasa. Mesti mereka ini tidak takut dan berani berbuat apa saja,” katanya.

Mengulas enam anggota pembangkang daripada Barisan Nasional (BN) yang bertindak keluar dewan sebagai membantah tindakan Speaker Dewan Mohd Nassuruddin Daud menolak 10 daripada 15 soalan lisan, Nik Aziz berkata ia (tindakan keluar) adalah pilihan mereka.

Saturday, July 5, 2008

Pilot peluk Islam setelah pesawat bawa jenazah ulama dilindungi awan

 Tajuk diatas ialah tajuk sebuah artikel diruangan Pedoman & Iktibar majalah Mastika keluaran Julai 2008 (ms118). Ia merupakan artikel menarik selain daripada artikel mengenai Tok Guru Nik Abdul Aziz di ms 84. Meremang bulu roma saya setelah membaca kehebatan ulama tersebut sehinggakan didalam perjalanan terakhir beliau menuju ke alam barzakh pun masih lagi “berdakwah” hingga pilot terbabit dengan izin Allah memeluk Islam.

Bukan itu sahaja, menurut pilot tersebut, di sepanjang penerbangan tersebut awan memayungi pesawat tersebut sedangkan tempat lain keadaan panas terik. Kejadian tersebut juga disaksikan oleh krew pernerbangan tersebut. Melihat kepada kejadian aneh itulah, pilot tersebut mengambil keputusan untuk memeluk Islam. Subhanallah.

Siapakah ulama tersebut? Tidak dinyatakan namanya tetapi banyak fakta2 yang menarik berkenaan ulama tersebut yang boleh membawa kita mengenali siapakah beliau. Antaranya :

  1. Beliau merupakan seorang yang terkenal yang berjuang atas nama Islam.
  2. Beliau meninggal dunia akibat serangan sakit jantung 6 tahun yang lepas di sebuah Hospital di Kuala Lumpur
  3. Jenazah beliau diterbangkan ke sebuah negeri di utara dengan pesawat Hercules TUDM daripada airport Subang. Selain itu jenazah beliau juga diiringi oleh polis.
  4. Disemadikan di sebuah madrasah negeri kelahiran beliau sesuai dengan wasiat beliau.
  5. Ribuan rakyat hadir dari seluruh pelusuk negara untuk memberi penghormatan terakhir kepada beliau, sehinggakan setiap orang yang datang berebut-rebut hendak mengangkat jenazah beliau.
Itulah antara fakta2 yang dinyatakan tentang jenazah ulama tersebut. Saya yakin, berdasarkan fakta2 tersebut, ulama yang dimaksudkan ialah Almarhum Ustaz Fadhil Nor, mantan Presiden PAS.

Almarhum meninggal dunia akibat serangan sakit jantung di HUKM pada 23 Jun 2002. Almarhum disemadikan di Madrasah Darul Ulum, Pokok Sena, Kedah negeri kelahirannya. Jenazah Almarhum diterbangkan dengan pesawat Hercules TUDM di Subang dan tiba di airport Kepala Batas dengan disambut lebih 20,000 orang. Ramainya orang yang datang untuk memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum sehinggakan jalan raya sesak teruk lebih 20 km. Kesan kesesakkan tersebut telah bermula dari tol-tol yang menghala ke Kedah, dan orang ramai terpaksa berjalan kaki ke Darul Ulum sejauh 10 km. Subhanallah.

Cerita awan memayungi pesawat yang membawa jenazah Almarhum Ustaz Fadhil Nor ini mungkin baru kita dengar. Dan ia diceritakan oleh pilot yang membawa kapal terbang tersebut. Inilah bila berjuang dengan keihklasan, balasan yang Allah tunjukkan dengan jelas kepada kita dan ia sebagai pemangkin semangat kita untuk terus memperjuangkan agama Allah. Kehebatan & keihklasan Almarhum berdakwah dan berjuang untuk agama sehinggakan didalam perjalanan terakhir beliau menuju ke alam barzakh pun masih lagi “berdakwah” hingga pilot terbabit dengan izin Allah memeluk Islam. Sememangnya Almarhum berjuang tanpa mengenal erti penat dan lelah untuk memartabatkan agama Allah di bumi Malaysia ini. Almarhum disegani teman dan lawan.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum.

Al-Fatihah.

Friday, July 4, 2008

Perhimpunan berpindah ke Stadium Kelana Jaya

Berita a
Perhimpunan aman Protes Sejuta Rakyat Ahad ini yang dijadual diadakan di Padang Timur, Petaling Jaya telah ditukar ke Stadium Kelana Jaya.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Angkatan Muka PKR (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Menurut Shamsul, perubahan tempat ini diputuskan dalam mesyuarat Pimpinan Pakatan Rakyat semalam.

Difahamkan mesyuarat tersebut diadakan di rumah ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bukit Segambut.

Stadium Kelana Jaya boleh memuatkan 50,000 tempat duduk. Manakala padangnya pula boleh memuatkan jumlah hadirin yang sama.

Penyelaras Protes Dr. Hatta Ramli ketika dihubungi mengesahkan pertukaran tempat itu tetapi belum mahu menjelaskan butiran lanjut perkara itu.

Semalam, Ketua polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar menasihatkan orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan tersebut.

Katanya, beliau telah menasihatkan menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya tidak membenarkan perhimpunan itu diadakan.

Menurutnya lagi, jika masih ingin meneruskannya, ia boleh dipindahkan ke lokasi lebih sesuai seperti Stadium Shah Alam atau Stadium Malawati, juga di Shah Alam.

Thursday, July 3, 2008

Usaha singkir penyokong Idris?

Rombakan badan perhubungan Umno Terengganu semalam memberi isyarat bahawa para penyokong kuat bekas menteri besar, Datuk Seri Idris Jusoh, semakin dipinggirkan dari arus politik negeri tersebut.

Menteri besar, Datuk Ahmad Said dipercayai cuba mengukuhkan pengaruhnya melalui usaha melantik penyokongnya memegang jawatan penting dalam badan perhubungan Umno negeri.

Mereka ialah ketua Umno bahagian Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan yang dilantik sebagai setiausaha; senator Datuk Ruslan Awang Chik (bendahari) dan Datuk Zuber Embong (ketua penerangan).

Rosli mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Datuk Rosol Wahid, manakala Ruslan menggantikan bekas exco kerajaan negeri, Datuk Wan Hisham Salleh. Zuber menggantikan Datuk Ahmad Shabbery Cheek yang kini dilantik sebagai menteri penerangan.

Ahmad mengumum pelantikan tersebut selepas selepas mempengerusikan mesyuarat badan perhubungan Umno negeri di ibu negara malam tadi.

Ahmad juga mengumumkan bahawa pelantikan lain bagi mengisi beberapa lagi jawatan dalam kepemimpinan Umno negeri, akan dibuat selepas mesyuarat badan perhubungan 12 Julai ini.

Rosol dan Ahmad Shabbery meletakkan jawatan masing-masing sebaik sahaja Idris melepaskan jawatan sebagai ketua badan perhubungan Umno negeri bulan lalu.

Pelantikan mengejutkan

Manakala Wan Hisham yang juga ahli jawatankuasa (AJK) Umno bahagian Kuala Terengganu, tidak dipilih semula mengekalkan jawatan bendahari.

Pelantikan Rosli tidak mengejutkan kerana bekas ahli Parlimen Dungun itu merupakan penyokong kuat Ahmad, khususnya semasa berlakunya krisis pelantikan menteri besar, Mac lalu.

Dalam krisis tersebut, Rosli merupakan antara beberapa ketua bahagian yang tampil menyokong Ahmad sebagai menteri besar yang mendapat restu Istana Terengganu.

Selain Rosli, ketua Umno bahagian Marang, Datuk Abdul Rahman Bakar dan ketua Umno bahagian Hulu Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang, turut menyokong Ahmad dalam krisis tersebut.

Manakala Roslan memang sudah lama terpinggir dari arus politik selepas presiden persatuan kontraktor Melayu Malaysia itu kalah dalam kerusi DUN Ladang dalam pilihanraya umum 1999.

Pelantikan Zuber pula agak mengejutkan kerana bekas ahli Parlimen Kuala Terengganu itu sudah lama menyepi dan tidak memegang apa-apa jawatan dalam Umno bahagian Kuala Terengganu.

Sebelum itu, Tengku Putera yang digugurkan dari mempertahankan kerusi parlimen Hulu Terengganu, telah dilantik menjadi speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.

Siapa tentang Idris?

Rombakan baru itu, yang dibuat kira-kira dua minggu menjelang mesyuarat cawangan Umno, juga memberi isyarat bahawa perubahan akan berlaku di peringkat bahagian.
Dijangka ketua-ketua bahagian yang menyokong Idris akan menghadapi tentangan sengit dari kumpulan penyokong Ahmad.

Ketua Umno bahagian Kuala Terengganu, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Salleh dan ketua bahagian Setiu Mohd Jidin Shafie yang merupakan penyokong Idris, dijangka ditentang oleh kumpulan Ahmad.

Malah, Zuber sejak beberapa bulan lalu telah disebut-sebut akan menentang Wan Ahmad Farid, yang baru dilantik timbalan menteri dalam negeri selepas pilihanraya umum lalu.

Persoalan yang menjadi perbualan ramai di kalangan ahli Umno di Terengganu sekarang ialah adakah Idris juga akan ditentang di Besut.

Dalam pilihanraya umum lalu, ketua Umno bahagian Besut itu mempertahankan kerusi DUN Jertih tetapi tidak dipilih semua sebagai menteri besar Terengganu akibat krisis dengan Istana Terengganu.

Mesyuarat cawangan Umno akan bermula 17 Julai ini, manakala peringkat bahagian pada September dan perhimpunan agung Umno pada Disember depan.
Related Posts with Thumbnails

YB ADUN Sura Untuk Semua

 

Arkib Laman

Blog YB ADUN Sura © 2008 | Ripped by SamarQondy | Coordinated by Team IT DUN Sura