Friday, February 20, 2009

Siapa Lagi Mangsa Serangan Hendap Najib ?

Ahmad Lutfi Othman
Fri | Feb 20, 09 | 2:24:09 am MYT

Belum pun Dato' Seri Najib Razak secara rasmi mengambil alih teraju pemerintahan negara daripada Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, pelbagai tragedi politik berlaku dalam tempoh yang cukup singkat. Semasa berucap di kediaman rasmi Menteri Besar Perak baru-baru ini, Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang mengingatkan 30,000 orang yang hadir, merujuk terus kepada Najib: "Belum dapat kuasa sudah tunjuk jahat, hancur negara nanti kalau jadi PM."

Mengenali Ustaz Abdul Hadi, bukan mudah untuk beliau meluahkan "amarahnya" jika tiada sebab kuat untuk berbuat demikian. Najib dikaitkan dengan peristiwa "rampasan kuasa" di Perak sehingga meletakkan negeri itu dalam krisis perlembagaan yang turut mencederakan imej Sultan Azlan Shah. Beberapa percubaan untuk "membeli" beberapa Adun KeADILan di Kedah juga dikaitkan dengan Najib. Tidak pasti sama ada episod malang yang menimpa Adun Bukit Lanjan, yang juga anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor, Elizabeth Wong, trutut akan dikaitkan dengan "tangan-tangan ghaib" Najib.

Beban yang diheret Najib menuju Seri Perdana memang berat. Bagasi sejarahnya yang belum pun panjang itu sudah cukup untuk melukakannya. Mungkin beliau dilihat mempunyai personaliti politik yang lebih kuat berbanding Abdullah, namun persepsi umum terhadapnya begitu buruk. Kehilangan tiga Adun Pakatan Rakyat dan seorang Adun Umno yang berhijrah sebentar menyertai KeADILan, Imagesehingga "tumbangnya" kerajaan negeri pimpinan Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin, tidak dapat dipisahkan dengan faktor Najib. Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam majlis ceramah yang sama dengan Ustaz Abdul Hadi menyifatkan Najib sebagai "suka melarikan suami orang" dan bertanggungjawab "mengghaibkan beberapa orang yang lain".

Ramai menjangkakan, sebaik sahaja Najib berkuasa penuh Mac ini, Malaysia bakal menyaksikan lebih banyak insiden politik yang mungkin jauh lebih tragis. Penyebaran gambar separuh bogel Elizabeth - yang dirakam secara curi semasa tidur di rumahnya sendiri - mungkin amaran awal bahawa setiap pimpinan Pakatan Rakyat bakal menjadi sasaran serangan hendap kumpulan "penembak tepat" Najib. Eli menyedari bahawa target sebenar adalah partinya sendiri, yang dipimpin Anwar, tokoh yang dilihat sudah "berkerat rotan" dengan Najib.

Justeru, tindakannya menawar diri meletakkan jawatan wajar dipuji. Beliau tidak mahu masalah peribadinya mengheret parti dan kerajaan Selangor ke dalam gelanggang musuh.

Dalam satu kenyataan kemudiannya, Eli menegaskan: "Negara kini sedang berdepan dengan krisis ekonomi yang serius. Kadar pengangguran semakin meningkat, manakala rasuah masih berleluasa. Saya berharap perbincangan umum hendaklah tertumpu kepada isu-isu penting ini, dan bukannya menganalisis kehidupan peribadi saya."

Kes Eli, seorang wanita yang belum berkahwin, jauh berbeza dengan Chua Soi Lek atau VP Vijandran walaupun masih berlaku perdebatan tentang batas-batas kehidupan privasi seseorang tokoh masyarakat. Ada pihak mahu penjelasan mengenai isu-isu moral antara seorang Muslim dengan bukan Muslim, apatah lagi gambar Eli itu diambil di dalam rumahnya. Polis masih Imagemenyiasat siapa dalang penyebaran gambarnya dan kita masih menunggu keputusan pimpinan KeADILan terhadap tawaran Eli untuk meletakkan jawatan.

Sehari dua ini kita dapat melihat sandiwara politik pihak tertentu yang tiba-tiba sahaja menjuarai isu moral dan agama selepas sibuk dengan isu derhaka kepada raja. Anwar awal-awal lagi melontarkan soalan: "Apakah benar isu akhlak dan moral utama buat mereka? Jika benar, bagaimana mungkin dilenyapkan bukti berkaitan kes pembunuhan, dipadamkan lapuran siasatan awal dakwaan kes Port Dickson, dilesapkan wang ribuan juta habuan istimewa dari pembelian peralatan senjata?"

Seorang pembaca dengan nada marah menelefon saya: "Sampai bila kita harus menjawab tuduhan musuh, bila pula Harakah nak menyerang? Bukannya kita tidak ada isu, melambak!" Saya tergamam seketika. Memang agak ramai yang mendesak Harakah lebih agresif menyerang Najib dan Umno-BN supaya Pakatan Rakyat tidak lagi berada dalam kedudukan defensif. Saya tidak dapat mengulas panjang selain meminta mereka bersabar: "Sampai masanya nanti posisi itu akan bertukar, tunggulah ...."

Dalam pada itu, kolumnis Harakah yang hanya mahu dikenali sebagai Banteng Hijau mengirim SMS kepada saya, di kala hening malam Rabu lalu: "Mungkinkah Pakatan, khususnya KeADILan, kini disusupi agen Najib?" Tanpa mengambil masa lama untuk menjawab, saya membalas: "Tanda-tandanya ada, Najib mahu malukan Anwar sebelum masa terlambat. Tapi PAS pun taklah kebal mana. SB juga banyak menyusup ke pejabat PAS."

(Bagaimanapun, saya tertarik dengan tulisan Toh Kin Woon, dalam The Edge. "Mungkin kita tidak bersetuju dengan ideologi PAS, tapi kita perlu tahu bahawa semua mereka yang menyertai PAS komited untuk memperjuangkan matlamat parti tersebut," katanya. Hal ini, tulis Toh Kin Woon, dapat menjelaskan mengapa kerajaan PAS mampu bertahan di Kelantan biarpun dengan kemenangan tipis mengatasi Barisan Nasional, yakni dengan majoriti satu kerusi dari 2004 hingga 2008. "Saya yakin terdapat usaha untuk membuatkan beberapa orang Adunnya untuk melompat parti tetapi tidak seorang pun didapati termakan umpan tersebut," sambungnya.)

Banteng Hijau kemudiannya menulis tentang penyusupan yang berjaya melemahkan Parti Komunis Malaya (PKM), melalui Setiausaha Agungnya sendiri, Loi Tek. Beliau berketurunan Vietnam yang menjadi agen British dan Jepun sekali gus, dan berjaya mengkhianati aktivis komunis dalam PKM hinggakan parti itu kehilangan pemimpin berkaliber akibat dibunuh British dan Jepun sebelum dan semasa Perang Dunia II.

Saya difahamkan "skuad penembak tepat" bagi menghancurkan keutuhan Pakatan Rakyat bukan sahaja dianggotai ahli dan pimpinan Umno, malah mendapat kerjasama sepenuhnya pegawai kanan kerajaan, khususnya di negeri-negeri yang mana BN kalah dalam pilihan raya umum lalu. Dan mereka dibayar upah lumayan.

Malah beberapa agensi kerajaan persekutuan, misalnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, difahamkan telah menempatkan anggotanya di pejabat-pejabat kerajaan negeri yang strategik dalam usaha membabitkan pimpinan kerajaan negeri berkenaan dengan amalan rasuah dan salah guna kuasa. Satu bukti nyata SPRM terus diperalatkan Umno-BN.

Situasi sulit ini memang nampak merimaskan, namun sekiranya Pakatan dapat meloloskan diri dari perangkap Najib dan Umno-BN itu, pertarungan seterusnya belum pasti memihak siapa. Kemelut dan krisis perlembagaan di Perak misalnya tidak mudah untuk dijangka nokhtah akhirnya. Isu derhaka raja yang sengaja digembar-gemburkan media agak senang untuk "dikepak" kerana rakaman Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri begitu jelas.

Satu lagi perkembangan menarik mencelah. Tindakan Speaker Dun Perak, Sivakumar yang menggantung serta-merta Menteri Besar "haram" Perak, Dr Zambry Abdul Kadir dan melarangnya daripada menghadiri sesi Dun Perak selama 18 bulan manakala enam Exco Perak yang lain digantung selama 12 bulan daripada menghadiri sesi Dun tentu mempunyai implikasi politik dan undang-undang yang luar biasa.

Ini semua makin meletakkan Dun Perak pada kedudukan yang lebih hampir dengan pembubaran, sesuatu yang ditunggu-tunggu rakyat tetapi "lambat" dikabulkan Tuanku Sultan. _

sumber : Harakahdaily

0 komen:

Related Posts with Thumbnails

YB ADUN Sura Untuk Semua

 

Arkib Laman

Blog YB ADUN Sura © 2008 | Ripped by SamarQondy | Coordinated by Team IT DUN Sura