Friday, December 4, 2009

Berjuanglah Untuk Menegakkan Agama Allah

by : http://presiden.pas.org.my

Orang yang memberi sumbangan harta benda pada jalan Allah SWT diberi pahala sampai kepada 700 kali ganda di mana kebiasaannya amal yang baik itu digandakan dengan 10 kali ganda tetapi pengorbanan harta benda kerana meninggikan agama Allah diberi pahala sampai kepada 700 kali ganda.

news menu righttop news photographyAllah Taala berfirman dalam al-Quran bermaksud : "Jangan kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan." (Al-Baqarah ayat 195)

Makna mencampakkan diri ke dalam kebinasaan ialah kamu tidak menjalankan tugas jihad. Tetapi ada manusia menyalahgunakan ayat ini. Mereka berkata, tidak ada gunanya kita berjuang untuk Islam nanti, kita akan dipenjarakan, ditukar tempat kerja atau dibuang kerja dan sebagainya sedangkan Allah Taala mengatakan jangan kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan.

Inilah cara bagaimana cakap-cakap yang berdalilkan ayat dengan cara yang salah kerana ayat ini mempunyai hubungan dengan menegakkan agama Allah SWT, bahkan orang yang tidak berani menegakkan agama Allah itulah orang yang mencampakkan diri mereka ke dalam kebinasaan.

Pernah diriwayatkan ketika orang-orang Islam berperang dalam rangka menawan kota Konstantinople (Istanbul, Turki) tiba-tiba orang Islam berdepan dengan tentera Rom yang terlalu ramai.

Ada antara orang Islam itu seorang pahlawan yang terlalu berani. Dia terus masuk ke dalam tentera Rom yang ramai secara bersendirian sehingga dia dibunuh oleh tentera Rom, lalu orang ramai mengatakan, kenapa dia sanggup membinasakan dirinya? Tidakkah Allah mengatakan dalam al-Quran : " Jangan kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan." (Al-Baqarah ayat 195)

Kebetulan di dalam peperangan itu ada seorang sahabat yang bernama Abu Ayub al-Ansari r.a iaitu sahabat yang diberi kelebihan ketika Rasulullah s.a.w berhijrah di mana baginda s.a.w bermalam di rumah sahabat itu sebelum baginda memiliki rumahnya sendiri di kota Madinah. Semasa Abu Ayub meniti usia tua, beliau juga hadir sama dalam peperangan dengan tentera Rom.

Apabila beliau mendengar seseorang membaca ayat tersebut, dia naik radang sambil berkata: "Wahai manusia! Sesungguhnya kamu telah mentakwilkan ayat ini dengan takwil yang begitu rupa. Sesungguhnya ayat ini diturunkan kepada kami golongan Ansar ketika kami telah mendapat ganjaran daripada Allah ketika Allah memenangkan agama-Nya dan ramai orang yang menolong agama-Nya maka berkatalah sesetengah kami terhadap sesetengah yang lain.

"Kami berbisik sesama kami dengan tidak diketahui oleh baginda Rasulullah s.a.w bahawasanya harta manusia sudah banyak. Kita ketinggalan dalam masalah harta benda kerana mementingkan jihad, tidak menguruskan kebun dan perniagaan dengan baik.

"Sesungguhnya Allah memberi kemenangan kepada Islam dan orang yang menegakkan agama Islam juga sudah ramai maka langkah sebaiknya kita semua tinggal di Madinah, tidak payah lagi berperang seperti biasa. Kita serahkan urusan jihad itu kepada orang lain kerana kita mahu membaiki dan menjaga kebun kita dan apa yang ketinggalan selama ini dalam harta benda, kita dapat mengatasinya semula."

"Justeru, Allah SWT menurunkan ayat ini kepada Nabi-nya sebagai menolak apa yang kami katakan:"Dan berbelanjalah kamu pada jalan Allah dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan."

Abu Ayub r.a adalah serorang sahabat yang berani di mana ketika dalam keadaan sakit beliau mewasiatkan supaya dikebumikan mayatnya di tepi kota itu (kota musuh), jangan dibawa pulang mayatnya ke Madinah. Ini kerana beliau mahu kuburnya dipijak oleh kuda-kuda tentera Islam yang meneruskan perjuangan Islam, menawan kota tersebut dari tangan musuh.

Orang Islam berjihad beratus-ratus tahun lamanya untuk menawan kota Konstantinople kerana kerajaan Rom Timur mempunyai teknologi yang kuat dan lebih daripada orang Islam. Mereka mempunyai berbagai-bagai senjata moden pada zaman itu antaranya mereka boleh melontarkan peluru api yang boleh bernyala di dalam air sehingga kapal-kapal tentera Islam terbakar.

Akhirnya Allah SWT memberi kurniaan kepada Sultan Muhammad al-Fateh iaitu Sultan kerajaan Islam Uthmaniyah yang memimpin tentera Islam dalam usia 20-an. Baginda diberi kelebihan yang dijanjikan oleh Rasulullah s.a.w bahawa baginda boleh menawan kota itu semula dan memimpinnya.

Setelah kota itu ditawan orang Islam, mereka menukar namanya kepada Istanbul dan gereja Es Sophia yang besar itu telah ditawan oleh orang Islam. Patung-patung yang dibina di dalam dan persekitarannya di buang serta ia ditukar menjadi masjid yang agung hingga ke hari ini.

Sehingga sekarang masjid itu dikenali dengan Masjid Al-Fateh atau Masjid Es Sophia tetapi sayangnya apabila Mustafa Kamal Ataturk berkuasa di Turki, dia telah menjadikan masjid itu sebagai muzium. Tetapi alhamdulillah setelah orang Islam kembali sedar, muzium itu ditukar semula kepada masjid.

Berdasarkan kepada ayat yang ditafsirkan ini dan berdasarkan kepada riwayat Abu Ayub, orang Islam boleh menunjukkan keberanian sehingga keperingkat mati menentang musuh yang lebih ramai jika sekiranya tindakan itu memberi semangat kepada tentera-tentera Islam yang lain.

Memang berlaku di kalangan orang Islam apabila hatinya terlalu kuat hubungannya dengan Allah SWT dengannya, yang dia nampak ialah balasan baik daripada Allah dan janjinya, apabila berlakunya hubungan langit dan bumi yang terlalu erat dan tidak ada pemisahan lagi, maka seseorang itu tidak akan takut lagi kepada mati.

Inilah yang pernah dinyatakan oleh ulamak sebagaimana yang disebut oleh as-Syahid Saiyid Qutb di dalam buku-buku tulisannya. Apabila bumi berhubung dengan langit, apabila hati itu bulat kepada Allah SWT, maka dia tidak mengira mati lagi dalam menegakkan diri dalam kebinasaan.

Kesimpulannya, mencampakkan diri ke dalam kebinasaan ini ialah ditujukan kepada orang yang tidak berjihad dan tidak memberi sumbangan harta benda serta jiwa raganya untuk meninggikan agama Allah. FirmanNya yang bermaksud : "Berbuat baiklah kamu, sesungguhnya Allah kasih kepada orang yang berbuat baik." (Al-Baqarah ayat 195)

Di antara berbuat baik itu ialah membelanjakan harta benda kepada menegakkan agama Allah SWT dan sesungguhnya Allah amat suka dan kasih kepada orang-orang yang suka berbuat baik.

--------------------------------------------------------------------------------------------

Dipetik daripada buku "Kuliah Tafsir, Tauhid Rububiyah dan Tauhid Uluhiyah", halaman 173-178, terbitan Dewan Muslimat Sdn Bhd, 1999.

0 komen:

Related Posts with Thumbnails

YB ADUN Sura Untuk Semua

 

Arkib Laman

Blog YB ADUN Sura © 2008 | Ripped by SamarQondy | Coordinated by Team IT DUN Sura