by MerdekaReview
Pakatan Rakyat menyediakan suatu rencana dasar dan kebijakan untuk membawa keluar bangsa dan negara dari kemelut yang semakin meruncing.
Agenda pembangunan bangsa telah tergelincir akibat dari faham perkauman sempit, politik adu domba dan "demokrasi otoritarian". Ekonomi merudum akibat dari keruntuhan akal budi, kerakusan rasuah dan kebijakan-kebijakan usang yang menyebabkan Malaysia tercicir ke belakang dari ekonomi-ekonomi rancak serantau.
Ketidakadilan ekonomi semakin ketara dengan melebarnya jurang antara golongan kaya dengan miskin, antara bandar, desa dan pendalaman antara Semenanjung dan Sabah dan Sarawak.
Peningkatan jenayah mengancam keselamatan nyawa dan harta rakyat kerana pasukan polis disalahgunakan untuk tujuan politik sempit. Kewibawaan dan kebebasan sistem kehakiman terus digasir oleh campur tangan politik dan kepentingan perniagaan.
Setengah abad Malaysia merdeka dan berdaulat sewajarnya mendewasakan. Ini diterjemahkan manakala rakyat dari pelbagai kaum mempamerkan semangat baru meleburkan kerangka pemikiran usang dan jumud, menolak kerakusan kuasa, merebaknya rasuah, merompak khazanah negara dan menginjak hak rakyat.
Menginsafi semangat rakyat tersebut maka Pakatan Rakyat mengikrarkan iltizam kami untuk menghayati dan melaksanakan agenda politik baru ke arah menggembleng tenaga rakyat dari pelbagai kaum, agama dan budaya yang dilihat sebagai satu kekuatan.
Malah kami yakin; kita mampu berubah dari dasar perkauman sempit kepada kerukunan hidup beragama, nilai kemanusiaan, berlandaskan prinsip akhlak dan etika hak asasi, prinsip negara hukum tanpa memilih darjat, kaum atau kelompok. Dasar yang terpasak dari kepatuhan kepada Perlembagaan dan prinsip-prinsip keadilan sejagat akan menjamin keluhuran undang-undang dan kebebasan sistem kehakiman, sebagaimana ia menjamin hak-hak asasi manusia dan maruah rakyat kekal terbela dan dimartabatkan.
sila baca artikel penuh...di sini
0 komen:
Post a Comment