SHAH ALAM : Pasukan inkues kematian Teoh Beng Hock, setiausaha politik kepada Exco kerajaan Selangor, meneruskan inkues buat hari keempat pagi ini dengan meninjau lokasi kematian mendiang di Plaza Masalam di sini selama kira-kira sejam.
tinjauan di lokasi kematian Teoh Beng Hock di Plaza Masalam, Shah Alam, pagi tadi.
--fotoTHE STAR oleh AZHAR MAHFOF
Bagaimanapun pada akhir tinjauan itu, peguam yang mewakili keluarga Teoh, Gobind Singh Deo tidak berpuas hati dengan hasil siasatan pihak polis berhubung kematian Teoh, yang ditemui mati di koridor Tingkat 5 plaza itu 16 Julai lalu.
Beliau berkata, berdasarkan tinjauan pasukan inkues yang diketuai Koroner Azmil Muntapha Abas di tempat kejadian pagi tadi terdapat beberapa perkara yang perlu disiasat dengan lebih lanjut oleh pihak polis, yang mungkin boleh membantu menentukan punca kematian Teoh.
"Kami melihat secara teliti tempat kejadian iaitu di tingkat 14 yang menempatkan pejabat SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan juga tingkat 15 yang turut dikatakan terdapat sebahagian pejabat mereka.
"Kami juga telah meninjau di tempat mayat ditemui.
"Pada masa itu kami memohon agar pihak polis menyiasat dua atau tiga perkara baru yang kita lihat... saya rasa polis akan beri bantuan dan kerjasama," katanya ketika ditemui selepas tinjauan itu.
Tinjauan ke lokasi kejadian di Plaza Masalam itu diadakan dalam tempoh lebih satu jam.
Ditanya apakah perkara-perkara baru yang ditemuinya itu, Gobind bagaimanapun enggan mengulas lanjut.
"Saya tak boleh beri butir-butir lanjut tentang isu itu, saya rasa ia masih dalam siasatan polis," katanya.
Gobind juga kesal kerana sehingga kini siasatan pihak polis hanya menjurus kepada teori Teoh mati akibat terjatuh dari bangunan tinggi dan juga bunuh diri tanpa membuat andaian terdapat punca lain.
"Teori itu kita tahu, tak ada masalah, tapi kita tak lihat ada permintaan kepada saksi-saksi untuk menimbangkan kemungkinan bahawa kes ini adalah satu kes bunuh atau kes di mana seseorang itu dibunuh atau ditolah dari tempat tinggi.
"Ini menjadi satu masalah kepada kami, setiap saksi yang hadir untuk memberi keterangan hanya menghala kepada permintaan polis... maksud saya hanya terikat kepada permintaan polis iaitu untuk menjawab kepada soalan sama ada betul atau tidak Teoh mati akibat terjatuh dari bangunan tinggi atau bunuh diri," katanya.
Gobind bagaimanapun tidak menolak kemungkinan untuk memohon kepada mahkamah supaya meminta siasatan lanjut dijalankan serta memanggil kembali saksi-saksi yang berkaitan dengan siasatan kimia.
"Sekiranya perlu kita akan minta koroner supaya siasatan lanjut dijalankan... kita akan teruskan dengan teori kita.
"Semalam kita lihat kemungkinan yang dibangkitkan di mahkmah itu ada.
"Mungkin juga bukan mereka tak mahu siasat tapi mungkin terlepas pandang... itu jadi satu yang memudaratkan kepada kes ini," katanya.
Jelas beliau pada prosiding yang akan disambung semula Isnin depan, pihaknya bersedia untuk mendengar keterangan saksi-saksi lain dalam inkues berkenaan.
0 komen:
Post a Comment