Monday, February 16, 2009

RM830 ribu Tabung Gaza Harakah, serah pada Hamas

Azamin Amin
Tue | Feb 17, 09 | 12:14:16 am MYT

KUALA LUMPUR, 17 Feb (Hrkh) - Kesemua kutipan derma kepada Tabung Kemanusiaan Harakah yang berjumlah RM830,000.00 telah diserahkan secara tunai kepada pemimpin Hamas Sami Abu Zuhri yang berangkat pulang ke Palestin dua hari lalu.

Walaupun kesemua kutipan telah diserahkan, namun derma dan sumbangan dana orang ramai masih dialu-alukan dan boleh disalurkan terus kepada Tabung yang mana akan disumbangkan kepada penduduk Palestin khususnya di Gaza dan kepada perjuangan Hamas di masa akan datang.

Timbalan Mursyidul Am PAS Dato' Haron Din ketika ditemui Harakahdaily di kediamannya semalam memberitahu sambutan amat menggalakkan daripada orang ramai telah diterima dan ada antaranya yang datang sendiri kepada beliau menyumbangkan derma.

"Ada yang datang kepada saya serah RM10,000 malah saya ada baca seorang hamba Allah menderma RM250,000 tanpa mahu namanya disebut. Alhamdullilah kita alu-alukan dan merayu supaya orang ramai terus membantu rakyat Palestin," katanya yang turut mnulis catatan khas rayuan Gaza di Harakah keluaran lalu.

Hamas sebelum ini merakamkan ucapan terima kasih kepada Harakah yang menjadi penganjur Tabung Kemanusiaan Harakah yang telah secara simboliknya menyerahkan cek replika berjumlah RM500,000 dalam satu Majlis Rayuan Gaza yang dianjurkan 12 Februari lalu oleh Harakah.

Turut Hadir dalam Majlis tersebut ialah Naib Presiden PAS Ustaz Ahmad Awang, Pengerusi Harakah, Dato' Mustafa Ali, Pengarah Urusan Harakah Dato' Kamaruddin Jaffar, Ketua Muslimat PAS Ustazah Nuridah Salleh, Ahli Parlimen PAS Dr Hatta Ramli dan Dr Lo' Lo' Ghazali.

Sebelum itu, Sami dalam ucaptamanya memberitahu bahawa sebenarnya Hamas telah menang dalam peperangan itu apabila secara tidak langsung memaksa Israel mengadakan gencatan senjata dan cuba untuk mengadakan rundingan bersyarat yang sama sekali tidak akan diterima oleh Hamas.

"Kami menolak sebarang syarat dan perjuangan kami akan terus menentang kekejaman Israel sehingga Israel keluar dari bumi Anbia, Palestin.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada Harakah yang menjadi penganjur majlis dan tabung ini dan kami terharu dengan sokongan yang diberikan oleh seluruh rakyat Malaysia termasuk yang bukan Islam yang telah meyumbangkan dana dan membantu meringan penderitaan penduduk Palestin.

"Semoga Allah menerima jasa baik sumbangan anda ," katanya dalam bahasa Arab yang diterjemahkan semula oleh warga kerja Harakah Ustaz Zainuddin Hashim.

Sami Abu Zuhri merupakan jurucakap rasmi Hamas yang juga merupakan seorang pensyarah daripada Universiti Islam Palestin yang sedang menyiapkan tesisnya di Damsyik dalam pengajian sejarah Pejuang Salahuddin Al-Ayubi. Bagaimanapun Universiti tersebut telah musnah diserang dan dibom oleh Israel.

Beliau yang berucap di hadapan para wartawan daripada pelbagai media, menyeru supaya rakyat Malaysia tidak 'tersalah' menyumbang derma kepada pihak-pihak atau agensi yang tidak betul kerana khuatir sumbangan itu tidak sampai kepada penduduk Palestin.

"Kami seru supaya serahkan dana kepada agensi yang beramanah dan bertanggungjawab atau anda datang terus ke Gaza, untuk sampaikan sendiri kepada penduduk di sana," katanya. -azm

(Hulurkan sumbangan,demi insan-insan yang sedang dizalimi di Palestin melalui Tabung Kemanusiaan Harakah di akaun BIMB: 14069010021298)_

sumber : Harakahdaily

0 komen:

Related Posts with Thumbnails

YB ADUN Sura Untuk Semua

 

Arkib Laman

Blog YB ADUN Sura © 2008 | Ripped by SamarQondy | Coordinated by Team IT DUN Sura