DUNGUN,
15 Disember 2014 - ADUN
Sura merangkap Pengarah Jawatankuasa Tindakan Banjir PAS Kawasan Dungun, Y.B.
Haji Wan Hapandi Wan Nik, menggesa kerajaan mewujudkan pasukan sukarelawan bagi
mengawal dan meninjau di kawasan pantai yang berisiko berlakunya tragedi lemas
di musim tengkujuh.
Beliau yang juga Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Kawasan Dungun mencadangkan perkara tersebut ekoran kejadian terbaru di Telok Bidara, Seberang Pintasan, di sini, 13 Disember, petang Sabtu baru-baru ini.
“Memandangkan
masyarakat masih kurang peka terhadap bahaya melakukan aktiviti pantai di musim
tengkujuh, amat wajar pihak kerajaan memikirkan langkah-langkah lebih berkesan
untuk menghalang sebarang aktiviti pantai bermula tibanya musim tengkujuh
sehingga berakhirnya musim tersebut, “ cadang beliau selepas meninjau lokasi
kejadian petang ini.
“Dengan
adanya pasukan sukarelawan yang melarang aktiviti pantai di musim tersebut,
sekurang-kurangnya dapat menghalang orang ramai daripada terlibat dengan
sebarang aktiviti yang membahayakan nyawa mereka”
“Papan
tanda yang ada nampaknya kurang berkesan untuk beri peringatan kepada
masyarakat tentang bahaya ini, “ujar beliau lagi.
Dalam
kejadian 13 Disember, kira-kira jam 6.00 petang Sabtu baru-baru ini, Syed Mustapha Syed Suhaimi, 18, masih hilang selepas
dihanyutkan ombak di Pantai Teluk Bidara, Seberang Pintasan, di sini.
Sementara sepupu mangsa, Syed Ali Syed Alwi,
18, dan seorang lagi rakannya Jalauddin Ali Hassan, 21, yang turut mandi laut
terselamat.
Tahun lalu pada tarikh yang sama, dua pelajar
Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin turut lemas di lokasi sama. Mohd Hanif
Jainuri, 18, dari Kampung Sri Dalam Senggarang, Johor dan Ahmad Syukri Eiman
Romainor, 18, dari Sungai Besi, Kuala Lumpur menemui ajal akibat lemas.
Sementara itu, ADUN Sura turut merakamkan
ucapan setinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi
mencari mangsa yang telah masuk hari ketiga, di antaranya Unit Amal, PDRM,
Anggota Bomba dan Penyelamat, JPAM dan RELA termasuk squad bencana daripada DUN
Rantau Abang sendiri, selain daripada Chukai dan Kuala Berang.
“Semoga operasi mencari dengan kerjasama semua
pihak ini dapat membuahkan hasil serta dikurniakan ganjaran amal soleh dari
sisiNya, insyaAllah,” tambahnya lagi.
“Ibubapa juga mesti sentiasa mengawasi
anak-anak kecil mereka supaya tidak bermain di kawasan berisiko seperti paya
terbiar dan longkang-longkang besar, “ akhiri beliau.
Beliau dipercayai merujuk kejadian seorang kanak-kanak ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam
longkang di Kampung Ladang Hospital, Kuala Terengganu pada 14 Disember,
semalam.
Mangsa, Mohamad Zarul Adha
Rosmadi, enam tahun terjatuh selepas bermain di longkang besar kira- kira jam
4.30 petang.
Mangsa dipercayai bermain
bersama abang dan sepupunya, sebelum terjatuh ke dalam longkang.