Thursday, September 9, 2010

Musa Hassan Nasihatkan Ismail Jangan Jadi 'Pak Turut' Dalam Menjalankan Tugas

KUALA LUMPUR : Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan berharap tiada lagi pihak luar cuba mencampuri hal-ehwal dalaman Polis Diraja Malaysia (PDRM) hingga mengganggu pegawai dan anggotanya melaksanakan tanggungjawab mereka.

 MUSA  (kiri)  menyerahkan dokumen kepada  Ismail   sambil diperhatikan  Mahmood  (dua dari kiri) pada Majlis Serah dan Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Negara, di Bukit Aman, semalam.

Malah, beliau turut menaruh keyakinan tinggi kepada penggantinya, Tan Sri Ismail Omar untuk membawa pasukan polis ke peringkat lebih tinggi, terutama dengan kemahiran dan pengalaman luas dimilikinya.

“Pegawai dan anggota polis harus bekerja berlandaskan undang-undang tanpa membenarkan mana-mana pihak campur tangan. Saya yakin terhadap Ismail (Omar) dan berharap dalam tempoh perkhidmatannya nanti, PDRM bebas daripada campur tangan pihak luar.

“Warga PDRM cukup profesional, beretika dan tahu melaksanakan tanggungjawab mereka. Sebarang bentuk campur tangan pihak luar hanya mendatangkan banyak kerumitan, termasuk menjejaskan imej pasukan,” katanya kepada media kumpulan New Straits Times Press (NSTP), di sini semalam.

Beliau sebelum itu menghadiri majlis serah tugas KPN dengan Ismail yang berlangsung di Mes Pegawai Kanan Bukit Aman, di sini semalam, sambil disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Mahmood Adam.

Isnin lalu, Musa mendakwa wujud pihak ketiga cuba mencampuri urusan dalaman PDRM atas kepentingan individu dan politik mereka, tetapi apabila diminta mendedahkan identiti pihak terbabit, beliau tidak menyatakannya secara jelas, sebaliknya merujuk kepada KDN.
Musa, 58, akan menamatkan perkhidmatannya selama 41 tahun bersama PDRM Ahad ini, selepas kerajaan memutuskan tidak menyambung kontrak perkhidmatannya yang sebelum ini dilanjutkan selama dua kali.

Difahamkan, beliau selepas ini akan memantau projek pembinaan Akademi Latihan Antarabangsa Langkawi (LITA), yang mengkhusus kepada latihan dalam bidang anti perdagangan manusia, jenayah siber, penyeludupan dadah, penggubahan wang haram dan pelbagai jenayah rentas sempadan lain.

Musa turut menasihatkan Ismail supaya bersedia menerima sebarang kritikan dan mengendalikannya dengan bijak tanpa menjejaskan integriti PDRM, selain tidak mudah tunduk atau menjadi `pak turut’ dalam melaksanakan tugas.

“Diharap semua agenda yang dirancang dalam Pelan Strategik Lima Tahun PDRM sebelum ini diteruskan, ke arah usaha penambah baikan dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan setiap pegawai dan anggota, terutama dalam memerangi jenayah, sekali gus mewujudkan persekitaran selamat di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Mahmood pada sidang medianya, menafikan pihaknya campur tangan dalam urusan harian PDRM, malah menganggap apa yang berlaku cuma salah faham.

sumber : bharian.com

0 komen:

Related Posts with Thumbnails

YB ADUN Sura Untuk Semua

 

Arkib Laman

Blog YB ADUN Sura © 2008 | Ripped by SamarQondy | Coordinated by Team IT DUN Sura