DUNGUN - PAS menyifatkan kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu mempercayai 'Batu Penyu' sebagai 'ibu semangat' yang menentukan kedatangan penyu ke Rantau Abang sebagai khurafat sekaligus membazirkan wang rakyat.
Oleh itu, tindakan Majlis Perbandaran Dungun (MPD) membelanjakan wang rakyat sebanyak RM390,000 bagi membaik-pulih bongkah Batu Penyu di Bukit Che Hawa adalah tidak wajar sama sekali.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sura, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli mempersoalkan tindakan kerajaan membelanjakan wang rakyat sebanyak hampir RM400,000 hanya untuk kepercayaan khurafat terhadap seketul batu.
(Gambar - Batu Penyu.... asalnya hanya satu ketul batu biasa, kemudian ia mula dipagar (gambar bawah) dan kini didirikan bangunan diatas bongkah batu tersebut)
Katanya, jumlah kewangan yang begitu besar itu adalah jauh lebih baik sekiranya digunakan bagi keperluan membantu rakyat yang ramai lagi masih miskin di negeri ini.
“Apa perlu kita (kerajaan) membelanjakan sejumlah besar wang rakyat hanya kerana untuk kepercayaan khurafat baiki Batu Penyu yang dianggap ‘ibu semangat’.
“Hampir RM400,000 itu lebih baik kita (kerajaan) manfaatkan untuk rakyat miskin yang masih ramai dan memerlukan bantuan,” ujarnya selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Anak Yatim anjuran PASTI Kuala Dungun di Surau Ustaz Omar Syukri, Dungun, baru-baru ini.
Menurutnya, kemerosotan kedatangan penyu untuk bertelur di pantai Rantau Abang adalah akibat perbuatan tangan manusia sendiri dan tidak ada kena mengena dengan 'Batu Penyu'.
“Sebenarnya (laporan) banyak penyu yang mati di laut kerana terjerat pukat, mati oleh pemangsa, dibunuh oleh manusia yang tidak bertanggungjawab dan bukan kerana Batu Penyu yang dijadikan ‘ibu semangat’ kepada reptilia itu,” jelasnya.
Justeru itu, katanya amalan mempercayai bongkah batu mempunyai ‘kuasa’ tertentu hingga perlu dijaga (pelihara) boleh menyesatkan aqidah dan pemikiran umat Islam.
“Masa kini tidak ada lagi amalan mempercayai batu ada ‘kuasa’ yang bersifat karut, tahyul dan khurafat kerana pegangan itu boleh menyesatkan pemikiran manusia dan umat Islam,” ujarnya.
sumber : BuletinOnline
0 komen:
Post a Comment