Sunday, February 19, 2012

JHEAT Digesa Siasat Ahmad Di Bawah Takzir



KUALA TERENGGANU, 19 Feb : PAS Terengganu membuat laporan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) mengenai dakwaan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menuduh PAS sebuah ‘parti ajaran sesat’.

Laporan tersebut diserah oleh Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik kepada Pesuruhjaya JHEAT, Mohd Rozali Saleh di pejabatnya di Kompleks Seri Iman, di sini, hari ini.

Mengikut laporan yang diserahkan kepada JHEAT itu, Ahmad boleh disiasat di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 pada Seksyen 38(1) dan Seksyen 51.

Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 pada Seksyen 38(1) tersebut menjelaskan, mana-mana orang yang mengatakan atau menomohkan dengan perkataan, sama ada secara lisan atau bertulis atau dengan isyarat atau gambaran tampak atau dengan apa-apa perbuatan aktiviti atau perlakuan atau dengan menganjurkan, menaja atau membuat perkiraan bagi apa-apa aktiviti atau selainnya dengan apa-apa cara, bahawa mana-mana orang yang menganut agama Islam atau orang yang tergolong dalam apa-apa kumpulan, golongan atau perihalan orang menganut agama Islam.


“Pertama, adalah kafir. Kedua, tidak lagi menganut agama Islam. Ketiga, tidak sepatutnya diterima atau tidak boleh diterima sebagai menganut agama Islam atau Keempatnya, tidak mempercayai, mengikuti, menganuti atau tergolong dalam agama Islam.

“Adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau di penjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya,” jelas Abu Bakar pada sidang medianya selepas menyerahkan laporan tersebut .

Katanya lagi, menurut Seksyen 51 Enakmen yang sama pula mana-mana orang yang dengan sengaja mengeluarkan atau menyebarkan kata-kata yang bertentangan dengan Hukum Syarak yang mungkin boleh memecahkan keamanan di mana-mana tempat adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat mendakwa Ahmad Said telah mengeluarkan kenyataan dengan niat jahat dan sengaja.

Justeru, katanya kenyataan tersebut telah menimbulkan suasana tidak tenteram dan kurang senang di kalangan umat Islam di Malaysia.

Menurutnya, kenyataan tersebut boleh difahami secara tersurat dan tersirat bahawa pimpinan, ahli dan penyokong PAS adalah golongan yang terlibat dengan ajaran sesat.

Justeru, beliau memohon supaya JHEAT menyiasat kenyataan itu di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001.

Saturday, February 18, 2012

Ahmad Kata PAS Sesat, Pemuda Anjur Ceramah Tangkis Ahmad

DUNGUN, 18 Februari Sabtu - UMNO/BN Terengganu yang semakin tertekan dengan pelbagai salah laku dalam mentadbir urus kerajaan negeri, baru-baru ini telah melabel PAS sebagai 'Parti Ajaran Sesat' melalui Pengerusi Badan Perhubungannya merangkap MB Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Ahmad, ketika berucap pada majlis menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia di Kijal, dilaporkan berkata, perjuangan Pas kini tersasar jauh daripada perjuangan Islam sebenar dan menyifatkan Pas sebagai "parti ajaran sesat" - Sinar Harian.

Dalam menyangkal dakwaan Ahmad Said tersebut, Pemuda PAS DUN Sura mengambil inisiatif menganjurkan ceramah bagi menjelaskan apa yang dituduh oleh Pengerusi UMNO Terengganu itu bohong sama sekali dan hanya berdasarkan nafsu semata-mata tanpa rujukan dari sumber al-Quran dan Hadis Nabi S.A.W.

Menurut Ketua Pemuda PAS DUN Sura, Ustaz Haji Mohd Hanafiah Hitam, pihak Lajnah Penerangan Pemuda telah mengundang Ketua Penerangan PAS Pahang, Ustaz Suhaimi Saad yang akan menggunakan teknik penyampaian maklumat secara slide-show dan Naib Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Kamaruzaman Abdullah. ADUN Sura merangkap YDP PAS Kawasan Dungun, Y.B. Ustaz Haji Wan Hassan Mohd Ramli akan bertindak sebagai tuan rumah.

Ceramah tersebut akan berlangsung pada 23 Februari, 2012 hari Khamis di Perkarangan Surau Tuan Guru Haji Zainal Abidin, Sura Gate.

" Saya menyeru semua warga DUN Sura khususnya samada golongan muda atau dewasa, apa bangsa, agama dan fahaman politik supaya dapat sama-sama hadir mengikuti hujah-hujah berdasarkan fakta daripada para penceramah yang diundang, " demikian ujar Ustaz Haji Mohd Hanafiah.

Friday, February 17, 2012

Projek-projek Dijalankan Hanya Kerana Trans-For-Money ?

Benarkah populariti Datuk Seri Najib Abdul Razak kini lebih baik berbanding populariti Datuk Seri Anwar ibrahim pada masa ini?  Maksud "popular" di sini boleh jadi positif atau negatif.  
Seseorang yang didakwa terlibat dengan kes pembunuhan berprofil tinggi boleh juga menjadi begitu popular di kalangan rakyat yang tertipu di sebalik topeng seorang ahli politik yang berjaya menduduki kerusi nombor satu di sesebuah negara itu.  

Dan sebaliknya seorang pejuang rakyat yang sebenar boleh juga menjadi begitu popular apabila didakwa difitnah dan diaibkan sedemikian rupa kepada sekalian rakyat jelata apabila dituduh seorang peliwat atau kaki seks pelacur.

Jadi interpretasi "popular" boleh membawa makna yang positif atau negatif.  Namun ‘positif juga boleh dimanipulasikan menjadi negatif’, begitulah sebaliknya, ‘negatif juga boleh dimanipulasikan menjadi positif’.

Rakyat kini ternanti-nanti debat di antara Anwar dengan Najib.  Di zaman serba canggih dan telus ini di mana kredibiliti dan kebijaksanaan seseorang pemimpin itu dinilai daripada cara dia berfikir dan menyampaikan buah fikirannya, maka debat merupakan suatu cara paling tepat bagaimana kita boleh menilai cara pemikiran dua orang pemimpin itu tentang sesuatu dasar yang ingin mereka terajui di dalam sistem pentadbiran negara.

Dengan berdebat, rakyat dapat menilai secara adil dan saksama tahap pemikiran dua orang pemimpin besar sesebuah negara itu mengenai pandangan kedua-duanya tentang cara mentadbir sesebuah negara, serta menjawab pelbagai isu-isu berkaitan tuduhan yang saling dilemparkan di antara kedua-dua belah pihak.

baca artikel penuh...di sini.

Sunday, February 12, 2012

Rampasan Tanah SRIDB : Rakyat Tunggu Reaksi Kerajaan BN

DUNGUN - Seramai kira-kira 1500 orang telah menyertai bantahan aman rampasan tanah Sekolah Rendah Islam Darul Bayan (SRIDB) oleh Jawatankuasa Keselamatandan Kemajuan Kampung (JKKK) yang bermula di hadapan sekolah itu pada jam 12.30 tengahari, Ahad  12 Februari.

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita51/gambar%20demo%20sridb.jpg
Himpunan yang bermula dengan perarakan secara berjalan kaki sejauh kira-kira 1.5 kilometer, memakan masa selama 15 minit dan berakhir di hadapan Pejabat Khidmat Masyarakat ADUN Paka.

Selain disertai oleh para pelajar, ibu bapa serta simpatisan turut sama, sambil melaungkan slogan ‘hidup Islam’, ‘hancur kezaliman’ dan ‘kembalikan tanah sekolah kami’.

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita51/IMG_5236.jpgPenasihat SRIDB, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata, himpunan tersebut diadakan bagi mempertahankan hak anak-anak pelajar sekolah dan menunjukkan sikap tidak redha dengan kezaliman yang dilakukan.

“Bagaimana tanah yang  sedia ada untuk sekolah agama rakyat, milik orang Melayu, untuk agama Islam, sanggup dirampas (sedangkan) mereka berkata, merakalah pejuang agama, merekalah pejuang Melayu,

“tidak lain dan tidak bukan (tindakan itu) adalah kerana sifat zalim mereka,”ujarnya ketika berucap pada perhimpunan itu.

Menurutnya, tanah tersebut juga adalah hak anak-anak yatim kerana akan pihak pentadbiran akan membina sebuah rumah kebajikan untuk mereka.

Katanya, seekar tanah yang terdapat didalamnya dua unit rumah guru, sebuah kantin sekolah dan sebahagian tanah surau sekolah dirampas dan dibahagi-bahagikan kepada lima orang JKKK.

Beliau menegaskan pihak sekolah da orang ramai yang hadir akan mempertahankan setiap inci tanah yang dirampas.

“kita bagi pihak sekolah dan semua jamaah akan mempertahankan tanah sekolah dan tidak membiarkan kezaliman mereka,

“kita tidak akan membiarkan walau seinci tanah pun dirampas,”tegasnya.

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita51/IMG_5340.jpgMalangnya, hasrat mereka untuk menyerahkan memorandum bantahan kepada ADUN Paka Zakaria@ Ariffin  Abdullah tidak kesampaian kerana pejabatnya ditutup rapat dan berkunci.

ADUN Paka terbabit telah lari meninggalkan pejabatnya dan bersembunyi di sebuah Resort berhampiran.

Tinjauan yang dilakukan oleh skuad Buletin pada kira-kira jam 2.15 petang kenderaan rasmi Zakaria yang bernombor pendaftaran TBE 8998 telah diletakkan dihadapan Resort tersebut.

Zakaria didapati sedang duduk ‘bersantai’ di bahagian luar restoran Resort itu, bersama dua orang  yang lain.

Apabila beliau menyedari kehadiran pihak media, beliau yang pada mulanya menghadap ke dalam restoran, memalingkan badannya, seolah-olah mahu ‘menyusup’

Selang beberapa minit kemudian, beliau keluar dari Resort terbabit mengikut jalan belakang dan meninggalkan Resort dengan menaiki kenderaannya kira-kira jam 2.25 petang.

Sumber Resort memberitahu skuad Buletin, beliau berada di kawasan restoran Resort tersebut sejak jam 1 tengahari, sewaktu para peserta himpunan, membanjiri ruang hadapan pejabat khidmatnya.
 
 sumber : buletinonline.net

Saturday, February 11, 2012

Dia Seronok Membiarkan Dirinya Dilayan Dan Dijadikan Seumpama Dewa

Pada saat-saat umat Islam menyambut Maulidur Rasul memperingati hari keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, mereka dikejutkan dengan berita serta gambar Perdana Menteri menyambut Thaipusam di Batu Caves.

Sejarah perkembangan Islam di negara ini yang dibawa oleh Parameswara yang kemudiannya memeluk Islam dan menggunakan nama Muzaffar Shah, seolah-olah diterbalikkan oleh seorang pemimpin penganut Islam untuk kembali ke agama Hindu.

Melalui rakaman gambar-gambar yang tersebar, kelihatan seolah-olah pemimpin yang mengakui dirinya Islam ini sudah mengambil-alih peranan dewa agama Hindu. Bak kata SS Mufti Negeri Perak, Najib sudah menggadai akidah. (pautan di akhir artikel ini) ~~

Perayaan Thaipusam, sejak tiga tahun yang lalu telah diambil-alih oleh seorang pemimpin yang seronok membiarkan dirinya dilayan dan dijadikan seumpama dewa. Malah, lebih hebat daripada dewa yang disembah oleh penganut agama Hindu sendiri. Kita ikuti tulisan J. D. Lovrenclear yang menyentuh mengenai perayaan keagamaan masyarakat Hindu yang telah menjadi perayaan mendewakan pemimpin.

Perdana Menteri Malaysia dan isterinya difotografkan di mana mereka dikalungkan dengan kalungan bunga yang amat besar di Batu Caves semasa perayaan Thaipusam berlangsung.
Saiz kalaungan itu adalah antara isu yang telah menimbul seribu tanda tanya.

Kenapa pihak Kuil membiarkan ahli politik mengambil kesempatan ke atas perayaan yang sedang diadakan? Adakah kita begitu terdesak sehinggakan erti perayaan dan maknanya digunakan untuk tujuan politik semata-mata?

Jangan merendah-rendahkan Thaipusam
Pertama sekali, kenapa ada kalungan bunga yang besar dipakaikan kepada PM dan isteri seolah-olah merekalah yang sepatutnya diraikan. Bukankah tumpuan perayaan adalah untuk penganut-penganut menyembah tuhan sebagai tanda kesucian, keabdian dan penyerahan diri?
Bukankah prinsip dan makna Thaipusam sepatutnya diraikan dan dijadikan tumpuan?

Kalungan bunga sebesar itu sudah semestinya mahal dan memakan masa yang lama untuk disiapkan. Kenapa wang itu tidak digunakan sahaja untuk keperluan perayaan dan korban yang merupakan tujuan utama Thaipusam?

Adakah PM atau isteri beliau tidak mempunyai rasa rendah diri dan peka untuk menasihati pihak kuil yang cuba membodek ahli politik sekali gus menunjukkan kebodohan mereka dengan persembahan yang melibatkan kalungan gergasi itu?

Tiada rasa malu dan sensitif

Mengapa Perdana Menteri bercakap pula tentang 'nambikai' - tentang saling mempercayai di antara satu sama lain di tempat lelaki dan wanita berkumpul dari jauh dan dekat untuk melakukan penebusan dosa dan melakukan pemberian kepada dewa-dewa masing-masing?
Dan kenapa menggunakan Thaipusan untuk berpolitik dengan mengumumkan peruntukan berjuta-juta ringgit bagi pembinaan pusat baru di Batu Caves?Jika niat itu benar-benar ikhlas ia boleh diumumkan pada bila-bila masa atau hari lain dan bukankah ini akan memberi makna yang lebih positif?
Semua yang terus bersubahat, membiarkan sahaja dan menyokong penodaan perayaan keagamaan seperti Thaipusam dengan berpolitik secara kotor sepatutnya malu. Jangan cuba untuk menjustifikasikan perbuatan itu.
Apakah komen ahli politik India? Apa pula kata pemimpin agama Hindu?

Tuesday, February 7, 2012

PRU-13...Akhir Mei, Jun ?

parlimen
Mahfuz Omar
SHAH ALAM - Spekulasi terbaru Parlimen akan dibubarkan pertengahan bulan ini kemungkinan besar akan meleset kerana sidang sesi Mac-April dijadual akan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, 12 Mac ini.

Ahli-ahli Parlimen sudah menerima notis sidang Dewan Rakyat akan berlangsung selama sebulan mulai 12 Mac ini.


"Ya, kami sudah menerima makluman bahawa sidang Parlimen akan dirasmikan pada 12 Mac," kata Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong-penyokong Kerajaan BN (BNBBC), Datuk Bung Moktar Radin kepada Sinar Harian Online.


"Kami menerima notis minggu lepas. Ya, boleh dikatakan Parlimen tidak dibubarkan, tetapi bila tarikh pembubaran, hanya Perdana Menteri sahaja yang tahu," kata Ahli Parlimen Kinabatangan ini.


"Tidak mungkin, tidak mungkin akan dibubarkan ketika Parlimen sedang bersidang, (jika dibubarkan), ia akan menyusahkan semua pihak... saya rasa (tarikh pembubaran) masih jauh," kata beliau mengulas lanjut spekulasi terbaru bahawa Parlimen akan dibubarkan bulan ini bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan.


Perkara yang sama disahkan oleh Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar.


Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, mengambil kira perkara itu, tidak mungkin Parlimen akan dibubarkan dalam waktu terdekat.


"Kami, ahli-ahli Parlimen juga telah diminta mengemukakan senarai soalan lisan sebelum 17 Februari ini," katanya ketika dihubungi.


Meskipun kedua-dua wakil rakyat itu berkeyakinan bahawa Parlimen tidak akan dibubarkan sebelum April ini, tetapi ia bukan petanda muktamad tidak akan ada pembubaran sama sekali.


Parlimen pernah dibubarkan ketika masih bersidang pada tahun 1999.


Selepas sidang Dewan Rakyat selama sebulan bermula 12 Mac ini, Dewan Negara dijadual akan bersidang selama dua minggu.


Bung Moktar menambah, pada pandangan beliau tidak ada keperluan untuk membubarkan Parlimen buat masa sekarang.


"Saya tidak nampak ada keperluan untuk mengadakan pilihan raya sekarang, Datuk Seri Najib Razak ada banyak perkara yang hendak dilaksanakan, beliau perlukan masa," kata beliau lagi.


Ketika bercakap kepada pemberita di Kuala Terengganu Khamis lalu, Najib berkata, PRU13 boleh diadakan pada bila-bila masa asalkan tidak lewat daripada April tahun depan.


Mandat semasa akan berakhir April 2013.


Najib berkata, masa untuk mengadakan PRU13 bergantung kepada banyak factor, namun ia boleh diadakan pada bila-bila masa asalkan tidak lewat daripada April tahun depan.


“Buat masa ini, saya turun padang berjumpa rakyat, bukan sahaja saya tapi semua pemimpin kerana ini tanggungjawab sebagai pemimpin supaya rakyat tambah yakin kepada BN,” katanya mengulas desas-desus kononnya Parlimen akan dibubar minggu ini untuk memberi ruang kepada PRU13.


Mahfuz menambah, beliau yakin PRU13 tidak ada diadakan dalam waktu terdekat memandangkan ada beberapa isu semasa belum selesai sepenuhnya dan BN memerlukan masa untuk menyelesaikannya.


Katanya, ini termasuklah isu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) dan skim Sistem Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang sedang disemak semula.


"Manakala urusan pengagihan wang tunai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) hanya akan selesai pertengahan April, jadi saya fikir BN memerlukan masa yang sesuai untuk memanggil pilihan raya umum," katanya lagi.


Katanya, mengambil kira perkembangan ini, pihaknya meramalkan PRU13 paling cepat akhir Mei atau Jun.

Tukar Papan Tanda...Tukar Kerajaan...!

DUNGUN, 7 Februari Selasa -  Jalan Haji Zainal Abidin yang merentangi bandar Dungun di sini tidak akan siap kerana kontraktor pembinaannya dilaporkan telah ‘melarikan diri’ akibat wang kos pembinaannya telah habis.

Menurut  ADUN Sura, Ustaz Haji Wan Hassan Mohd Ramli, Jabatan Kerja Raya (JKR) terpaksa mengambil tugas kontraktor terbabit dan melakukan kerja-kerja pembinaan secara berdikit-dikit.

Oleh kerana jalan tersebut mengalami kerosakan yang teruk, beliau menyarankan supaya papan tanda yang diletakkan oleh JKR ‘Awas Jalan Rosak Di Hadapan’ ditukar kepada ‘Awas Jalan Hancur Di Hadapan’.

baca artikel penuh...di sini.



Saturday, February 4, 2012

Kumpulan Syamsul Haq al-Haqqani Adakan Persembahan Di DUN Sura, Dungun 7 Februari Selasa

DUNGUN, 5 Februari Ahad - Sempena Maulidur Rasul 1433H, Kumpulan Syamsul Haq al-Haqqani daripada Sungai Petani, Kedah akan mengadakan persembahan qasidah burdah di Tapak Pasar Malam Sura Gate, di sini.
"Kepada penggemar irama ini, khususnya di sekitar DUN Sura, jangan lepaskan peluang untuk mengikuti persembahan kumpulan ini, " demikian pelawa Haji Zakariah Yusoff, Ketua Lajnah Kebajikan & Kemasyarakatan MTD Sura yang turut mempunyai minat yang mendalam terhadap irama ini.

Persembahan ini akan diadakan pada 7 Februari, Selasa bermula jam 8.45 malam.

Friday, February 3, 2012

PRU-13 : Presiden PAS Akan Bertanding !

PAS Pusat sebulat suara menolak hasrat Presiden PAS Tuan Guru Abdul Hadi Awang untuk tidak dicalonkan dalam pilihan raya ke 13 samada di peringkat DUN atau Parlimen dan membuat keputusan bahawa beliau perlu bertanding di PRU13.  Keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat lujnah politik yang diadakan pada 2 Februari di Pejabat Agong PAS.  Tuan Guru Presiden turut akur dengan keputusan tersebut.

Dengan pengumuman ini, maka isu penarikan diri beliau tidak berbangkit kerana parti melihat beliau masih diperlukan bagi memimpin parti dan Pakatan Rakyat (PR) dalam menghadapi PRU ke-13.

PAS bersetuju dengan pandangan Mursyidul Am, bahawa perjuangan Islam tidak mempunyai tempoh masa bahkan sehingga akhir hayat.  Walaupun jawatan boleh bertukar ganti, namun PAS masih memerlukan Tuan Guru Presiden terus memimpin bahkan para pemimpin tertinggi PR juga telah mengeluarkan kenyataan meminta Presiden terus menerajui PR.

Kita yakin dengan karisma kepimpinan, wibawa dan kedudukan Hadi untuk memimpin parti.  Malah, dengan kepercayaan gerakan Islam Antarabangsa kepada beliau bagi menjadi pimpinan utama dalam menghadapi sebarang kemelut negara-negara Islam boleh dinobatkan sebagai pimpinan Muslim agong abad ini.

Hasrat beliau yang lahir dari sifat tawaduk dan akhlak Islam yang tinggi memperlihatkan bahawa dalam PAS, jawatan bukanlah perkara yang direbut, tetapi ianya adalah amanah.  Islam mengajar kita agar tidak meminta jawatan, tetapi di waktu yang sama kita tidak boleh melarikan diri bila mana jamaah mengharap dan memerlukan kita untuk terus memimpin.

*Kenyataan media oleh Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar kiri) selaku Ketua Penerangan PAS Pusat.

Thursday, February 2, 2012

PAS Mahu Hasilkan Manifesto PRU-13 Melalui Harapan Rakyat

Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa. - Gambar fail
KUALA LUMPUR, 1 Feb - PAS mengajak rakyat Malaysia untuk turut sama dalam penghasilan manifesto pilihan raya ke-13 parti Islam dengan memberi cadangan dan harapan sekiranya Pakatan Rakyat menerajui Putrajaya. 

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa berkata manifesto parti itu menekankan harapan rakyat Malaysia selepas Barisan Nasional (BN) gagal menjadi pemerintah yang baik.

"Kita akan membuat manifesto pilihan raya umum daripada cadangan yang menjadi harapan rakyat kepada PAS dan Pakatan Rakyat.

"Cadangan ini boleh dihantar kepada saya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), emel, Facebook atau Harakahdaily. Kita lakukan ini dengan harapan kita dapat tahu hasrat rakyat dan apa yang mereka mahukan dalam sesebuah kerajaan selepas pelbagai keadaan yang kurang di bawah BN," katanya yang merupakan pengerusi jawatankuasa manifesto pilihan raya PAS.

Beliau menambah cadangan-cadangan yang sesuai akan dimasukkan ke dalam manifesto sebagai penhargaan kepada rakyat.

Husam berkata cadangan itu dibuka kepada semua rakyat Malaysia dan boleh di hantar pada bila-bila masa.

"Saya menjangkakan pilihan raya tidak akan diadakan dalam tempoh terdekat...ia boleh dihantar," katanya.

Pakatan Rakyat sebelum ini mengumumkan "Tawaran Jingga" iaitu tawaran manifesto Pakatan Rakyat yang menekankan dasar-dasar bersama tiga parti komponen.

Manifesto itu menggabungkan Rangka Kerja Bersama dan Buku Jingga Pakatan Rakyat, yang mengandungi janji parti perikatan yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari selepas menawan Putrajaya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak masih merahsiakan tarikh pilihan raya umum ke-13 namun BN dan Pakatan Rakyat telah menggerakkan jentera masing-masing sebagai persediaan.

Mandat semasa kerajaan pusat hanya akan berakhir April 2013.

Related Posts with Thumbnails

YB ADUN Sura Untuk Semua

 

Arkib Laman

Blog YB ADUN Sura © 2008 | Ripped by SamarQondy | Coordinated by Team IT DUN Sura