Thursday, March 24, 2016

Hospital baru Dungun : Adun Sura Ingatkan Kerajaan Jangan Jadikan Umpan Pancing Undi Menjelang Pilihan Raya Umum

DUNGUN, 24 Mac, 2016 - Adun Sura, Y.B. Haji Wan Hapandi Wan Nik mengulangi gesaan Ahli Parlimen Dungun, Y.B. Ustaz Haji Wan Hassan Mohd Ramli semasa membahaskan Titah DiRaja pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ketiga Belas yang sedang bersidang sekarang supaya menyegerakan pembinaan hospital baru Dungun.
“Bersesuaian dengan daerah Dungun yang telah dimasyhur sebagai majlis perbandaran pada Ogos 2008, sudah hampir lapan tahun, sewajarnya daerah ini mempunyai sebuah hospital baru yang menyediakan kemudahan lengkap untuk keselesaan penduduknya”, ujar beliau yang ditemui selepas menyampaikan sumbangan di Kampung Molek, di sini.

Pada 11 Disember, 2013 yang lalu, pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Terengganu Ketiga Belas, beliau pernah mengemukakan soalan lisan, bilakah Hospital Dungun yang baru akan dimulakan pembinaannya.

“Kita tidak mahu pembinaan hospital baru ini yang terletak di persimpangan Kampung Che Lijah akhirnya akan menjadi umpan untuk memancing undi menjelang pilihan raya umum, kerajaan sepatutnya memandang serius soal penyediaan kemudahan kesihatan untuk rakyat”, tegasnya yang bimbang pembinaan hospital ini akan digunakan sebagai umpan bagi memancing undi apabila hampir pilihan raya umum.

Sementara itu, hampir 100 keluarga faqir miskin telah menerima sumbangan berupa barangan keperluan harian daripada Adun Sura yang berkunjung dari rumah ke rumah untuk merasai sendiri nadi keperitan hidup golongan ini.

Sumbangan pusingan pertama ini yang berakhir di Kampung Molek, bermula Januari lalu melibatkan 13 cawangan di Dun Sura. Sumbangan pusingan kedua akan menyusul pada April depan.
Related Posts with Thumbnails

YB ADUN Sura Untuk Semua

 

Arkib Laman

Blog YB ADUN Sura © 2008 | Ripped by SamarQondy | Coordinated by Team IT DUN Sura