DS Ir Hj Mohammad Nizar semasa Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya
Pakatan Rakyat Parlimen Bukit Gantang - gambar hiasan
Johari Jaafar Sat | Apr 04, 09 | 10:51:13 am MYT | |
BUKIT GANTANG, 4 April (Hrkh) - PAS mampu mempertahankan kemenangannya di Bukit Gantang pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang pada 7 April ini walaupun mendapat tentangan yang sengit dari pihak BN. Demikian dinyatakan oleh Yang Dipertuanya Ustaz Nordin Jaafar dalam satu pertemuan dengan wartawan Harakah di sini semalam. Menurutnya berdasarkan perkembangan terkini, sokongan yang diperolehi calon PAS mampu meraih kemenangan pada pilihan raya kecil ini dengan pertambahan majoriti . "Kita menjangkakan pertambahan undi dari kalangan kaum Cina dan India, dalam masa yang sama kita cuba meningkatkan sokongan pengundi Melayu kepada calon PAS, dengan ini calon PAS tidak ada masalah besar untuk menang ," ujarnya. Menurutnya, petugas-petugas parti akan meningkatkan gerak kerja terutama di tiga hari terakhir menjelang hari pengundian, dengan dibantu kelab penyokong PAS dan beliau yakin PAS tidak menghadapi laluan sukar untuk mempertahankan kemenangan pada pilihan raya kecil ini. Tambahnya lagi, tema kempen PAS iaitu 'Mempertahankan Kemenangan Untuk Rakyat' telah menaikkan semangat seluruh petugas Pakatan Rakyat untuk mencipta kemenangan pada kali ini. "Walaupun BN membawa slogan 'Mohon Restu Rakyat', tetapi ternyata pengundi-pengundi di sini tidak mudah terpedaya dengan taktik-taktik BN, bagi mereka BN tidak perlu mohon restu rakyat kerana apa yang dilakukan oleh Umno/BN terutama merampas kuasa di Negeri Perak telah mengguris perasaan rakyat Perak," katanya. Dalam masa yang sama beliau mengingatkan pertugas-petugas dan penyokong Pakatan Rakyat jangan terlalu yakin dengan kemenangan kerana BN boleh melakukan apa sahaja di saat saat akhir menjelang hari pengundian. - mks. _ |
0 komen:
Post a Comment