KUALA LUMPUR, 26 Jan : Gabungan Mahasiswa Islam
SeMalaysia (Gamis) hari ini menyatakan kesediaan menjadi penganjur
debat antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Ketua
Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengerusi Majlis Politik Nasional gabungan itu, Muhammad Hafizuddin
Muhamed Noor berkata, debat antara kedua-dua pemimpin itu sangat dinanti
oleh rakyat apatah lagi golongan mahasiswa.
"Golongan mahasiswa sangat ternanti-nanti pendirian Datuk Seri Najib berkenaan kesediaan beliau untuk menyertai debat tersebut, Datuk Seri Anwar sudah lama menyatakan hasrat beliau.
"Mahasiswa bersedia untuk menjadi penganjur debat ini," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.
Beliau mengulas kajian yang dikendalikan Merdeka Center terhadap Profesional Melayu yang mahu debat antara kedua pemimpin politik tanah air itu direalisasikan.
Menurut Hafizuddin, selain kaedah terbaik meraikan perbezaan, debat juga ujarnya boleh menjadi medan penilaian bagi masyarakat khususnya anak muda untuk memilih kepimpinan yang akan menerajui tampuk pemerintahan negara kelak.
Melalui beberapa perbincangan dan 'survey' di peringkat kepimpinan mahasiswa yang dijalankan mereka, pengesyoran debat disambut baik di peringkat kampus masing-masing.
Dalam pada itu beliau berharap debat tersebut jika berjaya diadakan, hanya fokus kepada isu-isu kenegaraan yang melibatkan rakyat dan kebajikan rakyat, dan bukan perdebatan berkenaan isu peribadi.
"Justeru, pihak Gamis mengesyorkan agar mahasiswa dapat bersinergi dalam menjayakan budaya ilmiah ini andai kedua-dua pemimpin besar parti (Najib dan Anwar) bersedia untuk berhadapan antara satu sama lain dalam debat politik.
"Kami juga menolak mana-mana idea yang menyatakan idea debat adalah tidak diguna pakai di Malaysia," katanya.
sumber : harakahdaily.net
0 komen:
Post a Comment