oleh BAHARIN TALIB | |
Ibadah haji yang diperintahkan oleh Allah SWT tentu banyak hikmah dan rahsia di dalamnya. Ibadah haji adalah rukun Islam yang kelima dan terakhir mengikut susunan tertibnya. Allah SWT memerintahkan ibadat haji ditunaikan atau dilakukan oleh seseorang muslim sekali dalam seumur hidupnya. Sejak akhir-akhir ini umat Islam di negara kita ini tidak mudah untuk pergi menunaikan haji kerana terpaksa mendaftar dan menunggu giliran; sebab yang berhajat untuk pergi menunaikan haji memang ramai. Alhamdulillah, ini satu petanda baik bagi kita. Ia menunjukkan kesedaran umat Islam negara ini bagi menunaikan rukun Islam kelima itu sudah meningkat. Ia juga menggambarkan tahap sosio-ekonomi umat Islam yang bertambah baik. Sejak beberapa tahun lalu, kerajaan Arab Saudi banyak membuat ubahsuai pada kawasan Masjidilharam dan Masjid Nabawi dengan tujuan memberi kemudahan dan keselesaan kepada umat Islam yang datang mengerjakan haji. Ketika ini pun satu perubahan besar di kawasan Masjidilharam sedang dilakukan. Bagi umat Islam secara peribadi, ibadah haji adalah untuk faedah diri sendiri. Walaupun jutaan jemaah haji yang datang menunaikan fardhu haji, mereka akan kembali ke tanah air dan hidup sebagai insan biasa semula. Kalau adapun perubahan pada diri mereka, itu hanya perubahan individu sahaja. Tidak ada perubahan dari segi negara atau ummah. Sepatutnya yang amat perlu dan penting pada perhimpunan tahunan di Makkah ini ialah pemimpin-pemimpin negara Islam. Mereka sepatutnya pada setiap tahun mengadakan sidang kemuncak di Makkah bila tibanya musim haji. Dengan kehadiran dan pertemuan di kalangan pemimpin-pemimpin Islam maka sudah tentu melahirkan perpaduan yang kukuh di kalangan negara dan umat Islam. Semua perkara dapat dibincangkan dalam sidang kemuncak tahunan ini sama ada dari segi keagamaan, ekonomi, pelajaran, pertahanan, pelancongan, kesenian, kebudayaan dan sebagainya. Kerjasama yang erat patut diwujudkan di kalangan negara-negara dan umat Islam seluruh dunia, demi untuk membangunkan Islam dan umat Islam. Negara-negara Islam banyak yang kaya-raya. Nikmat Allah SWT ini perlu dimanafaatkan oleh negara-negara Islam untuk membantu negara-negara Islam dan bukan Islam yang miskin. Maka dengan itu barulah umat dan negara Islam menjadi payung kepada manusia seluruhnya. Prasyarat kepada kejayaan penyatuan negara-negara Islam ini adalah keimanan dan ketakwaan pemimpin-pemimpin Islam yang berkuasa di negara masing-masing. Dengan sifat-sifat keimanan dan ketakwaan ini akan memudahkan datangnya bantuan Allah SWT. Makah dipilih kerana hanya tanah suci yang akan bersama-sama memberi keberkatan kepada niat dan usaha yang baik yang tentunya diredai Allah SWT nanti. Sesudah sesuatu sidang kemuncak diadakan dan rumusan-rumusan atau resolusi-resolusi digariskan maka pohonkan doa kepada Allah di depan Kaabah supaya Allah memberikan kejayaan. Jangan lupa juga mengunjungi makam Nabi s.a.w. untuk berdoa dan memohon bantuan agar Allah memperkenankan hajat kita. Begitulah yang perlu dilakukan berulang kali setiap tahun yang mana samalah juga dengan ibadat solat yang dilakukan dan diulang setiap hari sepanjang hidup. Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, melainkan kaum itu sendiri membuat perubahan.- tajdid_ |
SELAMAT MENJALANI SESI BARU PERSEKOLAHAN
6 years ago
0 komen:
Post a Comment