Monday, September 14, 2009

Detik-Detik Karamnya 'Kapal' BN

oleh : DATO' TUAN IBRAHIM TUAN MAN

Mutakhir ini pelbagai isu besar melanda dunia. Arus perubahan politik di Jepun dengan tumbangnya parti LDP tentunya menjadi perangsang kepada perubahan politik negara. Kebimbangan ini diluahkan secara terbuka oleh Mantan PM dalam
blog beliau.


Kegagalan BN dalam satu demi satu PRK telah meningkatkan semangat perubahan di kalangan rakyat. Memang hakikat rakyat sudah muak dengan gelagat kepimpinan UMNO/ BN. Hakikat BN telah berada pada penghujung usia kepimpinan memang tidak dapat dinafikan. Perhati sahaja isu yang melanda MIC dengan keegoan kepimpinannya, isu yang melanda MCA, isu kepimpinan UMNO Terengganu, Perlis, Kedah dan lainnya, semuanya membuktikan mereka sedang tenat.

Apa yang menarik selepas PRU ke 12, satu demi satu Pilihanraya Kecil berlaku. Sambung menyambung yang seolah-olah menghantar satu isyarat kepada ahli UMNO agar segera membuat perubahan, meninggalkan parti yang berada diambang keruntuhan kepada parti yang sedang mendapat tempat di hati rakyat.

Pakatan rakyat perlu berada di atas landasan betul ke arah perubahan besar menjelang PRU ke 13. Kita perlu menjadi parti yang mampu mengambil alih kepimpinan. Pelbagai isu yang melanda di negeri-negeri PR perlu diselesaikan dengan cara berhemah. Kita akui isu yang berbangkit adalah hasil peninggalan BN yang terpaksa kita pikul. Isu Kg Buah Pala, isu pembinaan kuil di Seksyen 23, Shah Alam, isu pusat penyembelihan babi di Kedah, dan lainnya menjadi kayu ukur kemampuan kita menanganinya dengan cermat.

Kepelbagaian isu ini tidak seharusnya di satu bakulkan. Isu sensitif yang melibatkan isu agama dan bangsa memerlukan tindakan cermat bagi menghadapinya. Dialog terbuka dalam suasana panas adalah tidak sesuai, kerana ia akan mengundang sikap tidak bermoral dan beradab; dan itulah yang berlaku dalam majlis dialog di MBSA. Mungkin kita merasakan bahawa itulah jalan bagi meredakan keadaan; tetapi ternyata ia dimanipulasi oleh sesetengah pihak lalu media pro-BN pantas menghentam kepimpinan PR di Selangor.

Tindakan menangguhkan pemindahan kuil adalah langkah terbaik, bagi meredakan keadaan di samping mengadakan dialog dengan pihak yang terpilih yang terlibat secara langsung; bukan semua yang dilibatkan. Saya bersetuju dengan satu tulisan seorang blogger bahawa apakah kita tidak melihat isu ‘kepala lembu’ iaitu bantahan pembinaan kuil yang tidak bermoral ini akan menjurus ke arah satu agenda besar di belakangnya iatu mewujudkan suasana tidak tenteram yang akhirnya mengundang MAGERAN di Selangor? Pengalaman lampau di Kelantan seharusnya dijadikan pengalaman berguna dalam isu ini.

Isu sensitif ini sepatutnya tidak terus melibatkan kepimpinan tertinggi dalam kepimpinan negeri, kerana ia menghadkan ruang membuat keputusan terakhir. Masalah setempat memadai diselesaikan melalui sebuah Jawatankuasa Khas agar sebarang masalah yang timbul kamudiannya mereka mempunyai satu lagi badan tertinggi bagi membuat keputusan. Penglibatan terus kepimpinan politik akan dilihat mempunyai agenda politik tertentu, dan akhirnya kita gagal menyelesaikan satu isu sebaliknya mewujudkan satu isu baru. Mungkin pengalaman ‘orang tua’ di Kelantan dan Kedah boleh diambil oleh orang-orang muda, kerana pengalaman adalah ilmu yang tiada dalam kitab dan tidak diajar di mana-mana universiti.

0 komen:

Related Posts with Thumbnails

YB ADUN Sura Untuk Semua

 

Arkib Laman

Blog YB ADUN Sura © 2008 | Ripped by SamarQondy | Coordinated by Team IT DUN Sura