Thursday, April 29, 2010

Tembak Remaja : PAS Kesal Dengan Sikap Amatur KPN

Quantcast
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kesal dengan sikap amatur Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang mengugut untuk mengarahkan anggotanya supaya tidak lagi mengawal keselamatan negara berikutan tekanan yang diterima Polis selepas orang ramai mempersoalkan kredibiliti organisasinya dalam menguruskan kes kematian seorang pelajar, Aminulrasyid Amzah.

PAS mahu pihak Polis bersikap profesional dan menerima secara terbuka kritikan rakyat dan berusaha memperbaiki kelemahan mereka. Polis dibayar gaji mengunakan wang rakyat jadi tiada sebab Musa perlu arahkan anggotanya supaya tidak bekerja. Sama ada beliau merajuk atau tertekan, ugutan itu tidak sepatutnya dilemparkan kepada rakyat.

KPN yang kontraknya telah disambung beberapa kali harus bekerja bersunguh-sungguh bagi mendapatkan kepercayaan rakyat. Jika beliau tidak mampu, lebih baik beliau berundur sahaja.

PAS yakin, lebih ramai anggota Polis yang mempunyai kredibiliti mampu untuk menaikan semula imej jabatan itu. PAS juga sedar bahawa hanya sebilangan kecil sahaja anggota Polis yang bermasalah. Tapi pihak Pengurusan PDRM kena belajar terima hakikat ini dan menerima teguran rakyat secara proaktif.

Kita tidak mahu Polis hanya bertindak pantas bila kes sudah menjadi isu dalam surat khabar dan media, sedangkan isu yang tidak diketahui rakyat dipencilkan begitu sahaja.

Keselamatan rakyat kini menjadi keutamaan, dan Polis harus membantu dan membimbing rakyat agar dapat hidup dengan selamat.

PAS juga kesal kerana pihak Polis sebelum ini menolak cadangan penubuhan Suruhanjaya Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) dan menganggapnya sebagai satu ancaman. Jika mereka menjalankan tugas dengan baik dan tidak melakukan kesalahan, tiada sebab mereka takut kepada IPCMC.

Kerajaan yang mengantikan IPCMC kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguat Kuasa (Siap) juga gagal bertindak walaupun Akta penubuhan agensi itu telah diluluskan tahun lepas. Penubuhan Siap jelas tidak siap mana pun, ianya perlu disegerakan agar rakyat dapat mengadili anggota Polis yang melanggar undang-undang. Uniform Polis bukanlah lesen untuk melakukan pelanggaran undang-undang atau membuli rakyat. Jika Polis tidak bersalah rakyat tidak menghukum.

PAS berharap agar Ketua Polis Negara akan datang lebih profesional dan tidak cepat melatah dalam menghadapi apa jua situasi dan tekanan. PAS juga berharap agar Polis dapat memberikan perkhidmatan yang adil dan tidak tunduk kepada tekanan Menteri yang merupakan ahli Politik yang mempunyai kepentingan tertentu khususnya ketika musim-musim pilihanraya.

Diharapkan selepas ini KPN menumpukan masanya untuk buat kerja bukan buat ugutan lagi kepada rakyat.

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

0 komen:

Related Posts with Thumbnails

YB ADUN Sura Untuk Semua

 

Arkib Laman

Blog YB ADUN Sura © 2008 | Ripped by SamarQondy | Coordinated by Team IT DUN Sura