Wednesday, June 9, 2010

Wartawan Veteran White House Bersara Mengejut Ekoran Kenyataan Pedas Terhadap Israel

Wartawan veteran White House, Helen Thomas yang membuat liputan sejak Presiden John F. Kennedy sehingga Barack Obama bersara secara mengejut semalam setelah kenyataan pedasnya mengenai Israel menimbulkan kecaman hebat.

Thomas, 89, anak kepada pendatang dari Lebanon, menjadi perintis bagi wartawan wanita yang membuat liputan tentang politik AS.

Namun kerjayanya berakhir setelah beliau memohon maaf berikutan kenyataannya pada bulan lepas yang menyentuh supaya Israel patut 'berambus dari Palestin'.

"Perlu diingat, penduduk Palestin dijajah di bumi mereka sendiri, bukan bumi Jerman dan bukan bumi Poland.

"Mereka (rakyat Israel) boleh balik ke Poland, Jerman dan Amerika dan tempat lain," kata Thomas.

Kenyataan beliau mengenai Israel dibuat semasa 'Sambutan Warisan Yahudi' di White House pada 27 Mei lalu dan kemudian disiarkan dalam rakaman video YouTube minggu lepas.

Tempat duduk Thomas di barisan hadapan di bilik taklimat White House kosong semalam, apabila beliau sendiri menjadi bahan berita setelah setengah abad mengajukan soalan-soalan tajam kepada Presiden dan setiausaha akhbar White House.

Persaraan Thomas, wartawan yang paling lama membuat liputan di White House, diumumkan oleh Hearst Corp., di mana beliau berkhidmat sebagai kolumnis akhbar selepas menghabiskan hampir seluruh kerjayanya dengan United Press International (UPI).

Soalan Thomas kepada Obama semasa sidang media di East Room, White House pada 27 Mei lalu kini dipercayai soalan terakhirnya kepada seorang Presiden AS.

"Tuan Presiden, bila tuan akan membawa kita keluar dari Afghanistan? Mengapa kita terus membunuh dan mati di sana? Apakah alasan sebenarnya?

"Jangan beri kami alasan seperti yang diberikan oleh Bush, 'jika kita tidak pergi ke sana, mereka (militan) semua akan datang ke sini'," kata Thomas. - AFP

sumber : utusan.com

0 komen:

Related Posts with Thumbnails

YB ADUN Sura Untuk Semua

 

Arkib Laman

Blog YB ADUN Sura © 2008 | Ripped by SamarQondy | Coordinated by Team IT DUN Sura