Sunday, December 6, 2009

Hanya Kemaman Dan Kuala Terengganu Masih Banjir

KUALA TERENGGANU, 6 Dis (Bernama) - Keadaan banjir di Terengganu semakin pulih dan kini hanya tinggal dua daerah iatu Kemaman dan Kuala Terengganu yang masih dilanda banjir.

Gambar hiasan...YB ADUN Sura meninjau mangsa banjir di pusat
perpindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Bandar Dungun baru-baru ini

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu berkata banjir telah pulih sepenuhnya di daerah Marang, Hulu Terengganu dan Dungun Ahad. Beliau berkata di Kuala Terengganu kini masih terdapat 199 mangsa banjir sementara Kemaman 201 orang.

Katanya semua jalan termasuk jalan utama dari Kuala Terengganu-Kuantan dan Kuala Terengganu-Kota Baharu serta jalan negeri boleh dilalui semua jenis kenderaan.

Semua sungai utama di Terengganu berada diparas biasa, kecuali Sungai Nerus di Kampung Bukit yang parasnya ialah 11.07 meter (paras waspada 11 meter), tambahnya.

Di PAHANG, bilangan mangsa banjir pada Ahad malam tinggal 951 orang apabila 13 orang daripada dua keluarga di Pekan dibenarkan pulang pada pukul 5.45 petang selepas air surut di kediaman mereka.

Menurut jurucakap Pusat Kawalan Operasi Bencana Banjir Pahang, bilangan mangsa banjir di Kuantan pula ialah seramai 820 orang daripada 176 keluarga yang ditempatkan di sembilan pusat pemindahan. Katanya pada pukul 6 petang, 10 keluarga dari pusat pemindahan Sekolah kebangsaan Cherating Baru dan Pusat Bina Insan Jaya Gading telah dibenarkan pulang.

Mangsa lain ditempatkan di Balairaya Kampung Pahang, Sekolah Menengah Kebangsaan Paya Besar, Dewan Orang Ramai Kampung Semangat, Sekolah Kebangsaan Pandan, Balairaya Kampung Soi, Sekolah Menengah Gudang Rasau, Dewan Orang Ramai Sri Damai, Surau Kampung Sri Melati dan Sekolah Agama Al-Siddiq yang mencatatkan mangsa pemindahan paling ramai iaitu 235 orang daripada 49 keluarga.

Katanya, mangsa banjir di daerah Bera kekal 131 orang daripada 30 keluarga dari Kampung Paya Tateh yang ditempatkan di Kompleks Rakan Muda Kerayong.

- BERNAMA

0 komen:

Related Posts with Thumbnails

YB ADUN Sura Untuk Semua

 

Arkib Laman

Blog YB ADUN Sura © 2008 | Ripped by SamarQondy | Coordinated by Team IT DUN Sura