Friday, April 16, 2010

Kisah Sahabat Nabi : Abdullah Bin Mas'ud

Sabda-sabda Rasulullah s.a.w.
  • "Jika sekiranya aku hendak melantik seseorang bagi memegang sesuatu tugas tanpa berunding dengan kaum Muslimin yang lain maka pastilah yang aku tabalkan itu ialah Abdullah Bin Mas’ud ".
  • "Aku rela kepada ummatku apa-apa yang disukai oleh Ibnu Mas’ud dan aku marah kepada ummatku apa-apa yang dimarahi olehnya.”
  • “Apakah kamu sekalian mentertawakan betis Ibnu Mas’ud yang lebih berat timbangannya itu di sisi Allah dari berat Gunung Uhud?”

Siapakah gerangan tokoh Abdullah Bin Mas’’ud ini hinggakan beroleh sanjungan yang demikian tinggi dari baginda Rasul? Abdullah Bin Mas’ud adalah seorang tokoh sahabat yang amat terkenal dan seorang yang sangat dicintai oleh Rasulullah s.a.w.

Abdullah Bin Mas’ud termasuk dalam barisan orang-orang Islam yang permulaan dan telah memeluk Islam sebelum Rasulullah s.a.w. memasuki Darul Arqam. Berlainan dari para sahabat Rasulullah s.a.w. seperti Saiyidina Abu Bakar AI Siddiq, Umar Al Khattab ataupun Uthman Bin Affan yang tergolong dari kaum bangsawan itu, sahabat Abdullah Bin Mas’ud ini berasal dari keluarga yang miskin bahkan ia sendiri asalnya adalah seorang pengembala kambing kepunyaan Uqbah Bin Abi Muith. Tetapi setelah menjadi Islam, Abdullah Bin Mas’ud telah berjaya menjadikan dirinya sebagai seorang tokoh sahabat yang terbilang, seorang besar dalam sejarah lslam yang telah menjalani hidup yang penuh kemuliaan dan kesucian. Menurut riwayatnya, ketika beliau masih kanak-kanak lagi, Rasulullah s.a.w. pernah menyatakan kepadanya bahawa ia kelak akan menjadi seorang guru. Dan memanglah benar terbukti di hari kemudiannya, Abdullah Bin Mas’ud telah muncul sebagai seorang guru agama yang cerdas dan bijaksana serta luas pengetahuannya.

Satu daripada keistimewaan sifat peribadi Abdullah Bin Mas’ud setelah ia memeluk Islam ialah keberaniannya memperdengarkan bacaan ayat-.ayat suci Al- Qur’an kepada kaum Quraisy yang masih musyrik walaupun perbuatannya itu ternyata membahayakan keselamatan dirinya. Para sahabat mencegahnya dari melakukan perbuatan yang nekat itu kerana bimbangkan keselamatannya. Apatah lagi bila memikirkan dirinya yang bukan berasal dari keluarga yang besar ataupun kaya. Namun kebimbangan sahabat-sahabatnya itu tidak sedikit dipedulikannya.

Ternyata pada suatu hari tatkala beliau sedang membaca­kan ayat-ayat suci Al-Qur’an dengan lantangnya di hadapan orang-orang kafir Quraisy, beliau kesudahannya telah di­ keroyok lalu dipukul oleh orang-orang Quraisy itu hingga melukai bahagian muka dan mulutnya. Apakala Abdullah Bin Mas’ud kembali kepada sahabat-sahabatnya serta melaporkan apa yang telah terjadi, para sahabat mengatakan, "Inilah yang kami khuatirkan dulunya dan sekarang telah benar terjadi." Mendengar kata-kata sahabatnya itu Abdullah lalu berkata,”Kalau saudara-saudaraku kehendaki akan saya mendatangi mereka itu lagi untuk memperdengarkan ayat-ayat Allah." Demikian keteguhan pendirian Abdullah Bin Mas’ud serta kuatan imannya dalam Islam.

Abdullah Bin Mas’ud juga adalah salah seorang daripada penulis wahyu Rasulullah s.a.w. Bahkan beliau pernah mengatakan bahawa beliau telah mengambil langsung Al-Quran daripada Rasulullah s.a.w. tidak kurang dari 70 buah surah. Selain daripada itu tidak seorang pun yang dapat menandinginya dalam soal tersebut dan Rasulullah s.a.w. telah memberikan kepercayaan kepadanya untuk menyebar­kan Al-Quran tersebut. Bahkan Rasulullah s.a.w. sendiri pernah suatu ketika bersabda, "Pelajarilah Al-Quran dari empat orang", dan salah seorang daripadanya ialah Abdullah Bin Mas’ud.

Sungguh beliau telah memperoleh penghormatan di sisi baginda Rasul bukan sahaja kerana darjat keimanannya tetapi juga kerana kecerdasannya dalam ilmu Al-Quran dan Hadith serta hidupnya yang penuh soleh dan taqwa. Hubungannya dengan Rasulullah s.a. w. adalah begitu erat sekali hinggakan Abu Musa pernah menyatakan, "Saya sering melihat Nabi s.a.w. dan tidaklah aku lihat di sampingnya kecuali Ibnu Mas’ud yang telah masuk dalam keluarga Nabi."

Rasulullah s.a.w. sangat mencintai Abdullah Bin Mas’ud dan dialah satu-satunya sahabat besar yang diberi izin keluar­ masuk rumah Rasulullah s.a.w. Selain menjadi sahabat Rasul­ullah s.a.w. yang akrab, beliau juga salah seorang pembantu dan murid baginda. Beliaulah yang selalu mengikuti Rasul­ullah s.a.w. pergi dan mengurus terompah beliau, mengurus kain basahan di waktu Rasulullah s.a.w. mandi dan meb­angunkan baginda sewaktu sedang tidur pada waktu-waktu yang ditetapkan oleh Rasulullah s.a.w. sendiri.

baca artikel penuh...di sini.

0 komen:

Related Posts with Thumbnails

YB ADUN Sura Untuk Semua

 

Arkib Laman

Blog YB ADUN Sura © 2008 | Ripped by SamarQondy | Coordinated by Team IT DUN Sura