Untuk kesekelian kalinya, Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak dengan tanpa segan silu mengulangi lagi seruannya supaya Parti Islam SeMalaysia (PAS) bekerjasama dengan UMNO-BN dan meninggalkan kerjasama PAS menerusi Pakatan Rakyat (PR).
Bagi PAS, seruan Dato'Seri Najib itu adalah janggal dan aneh, kerana PAS sekali-kali tidak akan bekerjasama dengan UMNO-BN dalam melakukan kezaliman dan meruntuhkan keadilan kepada rakyat yang telah menjadi bencana dalam negara kita yang tercinta ini. Kerjasama atau penyatuan seharusnya dibina dengan bercirikan asas bertolong-tolong dalam melakukan kebajikan dan keadilan, dan bukan bertolong-tolong dalam melakukan maksiat, kezaliman dan memusnahkan harta negara.
PAS mendokong fikrah yang jelas, bahawa kerjasama bersama PR adalah dibina dengan berpegang kepada dasar bantu-membantu dalam menegakkan keadilan dan menentang kezaliman. Kerjasama PAS selama ini dengan DAP contohnya, adalah di atas nama tahaluf siyasi yang dibenarkan agama dan tidak menggadaikan prinsip. Ia tidak sama dengan kerjasama wala' antara UMNO dengan MCA dan MIC yang menggadaikan prinsip Islam, hanyut dengan kuasa dan seterusnya menghilangkan jati diri Melayu-Islam dalam negara kita ini sejak puluhan tahun.
Kita ingin bertanya, siapakah yang sebenarnya menggunakan kuasa tanpa hak dengan menyekat royalti minyak milik rakyat Terengganu dan Kelantan, yang lebih dari 90% adalah orang Melayu-Islam ?. Siapakah pula yang mendiskriminasikan penyokong pembangkang di kalangan orang Melayu sehingga peluang berniaga, pendidikan, pengagihan ekonomi hanya tertumpu di kalangan UMNO-putra ?. Siapakah yang menyekat Kelantan dan Terengganu melaksanakan syariat Islam sebelum ini? Jawapannya adalah kerajaan pimpinan UMNO-BN itulah yang sebenarnya melemahkan orang Melayu itu sendiri.
Maka, sebaliknya saya menyeru kepada ahli-ahli dan pemimpin UMNO supaya meninggalkan parti itu dan bersama PAS jika benar-benar hendak melaksanakan Islam dan menegakkan keadilan untuk semua bangsa di negara ini. Jika benar UMNO hendak laksanakan Islam dan bertindak dengan penuh keadilan, kuasa sudah ada ditangan mereka hari ini, mengapa mereka tidak laksanakan?
Abdul Hadi Awang
27 J'Awal 1432 / 1 Mei 2011
sumber : facebook.com/hadipas
0 komen:
Post a Comment