Wednesday, July 20, 2011

Ceramah Chegu Bard Di Dungun 22 Julai

DUNGUN 20 Julai, Rabu - Che'gu Bard akan bergandingan bersama Ustaz Haji Azman Shapawi Abdul Rani dan Ustaz Ariffin Deraman dalam satu siri penerangan "Ceramah Kebangkitan Rakyat", anjuran Lajnah Penerangan DUN Sura dengan kerjasama PAS Cawangan Alor Tembesu/Sura Gate.

Ceramah yang akan berlangsung pada 22 Julai, hari Jumaat itu dijangka akan terus mendapat sambutan daripada orang ramai selepas Ceramah Perdana Pasca Bersih yang telah diadakan di Rusila minggu lepas.

" Walaupun para penceramah yang diundang bukan dari kalangan pimpinan PAS Pusat, kami yakin mood rakyat untuk mengetahui isu-isu semasa khususnya yang berkisar tentang himpunan Bersih 2.0 baru-baru ini masih tinggi, " demikian keyakinan Ketua Lajnah Penerangan DUN Sura, Encik Mohd Yusof Ismail.

" Justeru, saya mengajak warga DUN Sura khususnya dan sekitarnya hadir beramai-ramai mendengar penjelasan isu semasa di peringkat nasional dan tempatan, " ujarnya lagi.

Thursday, July 14, 2011

BERSIH 2.0 : Catatan Seorang Peserta Cina...Saya Rasa Selamat Bersama Orang PAS !

Seorang pakcik yang berkopiah menuju ke arah saya, "Di manakah stadium?" Saya menuding jari ke depan. Lantas beliau berjalan ke arah sana, tanpa sebarang keraguan. Saya merasakan diri saya amat tidak berguna pada ketika itu. Mengapa tidak saya bertindak sebagaimana pakcik itu? Berarak adalah hak kita. Mengapa pula saya takut? Saya tetap berdiri di situ, menyaksikan bagaimana orang tua itu dihalang polis, dan kemudian beliau terus berjalan ke depan.

Kemudian saya berjalan, dan terserempak dengan seorang polis muda. Beliau bertanya untuk apa saya berada di situ, saya sekadar jawab, tak ada, cuma jalan-jalan. Beliau menunjuk ke arah Jalan Sultan, mengarahkan saya beredar dari situ, atau saya akan ditangkap. Saya tahu beliau cuba menakutkan saya. Masih awal lagi, saya tidak mahu timbul hal, maka saya pun beredar.

Saya nampak sekumpulan orang di kedai KL Commercial Book Co., semacam orang PAS, maka saya berjalan menuju ke arah mereka. Pada hakikatnya, saya amat yakin dengan mereka. Saya rasa diri saya berselindung di dalam kelompok mereka pada ketika itu. Ya, saya rasa sangat selamat.

Pada kira-kira jam 12.20 tengah hari, kelompok di sini hanya kira-kira 20 orang. Tiba-tiba kami dengar jeritan orang, dan kami bergegas ke situ dan mendapati kira-kira 2,000 orang. Mereka muncul entah dari mana, sungguh ajaib! Tapi kami masih menganggap bilangan ini terlalu sedikit!

Pada kira-kira jam 12.30 tengah hari, saya tak berapa ingat lagi. Kami nampak sekumpulan manusia menuju ke arah kami melalui Jalan Sultan, sambil melaungkan slogan. Bilangan mereka terlalu ramai berbanding kami. Ramai orang tua yang bertanya, PERKASA? Pemuda UMNO? Kami berdiri di situ dan memandang, gagal mendengar apakah yang dilaungkan.

Tiba-tiba, ada yang bertepuk tangan, berkata "Tengok, Cina ada, India ada, bukan PERKASA, bukan Pemuda UMNO, orang kita!" Kami bertepuk dengan gemuruh, berarak ke arah mereka untuk berkumpul bersama. Kami seolah-olah dapat membentuk pasukan kami, dan tidak lagi keseorangan atau kesepian.

baca artikel penuh...di sini.

Wednesday, July 6, 2011

Bersih 2.0 Tidak Berganjak Untuk Berhimpun Di Stadium Merdeka !

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) meluahkan kekecewaanya terhadap keputusan Perdana Menteri Najib Razak dan kabinetnya yang "mungkir janji" untuk menyediakan stadium kepada pihaknya sebagai gelanggang mengadakan perhimpunan aman.

"Kami telah memilih Stadium Merdeka sebagai tempat terbaik untuk acara ini kerana ia amat simbolik dan berlokasi pusat, dan kami akan tetap berdiri teguh kepada keputusan kami untuk berhimpun secara aman di sana." Demikianlah penegasan BERSIH 2.0 dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada kira-kira jam 11, malam tadi.

Malah BERSIH 2.0 berkata, "Jika Perdana Menteri seorang yang jujur, beliau sepatutnya membuat persediaan yang sesuai supaya perhimpunan ini berjalan secara aman di Stadium Merdeka."

Pengerusi BERSIH 2.0 Ambiga Sreenevasan telah berganjak langkah untuk bersetuju agar perhimpunan aman BERSIH 2.0 diadakan dalam stadium, setelah mengadap DYMM Yang di-Pertuan Agong pada petang 5 Julai. Keputusan ini selari dengan cadangan yang diulangi Najib Razak, agar BERSIH 2.0 mengadakan perhimpunan di dalam stadium.

Bagaimanapun, setelah BERSIH 2.0 berkompromi, penangkapan dan pendakwaan ke atas aktivis BERSIH 2.0 tetap berlaku, malah Kementerian Dalam Negeri dan polis tetap menganggap BERSIH 2.0 sebagai pertubuhan haram. Tiada jaminan bahawa permit perhimpunan akan diberikan, seandainya BERSIH 2.0 memohonnya. Malah, Menteri Penerangan Rais Yatim menggunakan alasan bahawa BERSIH adalah sebuah pertubuhan haram, maka tidak harus dibenarkan untuk menggunakan stadium di sekitar Kuala Lumpur, termasuk Stadium Negara, Stadium Merdeka mahupun Stadium Bukit Jalil.

Najib Razak pula, yang sebelum ini membuat kenyataan bahawa kerajaan akan bertemu dengan wakil BERSIH; kini mendakwa kenyataan tersebut tidak bermakna beliau sendiri akan berjumpa dengan wakil BERSIH.

Yang berikut adalah kenyataan BERSIH 2.0: BERSIH 2.0 kecewa dengan tindakan Perdana Menteri dan Kabinetnya yang mungkir janji untuk sediakan stadium bagi kami untuk mengadakan perhimpunan aman.

Sebagai anggota masyarakat sivil yang komited kepada prinsip-prinsip integriti, kami berhasrat untuk mematuhi nasihat Tuanku DYMM SPB YDP Agong dan mengadakan perhimpunan dalam stadium bagi membuat tuntutan kami untuk pilihanraya yang bersih dan adil.

Kami telah memilih Stadium Merdeka sebagai tempat terbaik untuk acara ini kerana ia amat simbolik dan berlokasi pusat, dan kami akan tetap berdiri teguh kepada keputusan kami untuk berhimpun secara aman di sana.

Jika Perdana Menteri seorang yang jujur, beliau sepatutnya membuat persediaan yang sesuai supaya perhimpunan ini berjalan secara aman di Stadium Merdeka.

Sama ada kerajaan mematuhi prinsip-prinsip mereka, kami rakyat Malaysia akan sentiasa mematuhi prinsip-prinsip kami. Keazaman kami untuk melaksanakan hak kami untuk berhimpun secara aman bagi tujuan yang adil dan munasabah tidak akan tergoncang sama sekali.

Kenyataan baru-baru ini oleh Timbalan Ketua Polis Negara seolah-olah menunjukkan bahawa polis berhasrat untuk mengambil tindakan terhadap kami sekiranya kami berbuat apa-apa pada 9 Julai selain duduk di rumah.

Walau bagaimanapun, rakyat Malaysia patriotik yang hanya inginkan keupayaan memilih pemimpin-pemimpin kita melalui cara demokratik dan halal tidak akan ditakuti oleh pelaksanaan kuasa yang zalim dan tidak bermoral. Tanggungjawab kita yang paling penting adalah untuk masa depan dan anak-anak kita, dan kami berhasrat untuk pastikan mereka mewarisi negara yang bukan diperintah oleh ketakutan, tetapi oleh prinsip-prinsip keadilan.

Apapun yang berlaku antara sekarang dan 9 Julai, rakyat akan berhimpun secara aman dan teratur untuk menuntut pilihanraya yang bersih dan adil di Stadium Merdeka pada 9 Julai, pukul 2 petang. Kami akan datang, berhimpun secara aman dan bersama-sama kita akan membina Malaysia yang lebih baik.

Yang benar,

Jawatankuasa Induk
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0)

Jawatankuasa Induk BERSIH 2.0 terdiri daripada:
Ambiga Sreenevasan (Pengerusi), Andrew Khoo, Prakkash Arul, K. Arumugam, Farouk Musa, Haris Ibrahim, Liau Kok Fah, Maria Chin Abdullah, Richard YW Yeoh, Subramaniam Pillay, Toh Kin Woon, Wong Chin Huat, Yeo Yang Poh dan Zaid Kamaruddin.

sumber : merdekareview.com

Related Posts with Thumbnails

YB ADUN Sura Untuk Semua

 

Arkib Laman

Blog YB ADUN Sura © 2008 | Ripped by SamarQondy | Coordinated by Team IT DUN Sura