Monday, February 1, 2010

Mahkamah Rayuan Penentu Kota Seputeh

Oleh AZEMAN ARIFFIN

JITRA, 1 Feb (Bernama) - Persoalan sama ada Ketua Umno Bahagian Jerlun Datuk Abu Hassan Sarip kekal sebagai wakil rakyat atau terpaksa mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh dijangka diketahui dalam tempoh terdekat ini.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata Mahkamah Rayuan akan membuat keputusan bagi menyelesaikan kemelut mengenai status kerusi DUN Kota Siputeh itu sama ada ia dikekalkan kepada wakil rakyat Barisan Nasional (BN) atau terpaksa memberi laluan kepada pilihan raya kecil.

"Kita sedang menunggu keputusan Mahkamah Rayuan ini setelah panel hakim meneliti laporan bertulis penghakiman oleh Hakim Mahkamah Tinggi," kata beliau ketika dihubungi Bernama.

DUN Kota Siputeh mempunyai 19,771 pengundi dan daripada jumlah itu sebanyak 18,130 pengundi adalah kaum Melayu manakala selebihnya adalah pengundi Cina, India dan masyarakat Siam.

DUN Kota Siputeh adalah sebuah kawasan di bawah Parlimen Jerlun yang diwakili oleh Datuk Mukhriz Tun Mahathir dan kawasan itu terletak bersempadanan Kedah/Perlis.

Wan Ahmad berkata SPR telah bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan mengenai keputusan mahkamah itu.

Jika Mahkamah Rayuan mengarahkan supaya diadakan pilihan raya kecil, SPR perlu menggendalikan pilihan raya kecil itu memandangkan tempoh pilihan raya umum ke-12 baru sahaja memasuki dua tahun.

Tempoh "matang" untuk tidak diadakan pilihan raya kecil atas sebarang sebab kekosongan DUN atau kawasan Parlimen ialah selepas tiga tahun pilihan raya umum iaitu mulai Jun 2011.

Bagi Abu Hassan pula, sebarang keputusan yang diumumkan akan diterima dengan hati yang terbuka dan menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti bagi pemilihan calon sekiranya diadakan pilihan raya kecil.

Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Dr Abdul Isa Ismail berkata tindakan yang diambil untuk mengosongkan DUN Kota Siputeh adalah tepat berdasarkan Perkara 51 Undang Undang Tubuh Kerajaan Kedah (UTKK) apabila Abu Hassan didapati tidak menghadiri sidang DUN sebanyak dua kali berturut-turut sebagai wakil rakyat.

"Mahkamah Tinggi telahpun mengumumkan kekosongan dan mengarahkan SPR mengadakan pilihan raya kecil bagi DUN Kota Siputeh dan SPR telah diberi hak untuk membuat rayuan dan sekarang kita menunggu keputusan Mahkamah Rayuan," kata beliau.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak pula berkata, walaupun pilihan raya kecil bukanlah sesuatu perkara yang mudah dan mengembirakan namun semua pihak perlulah akur dan patuh dengan perlembagaan negeri.

"Apa yang penting dalam kes ini ialah ia harus menjadi pengajaran kepada semua wakil rakyat mengenai tanggungjawab untuk menghadiri sidang dewan," kata beliau.

Pesuruhjaya PAS Kedah itu berkata, PAS tidak pernah menganggap mudah untuk merampas kerusi yang disandang oleh Umno.

"Kita tahu DUN Kota Siputeh adalah kubu kuat UMNO dan PAS tidak pernah menang bagi kawasan DUN itu sejak ia diwujudkan di bawah kawasan Parlimen Jerlun," kata beliau.

Azizan berkata, apa yang pasti ialah PAS tetap akan bertanding dan meletakkan calon yang dikehendaki oleh rakyat di kawasan itu.

Jika pilihan raya kecil bagi DUN Kota Siputeh perlu diadakan, ia adalah pilihan raya kecil kedua di negeri ini selepas pilihan raya kecil DUN Bukit Selambau pada tahun lepas.

Pilihan raya kecil DUN Bukit Selambau pada April 2009 disebabkan peletakan jawatan wakil rakyatnya dari PKR V.Arumugam dan kerusi itu berjaya dikekalkan oleh PKR menerusi calonnya S.Manikumar. Pilihan raya kecil itu juga mencatat sejarah apabila sebanyak 13 calon Bebas turut berentap bersama calon BN Datuk S.Ganeson.

Bagi Kota Siputeh, mungkin tidak ada calon Bebas yang berminat untuk bertanding kerana tumpuan hanya diberikan kepada bakal calon BN dan bakal calon PAS ekoran kerusi itu adalah kubu kuat BN sejak pilihan raya umum 1999.

Sungguhpun Abu Hassan telah menjadi wakil rakyat bagi kawasan itu bagi tiga penggal berturut-turut, namun menurut sumber dalaman UMNO, Abu Hassan belum tentu dipilih semula sebagai calon kerana terdapat nama-nama lain yang disebut-sebut.

Antara mereka ialah naib ketua UMNO Bahagian Jerlun Abdul Aziz Mahmud, Anggota Jawatankuasa UMNO Bahagian Zulkefli Awang, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Mohamad Hairi Ahmad dan Ketua Wanita Datuk Maznah Abdul Hamid.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini dipetik sebagai berkata, jika berlakunya pilihan raya kecil, Mukhriz, yang menjadi wakil Parlimen Jerlun, tidak akan dipilih sebagai calon.

Pada 23 Nov lepas, Hakim Mahkamah Tinggi (Rayuan Kuasa-Kuasa Khas), Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin, telah menolak permohonan SPR untuk menangguhkan perintah terdahulu yang dibuat beliau di Mahkamah Tinggi pada 16 Nov apabila beliau mengisytiharkan kerusi DUN Kota Siputeh kosong dan Abu Hassan bukan lagi ADUN.

Beliau juga telah mengarahkan SPR mengeluarkan writ bagi mengadakan pilihan raya kecil. Bagaimanapun SPR kemudiannya membuat rayuan di Mahkamah Rayuan Putrajaya.

- BERNAMA

0 komen:

Related Posts with Thumbnails

YB ADUN Sura Untuk Semua

 

Arkib Laman

Blog YB ADUN Sura © 2008 | Ripped by SamarQondy | Coordinated by Team IT DUN Sura