Friday, February 12, 2010

Ekonomi Tenat : Bekukan Pembangunan Tidak Perlu

by Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 12 Feb : PAS melihat Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak kini berada dalam keadaan kritikal di mana kementerian dan agensi kerajaan telah diarah untuk melaksanakan perbelanjaan berhemah.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, sebelum ini kerajaan mengarahkan agar semua pejabat kerajaan mematikan lampu dan semua peralatan elektrik di waktu rehat sebagai langkah penjimatan bil elektrik.

Kemudian, katanya kerajaan membuat dasar mengurangkan aktiviti latihan, peperiksaan dan mengarahkan kementerian serta jabatan agar tidak membuat begitu banyak program di hotel-hotel.

Dalam kenyataan kepada Harakahdaily, beliau menambah, walau bagaimana pun arahan itu tidak semua dipatuhi dan langkah terbaru kerajaan cuba membekukan aktiviti latihan di beberapa jabatan.

Menurutnya, tahun lepas sahaja, sejuta kakitangan awam kecewa kerana kerajaan sudah tidak mampu membayar bonus dan Najib menggantikannya dengan wang saguhati RM500 yang dibayar secara ansuran oleh kerajaan.

Katanya lagi, kerajaan juga didapati telah mengeluarkan arahan tidak rasmi di beberapa kementerian untuk tidak memberikan bayaran berbentuk wang kepada kakitangan yang bekerja lebih masa.

“Pada waktu ini kerajaan hanya membenarkan kakitangannya untuk mendapat cuti gantian memandangkan bajet pengurusan telah dikurangkan,” ujarnya.

Beliau menambah, kerajaan turut membuat dasar mengurangkan pengambilan baru untuk kakitangan sokongan dan profesional serta melanjutkan tempoh perkhidmatan pegawai yang sepatutnya pencen melalui skim kontrak selama dua atau tiga tahun.

Di samping itu, semua kakitangan kontrak pula dijangka akan ditamatkan kontrak bermula pada bulan Mac hingga Jun ini.

PAS, ujarnya melihat bahawa negara bakal mengalami peningkatan kadar pengangguran yang tinggi menjelang bulan Mac ini ekoran begitu ramai kakitangan kontrak kerajaan ditamatkan.

“PAS menyarankan agar kerajaan memberikan peluang kepada kakitangan kontrak yang ditamatkan ini untuk menyertai GLC milik kerajaan dan meminta syarikat-syarikat GLC ini agar mengurangkan pengambilan pekerja asing,” katanya lagi.

Tegasnya, PAS mendesak agar jumlah kemasukan pekerja asing dikurangkan disemua sektor sebelum akhir 2010.

PAS juga, katanya mahu kerajaan menumpukan perbelanjaan mengurusan dan dalam masa yang sama mengurangkan perbelanjaan pembangunan manakala projek pembangunan yang tidak perlu atau tidak mendesak wajar dibekukan pada masa ini.

Beliau menambah, beberapa program ekonomi baru perlu diwujudkan, tetapi PAS menolak cadangan kerajaan yang mahu memperkenalkan GST, kerana ianya tidak releven dengan keadaan ekonomi rakyat pada masa ini.

“Pada waktu inflasi sebegini, bantuan kerajaan amat diperlukan tetapi jika kerajaan menaikkan cukai atau meluaskan pakej cukainya maka peningkatan harga barangan pengguna di pasaran tidak boleh dihalang.

“Tindakan kerajaan menarik beberapa subsidi dalam keadaan sekarang juga dilihat tidak bijak, kerana ianya tidak memberikan manfaat mutlak kepada pengeluar dan pengguna,” katanya.

PAS juga, tambahnya hairan kenapa Najib mengurangkan tumpuan kepada program-program pertanian yang sebelumnya diusahakan di zaman Tun Abdullah tetapi lebih sibuk mengejar usaha rundingan FTA dengan negara luar khususnya Amerika.

“Untuk rundingan dengan Amerika sejak empat tahun yang lalu, negara telah belanjakan lebih sejuta wang rakyat, sedangkan belum ada apa-apa perjanjian yang berjaya dimeterai,” ujarnya.

Justeru, katanya, PAS berharap agar sebarang rundingan FTA dengan negara luar dibekukan buat sementara waktu memandangkan penguatkuasaan dalam negara pada masa ini terlalu lemah hingga menyebabkan negara menjadi pusat lambakan barangan dari negara China yang mengambil peluang dari perjanjian FTA-China Asean.

Menurutnya lagi, negara akan bankrap jika kerajaan yang dipimpin Najib gagal untuk membangunkan sumber-sumber kewangan baru dan merancang perbelanjaan kerajaan secara bijak.

> sila ke sini 14 Februari, Ahad

> Orang Muda Geng Kite sila ke sini

0 komen:

Related Posts with Thumbnails

YB ADUN Sura Untuk Semua

 

Arkib Laman

Blog YB ADUN Sura © 2008 | Ripped by SamarQondy | Coordinated by Team IT DUN Sura