Jawatankuasa Hak-hak Asasi Manusia dari Perhimpunan Antara Ahli-Ahli Parlimen Sedunia membuat pengumuman dalam perhimpunan yang diadakan di Bangkok, Thailand semalam, bahawa mereka sebulat suara mengusulkan resolusi ini kepada Governing Council.
Pengerusi jawatankuasa tersebut, iaitu Ketua Pembangkang Dewan Senat Filipina, Senator Aquilino Q Pimentel, Jr berkata, "Memandangkan kes liwat Anwar (gambar kiri) baru-baru ini dikritik secara umum sebagai cubaan untuk memusnahkan kerjaya politiknya", maka jawatankuasa ini mengusulkan:
Pertama, memberi prihatin terhadap tuduhan dan perbicaraan kes liwat yang baru, yang mana kelihatan sarat dengan "kecacatan" sebagaimana yang berlaku dalam kes liwat pertamanya beberapa tahun lalu, namun beliau telah dibebaskan kerana tidak bersalah;
Keduanya, dalam keadaan di mana dua laporan perubatan telah menunjukkan bahawa tiada kesan "tusukan" (penetration), maka ia tidak seharusnya dituduh sebermulanya, dan harus digugurkan sekarang;
Ketiganya, anggota barisan pendakwa raya dalam kes liwat yang pertama, iaitu Abdul Gani Patail (gambar kanan) yang dituduh mereka bukti palsu untuk menganiaya Anwar, kini terlibat dalam kes liwat yang kedua. Malah, barisan peguam pembela Anwar Ibrahim dilarang untuk mendapatkan bahan bukti, menyebabkan mereka gagal membuat persediaan untuk pembelaan;
Keempatnya, dalam kes ini, kedua-dua pihak mempunyai hak yang sama rata. Pembelaan dalam perbicaraan yang adil amat penting. Seandainya pembela tidak diberi ruang untuk menggunakan haknya, maka apa-apapun penghakiman adalah cacat.
Kelimanya, meminta agar Setiausaha mengaturkan agar pemantau menghadiri perbicaraan seterusnya.
Keenam, meminta agar Setiausaha menghubungi pihak parlimen Malaysia;
Ketujuh, menyeru agar jawatankuasa ini meneruskan siasatan kes ini, malah mengemukakan laporan dalam persidangan mesyuarat ke-123 yang akan diadakan pada Oktober tahun ini.
Tiga orang ahli parlimen Pakatan Rakyat yang menghadiri mesyuarat ke-122 ini adalah Hee Loy Sian (Petaling Jaya Selatan-PKR), Sim Tong Him (Kota Melaka-DAP) dan Senator Mumtaz bt Md.Nawi (PAS). Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan dari pejabat Hee Loy Sian, kesemua perwakilan meluluskan resolusi yang diusulkan di atas, dengan pendirian "reserved" Malaysia turut dicatatkan.
IPU ditubuhkan pada tahun 1889, adalah sebuah badan antarabangsa yang berpusat di Geneva, Switzerland, dengan matlamat untuk menjalin hubungan antara parlimen sedunia ke arah demokrasi dan keamanan.
Negara Barat menyokong Anwar
Pada 11 Februari 2010, lebih daripada 50 orang ahli parlimen dan Senator di Australia telah menulis surat untuk meminta supaya institusi kehakiman Malaysia menggugurkan kes liwat Anwar.
Selepas itu, John Kerry, Pengerusi Senate Foreign Relations Committee, Amerika Syarikat juga mengeluarkan kenyataan, menggesa agar Malaysia memberi perbicaraan yang adil kepada Anwar Ibrahim. Beliau berkata, "Saya menyeru kerajaan Malaysia, terutamanya Perdana Menteri Najib untuk memastikan perbicaraan dan penghakiman yang adil terhadap Anwar."
Pengerusi Jawatankuasa Kecil Hal Ehwal Negara Luar Australia, Michael Danby turut menuduh bahawa institusi kehakiman telah dipergunakan untuk mengusir Anwar dari politik, malah menganggap tuduhan ini mengejutkan pendukung demokrasi Asia, kerana semua orang Malaysia dan pakar undang-undang mengetahui bahawa Anwar tidak bersalah.
Selain itu, bekas Perdana Menteri Kanada, Paul Martin juga bersuara untuk membela Anwar. Kelantangan suara masyarakat antarabangsa telah menambah tekanan kepada kerajaan Najib.
sumber : merdekareview.com
0 komen:
Post a Comment