Saturday, February 28, 2009

Anak Muda Kena Guna 'Bahasa Undi' - Pak Samad





Written by Wan Kay
Saturday, 28 February 2009 12:13
http://buletinonline.net/images/berita/A%20Samad%20Said%20063.jpgDungun Rakyat disaran menggunakan ‘bahasa undi’ untuk mengajar pimpinan Melayu yang bakal ‘membunuh’ bahasa ibundanya (Melayu) sendiri demi menyelamat bangsa dan bahasa dari kepupusan.

Sasterawan Negara, Dato’ A Samad Said, 76, berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penerangan Isu Pengajaran Pembelajaran Sains & Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) di perkarangan Surau Tuan Guru Zainal Abidin, Sura Gate, Dungun, kelmarin.

Katanya, pemimpin Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) hanya boleh diajar dengan kuasa undi dalam pilihan raya.

“Saya menyarankan jika kita (rakyat) sayangkan bahasa kita. Jika mahu bahasa (Melayu) kita dilanjutkan dan dilestarikan. Gunakanlah undi anda (kita), gunakan undi anda.

“Sebab, pemimpin-pemimpin jenis ini hanya tahu ‘bahasa undi’ (pilihan raya). Dia (pemimpin Umno) tidak tahu bahasa Melayu,” tegasnya.

Menurutnya, Umno-BN memperkecilkan golongan muda yang bakal menentukan masa depan negara ini.

Oleh itu, kata beliau golongan muda wajar menggunakan kuasa mengundi (pilihan raya) bagi menentukan pemimpin dan masa depan negara ini.

“Dia (Umno) selalu memperkecilkan ‘angkatan’ (generasi) muda. Angkatan tua biasanya sudah bersikap jika dia Umno tetap akan Umno, jika syahdunya PAS dia akan tetap dengan PAS.

“Kuasa imbangan yang terbesar sekarang adalah ditangan anak-anak muda dan janganlah lupa menggunakan kuasa (pilihan raya) itu untuk menentukan masa depan bangsa dan bahasa,” ujarnya.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan ‘Pak Samad’ mendakwa pemimpin Negara ini telah melakukan satu ‘jenayah’ kerana melanggar Akta Pendidikan dan Perlembagaan.

Katanya, kemajuan yang mahu dinikmati oleh rakyat dan negara ini bukan dengan cara ‘membunuh’ bahasa dan bangsa sendiri.

“Kenapakah pemimpin (Umno-BN) kita telah melakukan satu jenayah dengan melanggar Akta Pendidikan dan melanggar Perlembagaan yang mensucikan bahasanya.

“Sekarang tahun 2009, perlanggaran itu berterusan. Apakah orang seperti saya yang membantah PPSMI kerana tidak mahu kemajuan.

“Saya telah berusia 76 tahun dan saya telah menulis sepanjang lebih 50 tahun dan menghasilkan 65 buah buku khazanah untuk bangsa saya.

Katanya, permasalahan isu PPSMI berlarutan sejak enam tahun lalu kerana negara ditadbir oleh pemimpin yang hanya berfikir lima tahun ke hadapan dan bukan 50 tahun ke hadapan.

“Kita (Melayu) sudah kepupusan huruf (jawi) dan kita sudah hilang Utusan Melayu oleh kerana kepupusan huruf.

“Kita (Melayu) hilang kitab-kitab jawi dan tidak lama lagi dalam lima dekad kita akan hilang bahasa kita (Melayu) sendiri,” jelasnya.

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Hj Abu Bakar Chik, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sura, Ustaz Hj Wan Hassan Mohd Ramli dan Timbalan Pengarah Jawatankuasa Pelaksana Gerakan Memansuhkan PPSMI, Suhaizan Kaiat.

sumber : Buletinonline

0 komen:

Related Posts with Thumbnails

YB ADUN Sura Untuk Semua

 

Arkib Laman

Blog YB ADUN Sura © 2008 | Ripped by SamarQondy | Coordinated by Team IT DUN Sura