oleh DATO' SERI TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG
Jangan ada mereka yang tercicir kerana kemiskinan dan berlakunya diskriminasi. Galakan untuk peningkatan kemajuan ilmu hendaklah ditingkatkan bukan sahaja menyediakan bangunan-bangunan termasuklah juga kemudahan yang lain di samping menggalakkan semua pihak yang berkemampuan menceburkan diri dalam bidang pelajaran dan pendidikan.
Akta pendidikan yang digubal pada tahun 90-an bagi mengongkong dan membelenggu aktiviti pendidikan dan perkembangannya semata-mata untuk kepentingan politik hendaklah dikaji semula.
Bagi penganut Islam tidak ada pemisahan agama daripada ilmu dan duniawi. Bahkan peranan agamalah yang melahirkan profesional yang bertanggungjawab dalam urusan duniawi. Pemisahan Islam daripada ilmu duniawi masih wujud dalam sistem pendidikan negara.
Pendekatan Islam Hadhari (sebelum ini) adalah cara berorientasikan sekularisme dengan pelaksanaan Islam secara terpilih bukan secara ibadah dan menyerah diri kepada Allah SWT yang menjadi objektif kepada Islam. Iaitu hanya mengambil Islam yang dilihat dalam aspek tamadun kebendaan pada zaman silam, tanpa Islam itu menjadi dasar konsep dalam amalan menyeluruh.
Tidak memenuhi keperluan Islam yang menjadi hidayah kepada ilmu menyebabkan ilmu itu tidak dibina dan dibentuk di atas akidah yang tepat dan beramalkan syariat Allah dengan kebijaksanaan yang berpandukan petunjuk secara nas dan akal yang diizinkan mengikut kemampuan manusia yang tepat mempunyai kelemahan. Tanpa konsep kesempurnaan Islam menjadikan keadaan terus menerus dibelenggu kegagalan. Maka Islam pula yang dipersalahkan.
Pendekatan itu akan mengalami nasib yang sama dengan agenda Islamisasi yang terbatas. Slogan 'Bersih, Cekap dan Amanah' walaupun amanah itu adalah sifat nabi dan rasul, kepimpinan melalui teladan, qudwah seterusnya sesat dalam slogan berkhidmat untuk negara dan kembali semua kepada Islam Hadhari dengan tahap yang tersebut.
Mereka yang menaja Islam Hadhari menghilangkan diri dan pimpinan yang ada terpaksa dibelenggu bebanan laksanan memikul biawak hidup selagi sistem pendidikan yang tidak menjadi acuan pembangunan insan mengikut fitrah nalurinya. Maka seterusnya tetap akan menemui kegagalan walaupun menyediakan peruntukan besar.
Pendidikan dan pelajaran dalam membangun keperibadian manusia yang disebut dengan pembangunan insan mestilah memenuhi naluri kejadian mereka dan mengikut peranan mereka di atas muka bumi ini. Manusia tidak bukan sahaja mempunyai hak yang perlu diisi perutnya dengan keperluan makanan, minuman, pakaian dan tempat kediaman, kemudahan berpindah dan berkomunikasi.
Pada masa yang sama mereka memerlukan makanan roh dan akal. Mengadakan hubungan dengan Penciptanya iaitu Allah SWT, hubungan hati nurani dengan sekelilingnya di kalangan manusia dan mahkluk-makhluk yang lain termasuk alam sekitar dengan akhlak yang mulia.
Keperluan kebendaan juga berbeza antara manusia dengan binatang, tumbuh-tumbuhan. Melanggar batasnya secara haram membawa penyakit yang membahayakan diri sendiri yang dapat dirasai dan diketahui sendiri bagaimana bahaya dan merebaknya dewasa ini. Maka sistem pendidikan hendaklah dikali sepanjang masa kerana ada perkara yang tetap dan ada perkara yang sentiasa berubah mengikut keadaan semasa.
Sistem pendidikan bukan sahaja untuk memenuhi keperluan kerja lahir bagi keperluan hidup yang perlu dimajukan dalam masa yang sama juga membina jati diri manusia bagi menghadapi cabaran hidup dan mati. Walaupun kerajaan tidak boleh beri kerja, jikalau dia ada jati diri, dia boleh membangun diri dia sendiri.
Usaha mengilmukan rakyat sebanyak-banyaknya hendaklah dengan saluran yang mudah tidak memakan masa yang banyak. Di sinilah peranan bahasa kebangsaan dan bahasa ibunda yang sepatutnya menjadi bahasa ilmu bagi negara kita. Di samping bahasa ibunda mengikut kaum yang ada penguasaan bahasa asing juga perlu bagi mengambil ilmu dan kebijaksanaan daripada perkembangan ilmu di seluruh dunia.
Usaha melalui PPSMI untuk menjadikan rakyat seramai-ramainya mampu berbahasa Inggeris sahaja adalah kerja rugi masa dan duit serta melambatkan perkembangan ilmu dalam masyarakat umum di negara kita. Sebaliknya membawa kesan negatif yang kebih besar melalui dunia tanpa sempadan dengan penjajahan ilmu dan budaya yang memerangkap negara.
Dalam penaklukan penjajahan moden melalui teknologi maklumat bukan memperkasakan rakyat dengan jati diri berlandaskan iman, akhlak dan ilmu yang memberi manfaat kerana segelintir sahaja yang menguasai bahasa ilmu melalui bahasa Inggeris dan paling ramai menyalahgunakan pengetahuan bahasa Inggeris.
Menguasai ilmu adalah seberat-berat untuk seberapa rakyat mestilah dengan bahasa sendiri. Itulah cara mudah cepat sepatutunya peranan Dewan Bahasa dan Pustaka hendaklah didukung kepada mengembalikan bahasa kebangsaan menjadi bahasa ilmu di rantau ini seperti pernah belakunya dalam sejarah sehingga bahasa ini digunakan menjadi bahasa ilmu oleh ratusan juta penduduk di kawasan ini.
Pengumuman menghapuskan PPSMI tanpa usaha yang sebenarnya memperkasakan bahasa kebangsaan tidak memenuhi hasrat yang sebenar. Kerajaan tidak seharusnya melambatkan usaha memperkasakan bahasa kebangsaan kerana meraikan pimpinan yang salah dalam tindak tanduk mereka.
Menangguhkan perkara yang sepatutnya adalah langkah yang sangat salah bagi kepentingan negara dan sangat malang sekiranya kita tidak ada jati diri dalam memaruahkan bahasa kita sendiri. Dahulu kita pernah melaungkan slogan Bahasa Jiwa Bangsa.
Kita melihat menggunakan bahasa kebangsaan tidak digalakkan di kalangan pemimpin-pemimpin bukan sahaja di luar negara malah di dalam negara. Kita melihat di luar negara pun, bagaimana pemimpin negara asing berucap di Bangsa-Bangsa Bersatu pusingan antarabangsa.
Walaupun mereka menguasai bahasa Inggeris, Perancis, bahasa Cina, bahasa yang dibenarkan di peringkat antarabangsa, mereka juga menggunakan bahasa ibunda untuk menunjukkan jati diri mereka bahasa mereka adalah orang yang berjiwa bangsanya. Di sinilah semangat Bahasa Jiwa Bangsa, itu bukan tempat kita hendak tunjuk 'act'. Hendak tunjuk 'act' kena tempat yang lain dan tempat yang munasabah.
Sedutan dari ucapan Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Bajet 2010 oleh Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang dibukukan.
0 komen:
Post a Comment