written by BuletinOnline
DUNGUN - Menteri Besar, Datuk Ahmad Said disaran mengotakan kata-katanya dan mengambil tindakan undang-undang keatas Pengerusi JKKK yang menyelewengkan agihan bantuan dana hari raya. Walaupun Ahmad pernah memberi amaran keras kepada pengerusi JKKK yang menipu dalam pengagihan bantuan dana hari raya, namun penyelewengan itu terus berlaku tahun ini.
Sikap pilih kasih dan tidak amanah JKKK dalam menjalankan tanggungjawab itu yang memilih penerima sentiasa berlaku terutama kepada penyokong pembangkang sejak bantuan tersebut diwujudkan lapan tahun lalu.
Mereka yang layak menerima bantuan tersebut yang terdiri dari kalangan miskin, warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal dan ada di antaranya yang sudah mengisi borang permohonan tetapi tidak menerima bantuan yang diagihkan itu.
Ini menyebabkan berlaku keciciran pengagihan wang dana itu untuk golongan tersebut selain mereka yang bekerja tetapi masih layak menerimanya jika pendapatan kurang daripada RM1,500 sebulan.
Bagi insan istimewa, Ismail Man, 74, yang cacat penglihatan, walaupun pernah menerima bantuan itu, namun sejak tahun lepas dinafikan haknya setelah dimaklumkan oleh pihak JKKK bahawa dia tidak layak menerimanya, begitu juga pada tahun ini.
Menurutnya, sekalipun pihak berkenaan memberi alasan kononnya dia tidak diberikan bantuan itu kerana masih dapat bekerja tetapi hakikatnya dia disisih kerana menyokong pembangkang.
“Ada orang kata saya tak layak terima wang ehsan kerana boleh kerja, tapi yang sungguhnya kerana saya sokong PAS,” ujarnya semasa dikunjungi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sura, Wan Hassan Mohd Ramli yang menyampaikan sumbangan barangan dapur di rumahnya di Kampung Sungai Buaya, Isnin lepas.
(gambar - Ustaz Wan Hassan menyampaikan sumbangan kepada Ismail Man)
Beliau yang menyara hidup dengan memelihara ayam untuk dijual ternakan itu atau telurnya memberitahu, ada pihak tertentu yang bersimpati dengannya memohon bantuan dana raya itu melalui JKKK di kampung lain.
Sehubungan itu, beliau yang menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat diberitahu oleh pihak berkenaan kemungkinan mendapat bantuan itu pada tahun ini melalui JKKK di tempat lain.
Beliau yang lebih dikenali dengan penggilan Pak Awang berkata, pada tahun lalu dia menemui pihak JKKK yang memberitahu bantuan itu bukan untuk diberikan kepada semua orang tetapi hanya petugas parti dalam pilihan raya umum sahaja.
Baginya, walaupun bantuan itu tidaklah sampai boleh dijadikan harta tetapi setidak-tidaknya dapat meringankan beban kehidupan seharian dalam suasana harga barangan keperluan harian yang semakin meningkat hari ini.
Pak Awang juga kesal dengan sikap pihak JKKK yang mengeluarkan namanya daripada senarai penerima bantuan itu sedangkan dia bukan sahaja miskin tetapi cacat penglihatan sejak kecil dan tidak dapat bekerja kerana semakin uzur.
> TERKINI : PENERANGAN ISU PEMINDAHAN KUIL SRI MARIAMMAN SEKSYEN 19 SHAH ALAM
0 komen:
Post a Comment