Setelah masuk hari yang keempat kempen pilihan raya kecil Dun Permatang Pasir, kelibat Presiden Umno, Dato' Seri Najib Tun Razak masih tak kunjung tiba. Walaupun Najib diserang hebat dengan istilah 'PM B1N1' dan desakan agar mengadakan sidang parlimen khas membincangkan kes H1N1, namun medan terbaik untuk Najib buat penjelasan di Permatang Pasir tidak digunakan langsung.
Sebaliknya, Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin 'keseorangan' terhegeh-hegeh mempertahankan tuduhan ke atas calon BN, Rohaizat Othman berhubung salah laku penyelewengan membabitkan akaun pekebun kecil di sini.
Malah lebih ajaib dan pelik, dalam risalah kempen BN 'Suara Permatang Pasir' yang pertama yang diedar pada 17 Ogos dimuka surat hadapan tertera tulisan 'Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin' menjulang tangan Calon BN'.
Samada berlaku 'typing error' atau ia disengajakan, pastinya Umno/BN mempunyai 'mashinenary' yang cukup lengkap termasuk editing yang baik bagi risalah mereka.
Atau sebenarnya, timbul persoalan bahawa Muhyiddin mahu menjadikan kempen kali ini dengan 'sungguh-sungguh' seperti mana beliau bersungguh menjatuhkan Tun Abdullah Ahmad Badawi satu ketika lalu dengan kenyataan desakan agar bekas PM itu berundur.
Muhyiddin satu watak yang sukar dijangka, dalam pada ramai yang menyebut beliau 'orang pak lah' akhirnya senjata beliau menyembelih hayat politik Pak Lah.
Di Permatang Pasir, tidak mustahil boleh menjadi platform kepada Muhyiddin menyerang secara senyap bossnya (Najib) yang dikelilingi skandal dan virus 'B1N1' yang cukup kronik.
Dalam pada kempen berjalan dengan BN menggunakan media menyerang Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato'Nik Abdul Aziz Nik Mat, Muhyiddin cukup selesa menekan dan merampas kekuasaan melateri agendanya.
Wajah garang yang sebenar Muhyiddin sudah kelihatan, keceluparannya menggunakan bahasa yang sudah mula kasar membuatkan ramai yang meluat dengan 'mukanya'.
Beliaulah kini orang yang paling kuat mengecam Tok Guru, dan tak sudah menyerang sahabat lamanya, Dato' Seri Anwar Ibrahim yang bersama dalam Team Wawasan dalam Umno dahulu.
Strategi menyerang oleh Muhyiddin disambut Anwar dengan tidak mengecam keperibadian Muhyiddin, sebaliknya Najib terus menjadi sasaran selaku 'kepala Umno'.
Nama 'First Lady', Datin Seri Rosmah Mansor terus menjadi 'sensasi' dan disensasikan lagi apabila beliau dikritik mengawal pergerakan Najib memerintah negara.
Seperti kata Naib Presiden PAS, Dato'Mahfuz Omar bahawa Najib diserang virus takut 'B1N1',sekaligus serangan ini menggembirakan Muhyiddin sebenarnya.
Namun,tidak pelik mengapa Najib enggan 'campur tangan' sangat dalam kemelut calon dan kempen BN di Permatang Pasir ini memandangkan, kebimbangan jelas pada Umno/BN akan majoriti besar yang dimiliki Pakatan Rakyat di Permatang Pasir.
Segunung wang yang bakal dilempahkan jentera BN di sini, sekurang-kurangnya boleh mensabitkan Muhyiddin selaku 'tauke' Umno di Permatang Pasir dengan unsur rasuah.
Pastinya ini salah satu senjata Najib yang disimpan dengan membiarkan timbalannya berkhayal dan memerangkap diri tatkala tugas dibebankan ke atas bahu Muhyiddin itu.
Jika BN kalah di Permatang Pasir, Najib boleh cuci tangan, Muhyiddin dan Naib Presiden Umno, Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pastinya 'pesalah' yang akan disalahkan.
Namun, jika wakil BN menang atau dapat mengurangkan majoriti wakil PAS, Ustaz Mohd Salleh Man, pastinya jantung Najib akan berdenyut kencang dengan kebimbangan nama Muhyiddin akan dilonjak sebagai 'hero' Umno.
Tetapi, mungkin Muhyiddin lupa pertaruhan BN di Permatang Pasir yang dicanang sebagai Peguam Syarie ini adalah 'ayam sabung' yang bergelumangan tahi di ekornya. |
0 komen:
Post a Comment