Friday, February 20, 2009

" Saya bukan manusia boleh digertak sesuka hati "

PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang sedang berhadapan dengan tuduhan menyalahgunakan kuasanya dalam penyelenggaraan kereta peribadinya dan pembelian lembu korban pada Disember tahun lalu menyifatkan tuduhan yang dikenakan ke atasnya sebagai tidak berasas.

Menurut Khalid taktik mengenakan rasuah ke atas beliau merupakan tindakan terdesak daripada kerjaaan Barisan Nasional (BN) yang mahu merampas kerajaan Selangor daripada Pakatan Rakyat.

"Saya tidak takut dengan desakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana percaya tindakan yang dilakukan itu adalah untuk membantu rakyat yang susah dan bukan untuk diri sendiri.

"Saya tidak makan lembu itu, tapi saya beri kepada rakyat miskin, saya guna kereta Lexus saya sendiri supaya kerajaan negeri tidak perlu keluarkan perbelanjaan untuk itu," katanya ketika berucap pada majlis makan malam bersama Pemimpin Tertinggi Pakatan Rakyat di Selangor dan Kuala Lumpur di sini malam tadi.

Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata wujud bukti kukuh yang menunjukkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menyalahgunakan kuasanya dalam isu penyelenggaraan kereta dan pembelian lembu korban.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan berkata, pihaknya mendapati terdapat bukti bahawa Khalid telah menyalahgunakan kuasanya dalam penyelenggaraan kereta peribadinya dan pembelian 46 ekor lembu korban bernilai RM110,400 untuk sambutan Aidiladha pada Disember tahun lalu di kawasan Parlimen beliau di Bandar Tun Razak.

Khalid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Ijok menegaskan beliau bukan seorang manusia yang boleh digertak sesuka hati.

“Makin digertak saya akan terus buktikan kerajaan Pakatan lebih baik daripada BN yang telah memerintah negera ini selama 51 tahun.

“Kita tahu kerajaan BN akan tumbang jadi mereka akan guna apa-apa cara sekali pun untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan di Selangor,” katanya.

Tambah beliau, rakyat akan dapat menilai taktik kotor BN seperti itu untuk menguasai negeri ini namun tegasnya kerajaan PR akan terus membela nasib rakyat di negeri itu.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Presiden PKR, Prof. Dr. Syed Husin Ali; Naib-naib Presiden PKR, Azmin Ali dan R. Sivarasa serta Ketua Penerangan PKR, Tian Chua.

sumber : MstarOnline

0 komen:

Related Posts with Thumbnails

YB ADUN Sura Untuk Semua

 

Arkib Laman

Blog YB ADUN Sura © 2008 | Ripped by SamarQondy | Coordinated by Team IT DUN Sura