Thursday, March 27, 2014

Ziarah MOSWA di Cawangan Bukit Chatak 2

DUNGUN, 27 Mac 2014 - Sepertimana kelaziman, apabila menerima berita musibah yang menimpa rakyat di kawasanbya, ADUN Sura, Y.B. Haji Wan Hapandi Wan Nik akan memperuntukkan masa untuk meninjau sendiri permasalahan yang membelenggu kehidupan rakyat. 

Petang semalam, 26 Mac 2014, Rabu di cawangan Bukit Chatak 2 dengan diiringi oleh Setiausaha PAS Cawangan, Encik Mohammad Said, Ketua Pemuda, Encik Mohd Nafizal Nafis dan Ketua Muslimat, Puan Rohaizah Ithnin, seramai lima orang penduduk di kawasan tersebut menerima kunjungan ziarah ADUN Sura.

Mereka ialah Ali Mamat, 61, pesara Pejabat Perkhidmatan Veterinar, yang diserang angin ahmar, Abu Hassan Omar, 76, hilang tenaga, belum mengenalpasti penyakit yang dialami, Zauyah Deraman, 54, guru Tadika Perpaduan Bukit Chatak, yang mengalami patah kaki, Norlini Awang, 41 dari kalangan ibu tunggal yang miskin dan Kelesom Mohd Dom, 74, yang keuzuran kerana faktor umur.
"Terima kasih Y.B. dan rombongan yang datang jenguk kami, ada juga yang sudi bertanya khabar hal kami" ujar Norlini Awang yang melahirkan rasa terharu di atas kunjungan tersebut.
Hadir sama mengiringi ADUN Sura ialah isteri beliau, Puan Hajjah Roslina Harun, Naib Ketua Pemuda Cawangan, Jamaluddin Rosli, Naib Ketua Muslimat, Puan Sara Muda dan Setiausaha Muslimat, Tengku Azizah Engku Abdul Aziz.

Tuesday, March 25, 2014

Selamat Menyambut Hari Polis Ke-207 Daripada ADUN Sura

DUNGUN, 25 Mac 2014 - "Selamat menyambut Hari Polis ke-207 kepada seluruh warga polis, dengan sambutan ulangtahun ini diharap pihak keselamatan khususnya polis dapat mempamirkan komitmen profesional tugasan tanpa dibayangi tangan-tangan yang cuba untuk mencabuli undang-undang di sebalik topeng kuasa", ucapan sempena Hari Polis oleh ADUN Sura, Y.B. Haji Wan Hapandi Wan Nik.
Sementara itu, siang tadi, ADUN Sura, Y.B. Haji Wan Hapandi Wan Nik menyampaikan sumbangan kek kepada warga polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun sebagai simbolik penghargaan di atas komitmen tugas yang telah dijalankan dalam mengawal keselamatan penduduk khususnya di DUN Sura dan di daerah Dungun amnya.

Sunday, March 23, 2014

ADUN Sura Rakamkan Takziah Di Atas Pemergian Guru PASTI

DUNGUN, 23 Mac 2014 - ADUN Sura, Y.B. Haji Wan Hapandi Wan Nik serta seluruh warga kerja DUN Sura, Pemuda, Muslimat dan Ameerah merakamkan ucapan takziah kepada Ahli Jawatankuasa Keselamatan DUN Sura, Encik Anuar Wan Yahya, 53, di atas pemergian isteri beliau, Puan Rogayah Ahmad, 51, seorang guru PASTI yang dedikasi yang menyumbangkan khidmat akhirnya di PASTI Sura Tengah, di sini.

"Saya mewakili seluruh kepimpinan, ahli dan penyokong khususnya di DUN Sura dan kawasan Dungun amnya, mengucapkan takziah kepada keluarga Encik Anuar Wan Yahya di atas pemergian isteri beliau, semoga roh beliau ditempatkan di kalangan para solihin serta dikurniakan kesabaran dan ketabahan yang tinggi kepada keluarga beliau", ujar beliau merangkap Pengerusi DUN Sura dan Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Kawasan Dungun.

Jenazah dibawa pulang dari Hospital Sultanah Nur Zahirah ke rumah ibunya di Kampung Molek dan disembahyangkan di Surau Kubur Kampung Molek. 
 Sebelum itu, Ahli Parlimen Dungun, Y.B. Ustaz Haji Wan Hassan Mohd Ramli, turut menziarahi jenazah di rumah ibunya di Kampung Molek.
 
Solat jenazah diimamkan oleh Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) merangkap ADUN Paka, Y.B. Ustaz Haji Satiful Bahri Mamat, disertai sama oleh ADUN Sura, Y.B. Haji Wan Hapandi Wan Nik, ADUN Rantau Abang, Y.B. Haji Alias Harun, Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Dungun, Ustaz Sheikh Muhammad Hanafi Abd Aziz dan Pengerusi PASTI Kawasan Dungun, Khairul Ismail. 
 
ADUN Sura menyempurnakan bacaan talqin sebaik selesai pengkebumian di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahya, di sini.

Saturday, March 22, 2014

Pelbagaikan Qaedah Dekati Masyarakat - ADUN Sura

DUNGUN, 22 Mac 2014 - Program Rawatan Darus Syifa' yang julung kalinya dianjurkan di UPU Mukim Sura Utara, di sini, berjaya menarik kehadiran masyarakat setempat.
ADUN Sura, Y.B. Haji Wan Hapandi Wan Nik dalam ucapan ringkas semasa sesi perasmian menyeru supaya dipelbagaikan qaedah serta cara untuk mendekati masyarakat.
"Dalam usaha kita untuk mengajak masyarakat bersama-sama dengan kita, hendaklah difikirkan qaedah-qaedah yang boleh menyentuh hal kehidupan semasa masyarakat secara umum", 

"Pada hari ini, kita mencuba melalui qaedah perubatan Islam dengan penglibatan daripada tenaga perawat daripada Darul Syifa', diharap dengan usaha ini dapat melebarkan hubungan serta silaturrahim dengan penduduk sekitar", di antara petikan ucapan ringkas perasmian ADUN Sura sebelum majlis bermula pagi tadi.

Majlis anjuran bersama Majlis Tindakan DUN Sura bersama PAS Cawangan Bunga Raya dan PAS Cawangan Sura Utara itu mensasarkan penduduk sekitar UPU Mukim Sura Utara yang berada di bawah kendalian dua cawangan berkenaan.

Menurut Setiausaha PAS Cawangan Bunga Raya, Haji Che Razlan Omar, program rawatan yang bermula jam 9.00 pagi dan berakhir sekitar jam 2.00 petang itu, mendapat kerjasama daripada lima orang tenaga perawat Darul Syifa' yang berpusat di Dungun.
"Alhamdulillah, dengan bantuan tenaga perawat Darul Syifa' seramai lima orang, kita berjaya menyempunakan rawatan kepada lebih 50 orang peserta, sebahagian besar yang hadir mendapatkan rawatan adalah terdiri daripada penduduk sekitar unit peti undi di bawah seliaan kami", ujar beliau yang melahirkan kesyukuran di atas kejayaan program yang julung kali diadakan di Surau Hajjah Aishah, Jalan Kenanga, Sura Jeti, dalam kawasan unit peti undi berkenaan. 
Related Posts with Thumbnails

YB ADUN Sura Untuk Semua

 

Arkib Laman

Blog YB ADUN Sura © 2008 | Ripped by SamarQondy | Coordinated by Team IT DUN Sura