Saturday, January 31, 2009

Realiti politik masa kini dan kejutan politik Najib di Perak

sumber : Harakahdaily

Ahmad Lutfi Othman
Sun | Feb 01, 09 | 12:50:34 am MYT

Secara peribadi, lazimnya saya sukar untuk menerima dengan mudah dakwaan bahawa Umno-BN sudah hilang pengaruh dan bersiap sedia bagi dikuburkan hanya kerana sesuatu peristiwa, misalnya kalah dalam pilihan raya kecil. Saya lebih suka meramalkan kedudukan terburuk yang bakal dihadapi pembangkang supaya dapat diikhtiarkan jalan keluar sebelum terlambat. Lagi pun, kejutan selepas menang lebih indah dan nikmat berbanding terkejut kerana kalah!

Semasa pilihan raya umum 1999, ketika tuntutan reformasi hebat dilaungkan, ramai kawan-kawan menjangkakan BN akan gulung tikar. Saya sekadar menyimpan impian untuk melihat kerajaan Barisan Alternatif ditubuhkan sambil berasa resah dan bimbang takut-takut BA, seperti parti pembangkang sebelum itu, kalah dengan teruk. Meskipun akhirnya PAS dapat menguasai Terengganu, dan mengekalkan Kelantan, selain menambah kerusi 20 kerusi Parlimen menjadi 27, pengundi bukan Melayu telah menjadi penyelamat kepada BN.

Umno disifatkan bagai lembu nazak disembelih. Saya cuma mengingatkan, lembu ketika disembelih, jika tidak diikat baik-baik, akan menerajang sekuat hati dan boleh terlepas. Itulah yang berlaku sepanjang 1999-2004. Sementara pembangkang dibelasah habis-habisan, senarai daftar pengundi dimanipulasi, persempadanan semula ala gerrymandering dilaksanakan dan kepimpinan tertinggi Umno juga bertukar tangan. Dan keputusan pilihan raya 2004 cukup mengejutkan. Lebih 90 peratus kerusi Parlimen dirangkul BN. PAS hampir terlepas Kelantan, cuma menang dengan majoriti satu kerusi, dengan kelebihan dua undi!

Iklim sejuk politik

Sebenarnya saya sejak awal, dengan mengambil kira suhu politik yang suam-suam kuku, kalaupun tidak sejuk, walaupun selepas Parlimen dibubarkan, dan ini menandakan pembangkang akan menghadapi pukulan teruk. Ramai juga kawan-kawan yang tidak bersetuju dengan telahan saya itu, yang ada disiarkan dalam Harakah, malah mereka menjangkakan momentum 1999 masih bertenaga sehingga 2004.

Seorang sarjana sains politik, kalau tidak silap, lima hari sebelum pilihan raya, mahu saya memaklumkan kepada pimpinan PAS Terengganu bahawa negeri itu dalam bahaya. "PAS masih memerintah, gunakanlah apa yang mampu untuk pertahankan kerajaan negeri," katanya. Apabila saya bertanya, apa ramalannya terhadap keputusan pilihan raya nanti. Pantas beliau menjawab, sama sahaja dengan keputusan 1999, tetapi cuma terbalik, iaitu kalau dulu BN dapat 4 kerusi Dun dan hilang semua kerusi Parlimen, kali ini PAS pula akan mengalami nasib sama. Menakjubkan sekali kerana ia begitu tepat.

Sebelum itu, pengalaman pedih menyaksikan PAS hanya mampu menang satu kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum 1986 membuatkan saya terlalu berhati-hati untuk memberi harapan besar kepada pembangkang. Itulah pengalaman pertama PAS di bawah kepimpinan ulama menyertai pilihan raya. Percubaan untuk merampas kembali Kelantan, yang terlepas sejak 1978, juga gagal. Serangan media perdana terhadap PAS yang membina persefahaman dengan beberapa parti kecil dan CCC cukup dahsyat, sehingga ia mencetuskan idea bagi PAS menerbitkan akhbarnya sendiri.

Gelombang kemarahan ahli-ahli Umno sendiri kepada Dr Mahathir Mohamad dalam pemilihan parti itu pada 24 April 1987, yang mencetuskan pembentukan Team A dan Team B, seterusnya melahirkan Parti Semangat 46 juga tidak mampu menobatkan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Perdana Menteri dalam pilihan raya 1990. Peristiwa sigah Kadazan yang ditohmah berlambangkan salib, yang dipakai Ku Li ketika berkempen di Kota Kinabalu, mengubah senario yang pada awalnya menyebelahi Angkatan Perpaduan Ummah. Di luar Kelantan, Angkatan kalah teruk, malah prestasinya di Kedah lebih rendah berbanding kedudukan dalam pilihan raya sebelumnya, pada 1990.

Kebimbangan bertukar

Bagaimanapun, realiti Mac 2008, iaitu pilihan raya umum ke-12, dan diikuti dua pilihan raya kecil di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu mengubah kebimbangan saya selama ini. Malaysia memang betul-betul berada di ambang babak perubahan yang besar. Era lama yang dibentuk lebih 50 tahun selepas merdeka bakal berakhir. Rakyat Malaysia, dari pelbagai kaum dan lapisan umur, cukup dahagakan pembaharuan. Umno bagaikan dimamah sejarah.

Kenyataan Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail agar Umno menyusun semula struktur organisasinya dengan memansuhkan sayap-sayap parti, iaitu Pemuda, Wanita, Putera dan Puteri, jika ia benar-benar serius hendak menghapuskan gejala politik wang, bukan sesuatu yang mengejutkan. Ia selari dengan persepsi umum bahawa zaman Umno sebagai pemerintah hampir tamat. Ahli-ahli parti itu harus bersedia untuk menjadi pembangkang.

Tengku Ahmad Rithauddeen tentu mempunyai banyak maklumat ekoran aduan politik wang yang dikumpulnya. Beliau mengakui sudah berfikir panjang sebelum membuat cadangan agar sayap-sayap Umno itu dibubarkan. Pada 6 November 2008, dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia, beliau "meminta pucuk pimpinan Umno segera menyelamatkan parti itu daripada kehancuran berikutan berleluasanya politik wang pada pemilihan yang disifatkan paling serius dengan lebih 900 aduan diterima setakat ini". Tambahnya, "masalah utama dalam membanteras politik wang dalam Umno ialah gejala buruk tersebut diterima sebahagian besar ahli parti itu dan sudah menjadi satu bentuk budaya".

Beliau juga pasti mempunyai bukti yang cukup apabila menegaskan: "Saya dok fikir perlukah ada Puteri dan Putera kerana lagi ada Puteri dan Putera banyak lagi duit dok main." Ahli-ahli Umno pada usia muda sudah dilazimkan dengan amalan rasuah membeli undi dan ini sudah cukup untuk menggambarkan masa depan parti itu yang gelap-gelita. Mereka sudah pandai menagih upah sebelum melakukan kerja-kerja parti. Masakan tidak, anak-anak muda ini melihat sendiri "abang-abang, kakak-kakak, ibu-ibu dan bapa-bapa" mereka mudah mengumpulkan dana melalui kedudukan strategik dalam Umno dan hubungan intim dengan pimpinan atasan.

PAS, bersedialah untuk memerintah

Dalam pada itu, seorang profesor yang melakukan kajian dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu memberitahu saya: "Lutfi, tolong beritahu pimpinan PAS, bersedialah untuk menjadi parti pemerintah bersama Pakatan Rakyat, carilah pasukan terbaik PAS untuk ditawarkan kepada rakyat dalam pilihan raya akan datang."

Saya turut tertarik dengan analisis sekumpulan pengkaji dari Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya, yang turut dianggotai Prof Dr Mohd Redzuan Othman, tentang pilihan raya kecil Permatang Pauh. Dalam buku setebal 155 muka, mereka merumuskan jika kecenderungan pengundian di Permatang Pauh berterusan, tidak mustahil dalam pilihan raya umum ke-13, kawasan pilihan raya yang dimenangi oleh BN dengan majoriti kecil (1,000 - 3,000 undi) akan jatuh kepada tangan pembangkang.

Jika PAS, KeADILan dan DAP mula bertindak sebagai "kerajaan menanti" dan bersedia dari segenap aspek untuk menjadi alternatif terbaik, seterusnya bijaksana menghadapi cabaran baru dalam gabungan lebih mantap, maka kebimbangan lama saya juga mudah terhakis.

Bagaimanapun, kerisauan saya timbul kembali apabila membaca kenyataan Pengerusi Perhubungan KeADILan Negeri Perak, Osman Abdul Rahman pada 31 Januari bahawa dua Adun KeADILan yang juga anggota Exco Kerajaan Negeri Perak hilang dan tidak dapat dikesan sejak empat hari lalu.

Kejutan politik di Perak

Malaysiakini juga melaporkan, desas-desus mula bertiup kencang bahawa kedua-dua Exco berkenaan, Jamaluddin Mat Radzi dan Osman Jailu berada di Pekan, Pahang dalam usaha berunding dengan Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Razak di kediamannya. KeADILan Perak juga mendakwa Najib sedang berunding dengan mereka agar menyertai BN, termasuk untuk menggugurkan kes rasuah terhadap mereka yang ditahan Ogos tahun lalu.

Saya cuba mengambil sikap tunggu dan lihat. Tidak semudah itu suasana politik bertukar. Dan tidak semudah itu juga kerajaan Perak bertukar tangan memandangkan mood rakyat untuk melihat perubahan dilaksanakan cukup kuat. Apa pun dalam politik segalanya serba mungkin.

Sepantas kilat teringat saya usikan seorang kawan lima bulan lalu ketika semua sibuk berbicara soal ura-ura peralihan kuasa 16 September. Katanya, "Anwar kena cepat usahakan agar ahli-ahli Parlimen BN menyeberang ke Pakatan Rakyat untuk tubuh kerajaan baru. Nanti, bila Najib jadi PM, dia akan bertindak agresif berusaha membeli wakil-wakil rakyat Pakatan pula."

Sememangnya Najib dalam keadaan tertekan sekarang, khususnya selepas BN yang diketuainya kalah berganda di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu. Beban sejarah politiknya juga cukup berat untuk diseret ke Seri Perdana. Isterinya juga mempunyai beban tersendiri. Najib perlukan suatu keajaiban agar peralihan kuasa daripada Abdullah Ahmad Badawi kepadanya dua bulan lagi nampak betul-betul berseri dan dapat memikat imiginasi dan keyakinan rakyat.

Usah remehkan keupayaan Najib dalam mencaturkan politik. Bukankah mentornya, Dr Mahathir Mohamad, yang mengkagumi Niccolo Machiavelli, terkenal dengan kelicikan berdepan situasi sulit, dengan menggunakan apa juga kaedah yang membelakangi etika dan moral?_

Daurah Tadribiyyah Siri 1

31 Januari, 2009
11.30 pm

Majlis Tindakan DUN Sura hari ini berjaya menganjurkan Daurah Tadribiyyah Siri 1 di PASTI Tanah Lot bermula jam 9.00 pagi hingga jam 5.00 petang.

Sdra Mohamed Ibrahim, Setiausaha MTD Sura memberitahu bahawa program dalaman ini telah ditetapkan oleh Lajnah Tarbiyyah dan Perkaderan Negeri sebagai salah satu usaha bagi menjayakan hasrat dan objektif yang telah digariskan.

" Di antara objektif daurah ini ialah bagi melahirkan petugas parti yang benar-benar ikhlas, mahir dan teliti dalam perjuangan Islam, membina petugas yang mempunyai kekuatan daya juang dan istiqamah, melahirkan pelapis yang mempunyai kefahaman dan fikrah yang jelas serta mengukuhkan semangat dan keyakinan para petugas selepas menghadapi PRU ke-12 baru-baru ini, " tambahnya, menjelaskan objektif daurah diadakan.

Bagi memastikan daurah ini diadakan sebagaimana diarahkan oleh kepimpinan peringkat Negeri, pihak JK MTD Sura telah melantik JK Daurah Tadribiyyahnya yang diberi tanggungjawab mengadakan program ini mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Sementara itu, Hj Mohd Amin Hamid, Pengerusi JK Daurah Tadribiyyah MTD Sura memberitahu bahawa daurah ini telah ditetapkan sebanyak 7 siri bermula akhir tahun 2008 dan berakhir menjelang PRU-13 iaitu tahun 2011.

" Siri 1 ini sepatutnya diadakan pada 20 Disember baru-baru ini, walau bagaimanapun oleh kerana tumpuan pada masa tersebut kepada PRK P.036 dan DUN Sura sendiri diamanahkan bertugas di UPU Kuala Ibai dan UPU Mengabang Tengah, maka ianya telah ditangguhkan hingga ke hari ini, " katanya, sambil memberitahu bahawa pada siri pertama ini sebanyak 3 kertas kerja telah berjaya dibentang - Maudhu' Dakwah, Usrah & Matlamatnya dan Sasaran Dakwah.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang membantu menjayakan daurah kali ini termasuk pemuda dan muslimat dan memaklumkan satu post-mortem akan diadakan dalam masa terdekat untuk mengenalpasti kelemahan yang ada supaya ianya tidak akan berulang di siri-siri akan datang.

Friday, January 30, 2009

Rombongan Presiden PAS Serah Dana RM250 Ribu, Tinjau Derita Gaza

sumber : Harakahdaily

RAFAH, Mesir 31 Jan (Hrkh)
- Bendahari PAS Dr Hatta Ramli memaklumkan kepada Penolong Pengarang Harakahdaily Azamin Amin melalui sistem pesanan ringkas (sms) bahawa Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan 20 anggota rombongan PAS telah berjaya menyampaikan sumbangan bantuan kemanusiaan PAS sejumlah RM250,000 untuk meringankan derita penduduk Gaza di Palestin.

Kata Dr. Hatta yang kini berada di sana, Ustaz Hadi dan rombongan termasuk sembilan ahli parlimen PAS mahu melihat sendiri kemusnahan yang dialami rakyat Palestin di samping menyumbangkan sedikit sebanyak bantuan kemanusiaan bagi mengurangkan bebanan yang ditanggung umat Palestin akibat serangan Zionis.

Rombongan pimpinan PAS yang berlepas ke Mesir 28 Januari lalu telah selamat tiba di Rafah semalam dan dalam usaha menuju ke Gaza, Palestin.

"Rombongan Presiden PAS telah mendapat taklimat daripada Duta Malaysia di Mesir dan turut mendapat sokongan namun kerajaan Mesir tidak membenarkan kami memasuki Gaza, dan masih berada di Rafah," katanya melalui sms tersebut.

Sebelum itu katanya, mereka telah melawat Hospital Arish pada sebelah paginya untuk melihat mangsa serangan Israel ke atas Palestin.

"Ramai sukarelawan pelbagai bangsa kecewa kerana tidak dapat sumbang bakti di Gaza akibat peraturan ketat kerajaan Mesir,"katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai.

Arish jauhnya 40 kilometer dari Rafah dan adalah bandar berhampiran dengan sempadan antara Mesir dengan Palestin.

ImageDi hospital itu katanya Tuan Guru Presiden PAS telah menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa serangan Zionis Isreal.

"Selain itu, Presiden dan rombongan dalam rangka lawatan menemui para pemimpin Ikhwan di Mesir, kemudian Damsyik, Beirut dan Amman seterusnya berjumpa dengan pemimpin Hamas sendiri.

"Objektif utama selain menyalurkan pelbagai jenis bantuan, Presiden dan pimpinan PAS mahu berbincang dan merangka bersama-sama pemimpin tersebut mekanisme dan tindakan terbaik bagi mengatasi kesengsaraan yang dihadapi penduduk Palestin khususnya Gaza disamping menilai sendiri kemusnahan yang dialami untuk tujuan bantuan seterusnya ," katanya.

Keesokannya (31 Januari, hari ini), rombongan pimpinan PAS itu akan berlepas ke Damsyik untuk menemui pemimpin tertinggi Hamas, Khalid Meshaal bagi meneliti langkah-langkah selanjutnya untuk rakyat Palestin khususnya melibatkan pembangunan semula Gaza dari segi modal insan, pendidikan dan ekonomi.

"Kami seterusnya akan melalui jalan darat ke Beirut menemui pemimpin gerakan Islam termasuk Hamas dan Fathi Yakan untuk berbincang masalahummah dan tindakan terdekat. Destinasi terakhir ialah Jordan untuk menemui pimpinan Ikhwan Muslimin dan untuk dapat taklimat tentang Tebing Barat.

"Jumlah sumbangan PAS sebanyak RM250,000 yang diterima daripada pelbagai pihak dan masyarakat prihatin di Malaysia telah berjaya kita sampaikan," katanya.

Selain beliau dan Presiden, ahli parlimen yang turut serta dalam rombongan ialah Salahuddin Ayub (Kubang Kerian dan Ketua Pemuda PAS), Dr. Dzulkifli Ahmad (Kuala Selangor), Dr. Lo' Lo' Ghazali (Tititwangsa), Dr. Mujahid Rawa (Parit Buntar),Mohd Nasir Zakaria (Padang Terap), Dr. Hayati Othman (Pendang), Roslan Shaharum (Bukit Gantang) dan beberapa akitivis yang lain.

"Terima kasih atas doa, sumbangan dan keprihatin orang ramai kepada rakyat Palestin dan semoga semangat perjuangan sentiasa disemarakkan dan doakan kami selamat kembali," kata Dr Hatta dalam sms ketujuh kepada Azamin lewat jam 10.00 malam semalam. - azm

HULURKAN SUMBANGAN, DEMI INSAN-INSAN YANG SEDANG DIZALIMI
DI PALESTIN MELALUI TABUNG KEMANUSIAAN HARAKAH DI AKAUN
BIMB: 14069010021298.

Thursday, January 29, 2009

Ramlang saman Jakim jika rayuan ditolak

sumber : malaysiakini

Jimadie Shah Othman | Jan 29, 09 11:49am

kemaskini 2:06pm Bekas imam Masjid Wilayah Persekutuan - yang dipecat daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atas alasan berkempen untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim - akan mengambil tindakan saman.

"Saya akan merayu (kepada Jakim). Jika tidak terima, saya akan tuntut hak-hak saya melalui (proses) undang-undang," kata Ramlang Porigi.

Beliau merancang mengemukakan rayuan kepada jabatan tersebut pada Selasa atau Rabu depan.

Anak kelahiran Sabah itu kini sedang berehat di kampung halamannya di Sandakan dan dijadual kembali ke Kuala Lumpur awal minggu depan.

ramlang permatang pauh ceramah 250808 02Ramlang - yang berceramah di tiga tempat dan kemudian mengadakan sidang media bersama PKR ketika pilihanraya kecil Permatang Pauh tahun lepas - diberhentikan perkhidmatannya minggu lepas.

Dalam surat bertarikh 20 Januari, ketua pengarah Jakim Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz menyatakan bekas imam muda itu didapati "bersalah dan dikenakan hukuman buang kerja."

Lembaga Tatatertib Kumpulan Sokongan (No 1) Jakim yang dipengerusikan oleh Wan Mohamad mengambil keputusan itu dalam satu mesyuaratnya pada 16 Januari lalu.

Dihubungi Malaysiakini hari ini, Ramlang mendakwa penyingkirannya tidak melalui prosedur dan amalan biasa.

"Saya dibuang tanpa amaran, tanpa notis," katanya.

Beliau juga mendakwa hanya dipanggil sekali sahaja bertemu Wan Mohamad - sehari sebelum dipindahkan dari Masjid Wilayah Persekutuan ke bahagian pentadbiran dan kewangan Jakim di Putrajaya pada 9 September lalu.

Dalam pertemuan kira-kira satu jam itu juga, Ramlang mendakwa tidak dimaklumkan berhubung tindakan pembuangan itu tetapi hanya dipersalahkan ekoran kemunculan beliau di pentas PKR pada 24 Ogos, kira-kira 48 jam sebelum pengundian dalam pilihanraya tersengit itu.

Tambahnya, kehadiran beliau ke pentas PKR dipersoalkan oleh majikannya kerana kelihatan "senang hati" sewaktu berucap tetapi sebab beliau berada di situ tidak diambil perhatian.

"Mereka kata, gambar saya (berucap) yang disiarkan di (laman perkongsian video) Youtube nampak gembira," kata Ramlang.

Bagaimanapun, bapa kepada tiga anak itu berkata, beliau reda dengan takdir tuhan walaupun pemecatannya itu tidak diduga sama sekali.

"Waktu saya cakap dengan kawan-kawan, mereka kata, mustahil sampai kena buang. Ada orang (kakitangan awam) lawan kerajaan betul-betul tetapi (mereka) tidak kena buang (kerja) pun.

"Ada (kakitangan) yang ada rekod jenayah pun tidak kena buang pun."

"Saya hanya ingin membebaskan nama saya daripada pelbagai fitnah yang diterima sejak seminggu menjadi saksi sumpah itu.

"Alhamdulillah sekarang, ke mana saya pergi, orang tidak marah pada saya," katanya.

ramlang porigi imam witness in saiful bukhari azlan anwar ibrahim sodomy 2 210808 01Pada 15 Ogos lalu, Ramlang termasuk antara empat imam Masjid Wilayah Persekutuan yang menghadiri majlis sumpah laknat Mohd Saiful Bukhari Azlan di masjid tersebut yang mendakwa diliwat oleh penasihat PKR itu dua bulan sebelumnya.

Ramlang kemudian muncul di tiga majlis ceramah anjuran Pakatan Rakyat dengan mendakwa beliau telah diarahkan hadir di majlis sumpah itu.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan lebih lanjut pihak yang mengarahkannya berbuat demikian.

Menceritakan pengalaman beliau bertugas empat bulan di Jakim sejak ditukarkan secara mendadak, beliau tidak menerima sebarang tekanan daripada pegawai atasannya.

Bagaimanapun, tambah Ramlang, beliau tidak diberikan sebarang kerja dengan harapan beliau akan melepaskan jawatan sebagai kakitangan Gred 17 secara sukarela.

Pada 7 Ogos tahun lepas, Anwar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap pertuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful di sebuah kondominium di ibu negara pada 26 Jun lalu.

Dua Minggu Berlalu, Wan Farid Bagai Jatuh Ditimpa Tangga

http://buletinonline.net/images/stories/berita/wfaridtengokwahidmenang.jpg

sumber : Buletinonline

Kuala Terengganu
– Selepas dua minggu UMNO dan Barisan Nasional kalah dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu, jentera UMNO Terengganu masih terus menyalahkan dan memburuk-burukkan bekas calonnya, Dato’ Wan Ahmad Farid.


Dalam satu laporan bedah siasat yang bertajuk ‘Laporan Jawatankuasa Pemantau’ UMNO Perhubungan Terengganu, meletakkan faktor calon sebagai faktor kedua mengapa UMNO kalah dalam pilihanraya tersebut.

Laporan tersebut mendedahkan, walaupun sepatutnya yang bertanding adalah parti dan bukannya calon, tetapi setiap kali pengumuman calon dibuat, pemimpin dan ahli UMNO sendiri terjebak mensensasikan isu calon sehingga memberi kelebihan kepada lawan.

Bekas calon UMNO/BN bagai jatuh ditimpan tangga, setelah mengalami kekalahan pada 17 Januari lalu, peribadinya masih menjadi ungkitan dan bangkitan dikalangan ahli-ahli UMNO.


“Calon yang didakwa sebagai ego, elit dan bangsawan seolah-olah diakui oleh Jentera UMNO sendiri dan pemimpin UMNO tempatan samada di peringkat cawangan sehingga ke peringkat tinggi,


“di dalam suatu ceramah Parti Keadilan Rakyat, penceramah menyatakan bahawa calon BN bukan sahaja ditolak oleh PAS malah oleh orang BN /UMNO sendiri,”tulis laporan tersebut yang dipengerusikan oleh veteran UMNO Terengganu, Dato’ Hj Awang Jabar.


Dalam satu lagi laporan post-mortem yang disalinkan kepada Buletinonline menyatakan pengumuman calon UMNO/BN yang dibuat awal telah memberi kesan yang kurang baik kepada UMNO/BN.


Laporan tersebut menyebut, dalam tempoh 16 hari sebelum hari penamaan sebab dalam tempoh itu orang ramai menjadikan calun sebagai bahan perbincangan menyebabkan berbagai2 kelemahan calun dibongkar.

Antara lainnya, Wan Farid dibelasah dengan penyenaraian kelemahan-kelemahan sebagai calon seperti dibawah;

  1. Calon adalah seorang pemimpin yang tidak memiliki pengalaman mengendalikan pilihanraya, dimana bilamasa beliau tidak bertanding dalam PRU12 beliau tidak main peranan menerajui pilihanraya.
  2. Calon telah dilemparkan dengan label “sombong” dimana satu tuduhan yang ada kena mengena dengan ’character’ beliau dan susah untuk di tepis oleh jentera parti melainkan beliau berubah.
  3. Calon bergerak bersendirian tanpa mengikuti program yang diatur cawangan dimana lawatan beliau tidak banyak menarik undi.
  4. Calon “over expose” kepada liputan media terutama media eletronik dan apa jua ’statement’ yang dikeluarkan menampakkan kelemahan beliau kepada orang tempatan.
  5. Calon juga telah melantik wakil calon yang tidak memiliki ‘character’ yang boleh membantu calun. Kehadiran wakil calon tidak dirasai oleh jentera parti.
  6. Calon tidak berupaya membaiki hubungan dengan keluarga Allahyarham Dato Razali Ismail, ini menyebabkan cerita ini tersebar dan membuat pengundi kalangan guru yang peminat Allahyarham tidak memihak kepada BN
  7. Calon yang mengadakan mesyuarat lewat malam dengan jawatankuasa khas beliau dirumahnya tiap-tiap malam, menjadikan Badan Perhubungan sasaran tuduhan kononya Perhubungan sabotaj dgn tidak menghantar peruntukan.
  8. Calon juga di sebar dengan maklumat yang beliau akan diangkat menjadi Menteri penuh selepas kemenangan dan ini menyebabkan musuh politik beliau kurang semangat bekerja.
  9. Calon tidak jadikan rumah kediaman beliau sebagai ‘centre’ tempat himpunan penyokong beliau.
  10. Calon telah melantik Timbalan Ketua Bahagian sebagai Pengarah pilihanraya dan ini tidak membantu beliau sebab Timbalan hanya ikut Menteri Pelajaran dan Naib Ketua Pemuda Malaysia dan meninggalkan ‘command centre”
Last Updated on Thursday, 29 January 2009 08:47

Monday, January 26, 2009

Sekitar Majlis Kacau Bubur 'Asyura

YB Sura sempat hadir dan mendengar hasil tinjauan awal oleh
wakil peribadi beliau terhadap satu permasalahan di Pasar Besar Dungun.


Gandingan tenaga wakil Penerangan dan wakil Unit Amal


Relak ah brader... kasi chance member sebelah pulak.


Campuran bahan dimasukkan ke dalam bubur 'asyura


Lemas asap laaa ...


Pemuda dan Remaja HALWA...duk gelak pulak dah...


Steady sepanjang program...lenguh ke ?!?


Persiapan untuk masa agihan


Perbincangan tidak rasmi Ketua & Setiausaha MT Muslimat DUN Sura


Kerja-kerja persiapan bahan campuran bubur 'asyura


Masih setia bersama DUN Sura

melalui pemerhatian SB - 27 Januari, 2009 (SELASA)
di Markaz PAS Caw Kg Molek.


Sebanyak 7 kawah bubur 'asyura berjaya dimasak dan diagihkan kepada penduduk setempat. Program anjuran Majlis Tindakan Muslimat DUN Sura ini turut dibantu oleh pihak muslimin dan para pemuda DUN Sura.

HULURKAN SUMBANGAN, DEMI INSAN-INSAN YANG SEDANG DIZALIMI
DI PALESTIN MELALUI TABUNG KEMANUSIAAN HARAKAH DI AKAUN
BIMB: 14069010021298.

Gong Xi Fa Cai - Dari Presiden PAS Untuk Semua

sumber : buletinonline
http://buletinonline.net/images/stories/berita/cny1.gif

Saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada semua anggota masyarakat Tionghua di Malaysia.Semoga tahun yang baru ini akan membawa kesejahteraan dan keamanan kepada semua, dan mudah-mudahan ia menjadi tahun yang baik, malah lebih baik dari yang terdahulu khasnya dari segi ekonomi dan politik buat negara kita yang tercinta dan seluruh dunia amnya.http://buletinonline.net/images/stories/berita/TokGuru1.JPG
Sesungguhnya masyarakat Tionghua tempatan telah memainkan peranan yang penting dalam membentuk dan mempengaruhi lanskap politik baru di Malaysia dan dengan dokongan kaum-kaum lain termasuklah orang-orang Melayu dan India, kita telah bersama-sama memberikan harapan baru ke arah lahirnya nanti satu negara Malaysia yang lebih adil dan aman buat semua.

Terbaru
adalah peranan mereka dalam memenangkan calon PAS dari Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu. PAS akan sentiasa menghormati dan mengiktiraf kehadiran dan peranan masyarakat Tionghua di Malaysia dalam membentuk sebuah kerajaan yang lebih adil dan makmur.
PAS
juga kini melalui Kelab Penyokongnya telah berjaya menjalin hubungan baik dengan masyarakat Tionghua khususnya dalam saling faham-memahami dan hormat-menghormati serta saling tolong-menolong di antara satu sama lain. Semoga sifat bersefahaman dan saling menghormati ini akan terus diperkasakan.
Allah swt
sendiri menyeru agar hubungan seumpama ini sentiasa dibentuk sebagaimana firman Nya dalam surah al-Hujuraat ayat 13 yang bermaksud:
"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain)."
Gong Xi Fa Cai kepada semua


Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

Sunday, January 25, 2009

Sekitar hari penamaan calon PRK P036 Kuala Terengganu

Pihak kami memohon ribuan kemaafan atas kelewatan meng'update' blog Dun Sura ini kerana kesibukan Team IT Dun Sura dalam PRK P036 baru-baru ini.Pihak Dun Sura diamanahkan untuk membantu 2 UPU di Dun Batu Buruk iaitu UPU Kuala Ibai dan UPU Mengabang Tengah.

Di sini kami perturunkan sebahagian gambar-gambar sekitar hari penamaan calon P036 Kuala Terengganu dari lensa unit kamera amatur kami.Banyak lagi gambar-gambar akan menyusul selepas ini terutama dari lensa petugas Unit IT Dun Sura...



MB Perak Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin antara yang turut mengiringi calon


Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa sempat berseloroh dengan penyokong dari Dungun


Tuan Guru berkereta ke tempat penamaan calon...tak larat jalan jauh-jauh.


muslimat dan payung....memang ngam


Lautan manusia gegarkan bandar Kuala Terengganu


Setia menunggu


Datang tanpa upah & paksaan


Ustaz Azhar Idrus turut menggamatkan suasana


macam kenal je...antara petugas sepenuh masa dari Dun Sura


Unit Amal bertugas dengan cemerlang mengawal suasana



Potret Tuan Guru turut dijulang penyokong


Antara pimpinan pemuda PAS Negeri Terengganu


Tetap bersemangat


Berjalan pulang...bebanan tugasan bakal menanti

Saturday, January 24, 2009

UMNO Tidak Akan Berubah

oleh : smnoor buletinonline


Dungun 25 Jan 2009 – “Walaupun UMNO cuba melakukan perubahan, namun dasar yang dibawa oleh parti itu tidak mungkin berubah,

“apa yang mereka perjuangkan adalah untuk kepentingan diri dan para kroni,”kata Yang DiPertua PAS Kawasan Dungun Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli.

Beliau berkata demikian ketika memberi respon atas kenyataan beberapa pimpinan UMNO selepas mengalami kekalahan dalam pilihanraya kecil (PRK) Kuala Terengganu minggu lalu.

Menurutnya mesej yang rakyat berikan dengan keputusan PRK Kuala Terengganu bukannya meminta UMNO berubah tetapi rakyat memberikan isyarat bahawa UMNO sudah tidak relevan lagi dengan politik masakini.

“Satu mesej yang jelas yang dihantar oleh rakyat selepas PRK Permatang Pauh, rakyat mahukan perubahan kerajaan yang memimpin mereka,

“sekiranya rakyat mahukan UMNO yang berubah, pasti rakyat memilih UMNO di Kuala Terengganu kerana UMNO sudah pun membuat beberapa perubahan dalam kepimpinan,”jelasnya yang ditemui ketika menghadiri majlis walimah seorang penduduk di jalan lapangan terbang, dekat sini, semalam (Gambar atas)

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Sura berkata perubahan haikiki yang sepatutnya dilakukan oleh UMNO adalah kembali kembali Islam yang sebenarnya dan mengamalkan dasar-dasar Islam dalam menghadapi masyarakat.

“Menurut seorang Ulama’ Hassan Basri, menjadi seorang pemimpin itu adalah menjadi “hamba kepada rakyat”,

”Mana mungkin seorang “hamba kepada rakyat”, adalah lebih kaya dan hidup mewah daripada rakyat jelata,”katanya merujuk kepada cara hidup pemimpin UMNO yang ada masakini.

Mengulas lanjut kesan kemenangan Pakatan Rakyat dalam PRK Kuala Terengganu beliau berkata kemenangan tersebut memberikan kesan yang besar kepada para petugas dan rakyat di kawasan Dungun.

Katanya ia bukan sahaja terkesan dan membawa perubahan dikalangan para petugas dan penyokong Pakatan Rakyat bahkan sudah ada ‘suara’ kedengaran dikalangan penyokong UMNO dan Barisan Nasional.

“Penyokong UMNO akan ada perubahan, sudah ada ‘signal’ dari kalangan penyokong UMNO dan BN yang turut akan berubah menyokong Pakatan Rakyat,”katanya.

Oleh yang demikian beliau sudah meletakkan sasaran kerja PAS Kawasan Dungun untuk mengahdapi Pilihanraya Umum yang ke 13 akan datang.

“Sasaran PRU 13 bagi Kawasan Dungun, InsyaAllah PAS akan menumpukan kepada tiga DUN yang akan berjaya kembali ke tangan PAS dibawah muafakat Pakatan Rakyat,”katanya.



sumber : buletinonline

Thursday, January 22, 2009

Petunjuk Kuala Terengganu: Nazak BN menjelang ajal

Zulkifli Yahaya
Thu | Jan 22, 09 | 5:38:27 pm MYT

Hanya meletakkan mucung pistol di kepala pengundi saja yang tidak dibuat oleh BN. Selain itu, apa lagi yang tidak dilakukan oleh mereka dalam usaha memenangkan calonnya di Kuala Terengganu? Umpan sudah, ugut pun sudah.

Semua menteri membawa sekali kementeriannya berkampung di Kuala Terengganu. Bajet kementerian Pusat turun untuk setiap daerah mengundi! Bukankah gila namanya? Media arus perdana usah dikira lagi peranannya.

Di bawah bekas pemimpin Parti Melayu Semangat 46, Datuk Ahmad Shabery Cheek, RTM berkempen untuk BN sehingga 24 jam. Berdasarkan semua strategi yang digunakan itu, mengikut hukum akalnya, lawan BN sepatutnya hilang deposit.

Ditakdirkan Allah SWT BN kalah juga. Lebih teruk lagi kerana mereka hilang kerusi yang mereka menangi pada Mac 2008 lalu.


Bergelut dengan nazak

Pelbagai ulasan dari pelbagai individu dan pihak diberikan. Ada ulasan bernilai akademik dan ada juga ulasan sekadar untuk melepas geram kepada individu tertentu. Dalam 1001 sebab diberikan terhadap kekalahan BN, tidak ada yang mengulas bahawa hakikat sebenarnya BN sedang bergelut dalam nafas nazak menjelang ajalnya.

Di atas dunia yang fana ini setiap yang hidup akan merasai mati. Hukum itu bukan untuk makhluk bernyawa seperti haiwan atau manusia saja. Kerajaan yang memerintah pun sama. Mereka ada ajalnya. Tidak ada sebuah kekuasaan yang bertahan seusia kewujudan manusia di atas muka bumi ini. Semua tamadun silam pernah gemilang dan pernah hilang.

Parti politik yang memerintah dalam sistem demokrasi pun begitu. Dalam catatan sejarah moden, parti politik yang lama memerintah sejak merdeka ialah National Revolutionary Party (NRP) di Mexico kemudian bertukar nama kepada Institutional Revolutionary Party (IRP). Selepas 60 tahun memerintah, IRP tumbang pada tahun 1989 kepada parti Baja California.

Liberal Democration Parti (LDP) walaupun lama memerintah di Jepun, hakikatnya ia bukan parti LDP yang asal kerana berpecah dan menjadi serpihan beberapa kali.

Kira-kira sekarang ini, rekod parti politik yang memerintah paling lama sejak merdeka dalam sebuah negara demokrasi dipegang oleh BN (dulunya Perikatan) di Malaysia.

Apabila Musa Hitam mengibaratkan Umno yang mendominasi BN sedang mengalami 'sakit tua' maka ia adalah satu istilah yang sangat tepat sekali. Sakit tua adalah sakit selepas terlalu lama hidup, menunggu detik-detik kematian. Berkurunglah dalam wad ICU dengan berpuluh sambungan wayar penyokong hayat, sampai masa maut menyusul jua.

Jika percaman orang tua-tua terhadap pesakit tua menjelang ajalnya selalunya betul, lalu menganjur majlis bacaan Yaasin, maka demikianlah percaman orang tua bernama Musa Hitam terhadap Umno. Ia sukar untuk disangkal.

Bagi ahli-ahli Umno, bermula dari pucuk pimpinan hinggalah ke ahli biasa, jika mahu sentiasa menjadi pihak yang menang maka sekaranglah masanya untuk mereka berhijrah menyertai parti-parti Pakatan Rakyat. Tidak ada sebab untuk mereka terus kekal dalam sebuah bahtera yang sudah bocor dan sedang karam perlahan-lahan macam kapal Titanic.


Bangkit dengan kekuatan sendiri

Bagi Pakatan Rakyat, ia wajar bangkit dengan kekuatan sendiri, bukannya kerana kelemahan musuh. Buat pertama kalinya pemimpin utama kerajaan dari lima buah negeri Pakatan bersidang di kediaman rasmi Menteri Besar Kedah, Sri Mentaloon, Alor Setar, lalu mengeluarkan Pengisytiharan Mentaloon yang mengesahkan pemantapan kerjasama antara negeri, terutama dalam menghadapi kerenah Pusat.

Menurut Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak, majlis tersebut mempunyai bidang tugas untuk menjalankan agenda Pakatan Rakyat serta akan menyelaraskan program dan aktiviti selain mengurangkan perbezaan pendapatan antara kerajaan Pakatan Rakyat.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pula berkata, melalui majlis itu keanggotaan dapat berkongsi maklumat dari segi kejayaan, pencapaian pelaksanaan pengurusan negeri dan juga masalah-masalah dari segi pentadbiran sekali gus menuju kepada satu taraf pengurusan negeri yang lebih mantap.

Sementara itu, ketiga-tiga pemimpin utama Pakatan, Dato� Seri Abdul Hadi Awang, Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng turut bersemuka membincangkan agenda Pakatan. Sudah tentulah pertemuan seperti ini sangat menakutkan BN.

Pilihan raya kecil Permatang Pauh dan Kuala Terengganu adalah pilihan raya yang dihadapi melalui persepakatan langsung PAS, KeADILan dan DAP. Sedang pilihan raya umum 2008 dulu pun, persepakatan rasmi seperti ini belum wujud.

Bermakna jika Pakatan terus mantap sehingga pilihan raya umum ke-13, Najib dan konco-konconya sudah boleh mencongak negara mana mereka hendak bermastautin selepas Malaysia. _

sumber : harakahdaily

Thursday, January 15, 2009

SPR perlu jelaskan undi sulit atau tidak - Mustafa

KUALA TERENGGANU, 15 Jan (Hrkh) - PAS mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat kenyataan bagi menjelaskan dakwaan seorang pegawai kanan kerajaan kononnya mengundi tidak sulit.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Mustafa Ali mendakwa seorang pemimpin memberitahu pada satu perjumpaan dengan kakitangan kerajaan dengan menyebut pengundian tidak sulit.

"Kita minta SPR membuat kenyataan terbuka mengenai status pengundian yang dimaksudkan pemimpin terbabit tidak lagi sulit," katanya pada persidangan media di sini, hari ini.

Mustafa mendakwa Datuk Bandar Kuala Terengganu, Dato' Mat Razali Kassim memberi kata dua kepada lebih 500 kakitangan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) supaya mengundi calon BN, Dato' Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Pertemuan itu difahamkan diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman. Mat Razali juga merupakan pegawai pengurus pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu.

Image"Kita ada cukup bukti pegawai terbabit membuat ugutan tersebut kerana ada orang yang memberi laporan kepada kita yang berada dalam majlis terbabit," kata Mustafa.

Beliau juga mendakwa Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak dan Menteri Besar, Dato' Ahmad Said menghadiri majlis memperkenalkan calon BN kepada kakitangan kerajaan di wisma Darul Iman.

"Sedangkan memperkenalkan calon kepada kakitangan kerajaan adalah salah di segi peraturan pilihan raya," katanya.

Sementara itu, petang ini seorang penduduk Raja Arizal Raja Arif, 32 dan Mohd Fadzil Wahad membuat laporan polis terhadap pegawai pengurus pilihan raya kerana membuat ugutan terhadap pengundi.

Laporan itu dibuat kira-kira jam 4 petang tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu.

Laporan tersebut menyebut pegawai terbabit menyalahgunakan kuasa dengan merayu kakitangan MBKT mengundi calon BN.

Program berkenaan didakwa berlaku di Dewan Besar Wisma Darul Iman dan Dewan Tunku Abdul Rahman Kuala Terengganu pada 11, 13 dan 14 Januari lalu.

"Mat Razali juga memberi arahan kepada warga MBKT supaya berterima kasih kepada BN. Kalau enggan berbuat demikian kakitangan tersebut diarah berhenti dari MBKT," katanya kepada pemberita selepas itu.

Turut hadir peguam dari Wan Abd Mutallib & Co.

Semalam Ketua Angkatan Muda KeADILan, Mohd Fariz Musa juga membuat laporan serupa terhadap Mat Razali. - mj _


Lanjusoh, Mohd Nor Yahya | Foto Nasir Sudin


Sumber : HarakahDaily
Related Posts with Thumbnails

YB ADUN Sura Untuk Semua

 

Arkib Laman

Blog YB ADUN Sura © 2008 | Ripped by SamarQondy | Coordinated by Team IT DUN Sura