Friday, December 31, 2010

Jualan Kenderaan 2011 Dijangka Menurun

PERTUMBUHAN jualan sektor automotif negara dijangka mengalami sedikit penurunan pada 2011 selepas mencatatkan prestasi sangat memberangsangkan pada 2010 dengan jumlah jualan keseluruhan (TIV) kenderaan dijangka melebihi 570,000 unit, iaitu rekod tertinggi yang pernah dicatatkan.


Kalangan penganalisis dan peserta industri berpendapat, jangkaan penurunan itu terutama disebabkan prestasi memberangsangkan yang dicatat tahun ini serta kekurangan petunjuk daripada syarikat pemasang dan pengeluar untuk meningkatkan pengeluaran atau melancarkan model baru.

MIDF Research berkata, berbanding 2010 yang disifatkan prestasi terbaik untuk sektor automotif negara, 2011 lebih dilihat sebagai fasa pengukuhan dengan TIV dijangka berkurangan sedikit kerana kebanyakan pembelian kenderaan sudah dilakukan.



Katanya, ketika kemelesetan ekonomi global pada 2009, ramai yang menangguhkan pembelian kenderaan hingga keadaan ekonomi semakin baik pada 2010 yang sekali gus melonjakkan TIV tahun berkenaan. “Keadaan seperti itu tidak akan berlaku lagi dan momentum jualan akan menuju ke arah kestabilan pada tahun depan,” kata MIDF Research dalam laporan tinjauan sektor automotifnya untuk 2011.

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) meramalkan TIV tahun ini mampu melepasi 570,000 unit, pencapaian paling tinggi yang pernah dicatatkan selepas catatan tertinggi sebelum ini iaitu 552,316 unit pada 2005. Mengikut MAA, setakat November lalu, TIV sudah mencecah 550,391 unit.

MIDF Research berkata, jangkaan sedikit penurunan dalam jualan pada 2011 itu turut berkait dengan ramalan bahawa kadar faedah akan dinaikkan pada separuh kedua tahun depan.
Kenaikan kadar faedah katanya, boleh menjadi faktor yang mempengaruhi jualan kenderaan kerana ia boleh menjejaskan keupayaan pembeli terutama bagi kelompok berpendapatan rendah hingga sederhana.

sumber : bharian.com

0 komen:

Related Posts with Thumbnails

YB ADUN Sura Untuk Semua

 

Arkib Laman

Blog YB ADUN Sura © 2008 | Ripped by SamarQondy | Coordinated by Team IT DUN Sura