Kepada orang Melayu di seluruh negara yang masih bersama Umno, sampailah masanya kini untuk mereka membuat keputusan yang sangat penting kepada masa depan generasi yang akan datang untuk bersama dengan PAS bagi melakukan perubahan yang lebih adil, sesuai dengan keadilan Islam untuk semua.
Cukuplah kecelaruan kefahaman dan ketidakadilan yang dilakukan oleh Umno terhadap orang Melayu, dengan berlakunya pelbagai diskriminasi politik terhadap orang Melayu sendiri. Sebagai contohnya, kita tidak sekali-kali lupa terhadap tindakan merampas royalti minyak pada masa pemerintahan Kerajaan PAS di Terengganu, dan kini di Kelantan, di mana ianya adalah keputusan diskriminasi jahat yang dibuat dalam Perhimpunan Agung Umno di ketika itu terhadap penduduk negeri yang lebih dari 95% terdiri dari orang Melayu beragama Islam.
Parti Islam SeMalaysia (PAS) ingin menegaskan bahawa kedudukan orang Melayu dan kaum Bumiputera dalam perlembagaan negara sekarang perlu dipertimbangkan dalam pelaksanaan sesuatu dasar, dengan syarat ianya tidak sekali-kali berlaku zalim kepada kaum-kaum lain yang menjadi rakyat dalam negara kita ini. Inilah juga yang dipersetujui dalam Konvensyen Pertama Pakatan Rakyat pada tahun yang lalu.
Kepada seluruh rakyat dalam negara kita ini, marilah terus bersama dengan PAS dan Pakatan Rakyat untuk melakukan suatu perubahan dan keluar dari politik peras ugut, untuk kita sama-sama merubah sistem kehakiman, kebebasan media, sistem pilihanraya, keselamatan negara, dan sebagainya untuk melahirkan iklim politik yang lebih adil dan aman di Malaysia.
Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS
8 Ogos 2010
sumber : presiden.pas.org.my
0 komen:
Post a Comment