Sunday, January 9, 2011

Anggota Kongres Amerika Ditembak, Enam Terbunuh

TUCSON, 9 Jan - Seorang lelaki melepaskan tembakan ke atas anggota Kongres Amerika Syarikat (AS) wanita yang sedang mengadakan pertemuan dengan penduduk kawasannya di luar kedai runcit di sini, membunuh seorang hakim mahkamah persekutuan dan lima yang lain.

Seorang mangsa tembakan di Tucson dibawa ke hospital
menggunakan helikopter - Foto Reuters

Meskipun kejadian menembak di tempat awam bukan sesuatu yang luar biasa, tetapi rakyat AS menimbulkan persoalan sama ada ia kejadian akibat politik pecah belah negara itu.

Anggota Kongres itu, Gabrielle Giffords dari parti Demokrat berada dalam kritikal, tetapi pegawai perubatan optimistik beliau boleh diselamatkan.

Laporan awal menyebut wakil rakyat itu menjadi sasaran penembak tersebut.

Wakil rakyat itu merupakan antara 13 orang yang cedera dalam kejadian tembak.

Turut cedera seorang budak perempuan berusia sembilan tahun dan pembantu wakil rakyat itu.

Giffords, 40, merupakan wakil rakyat penggal ketiga, memenangi pilihan raya separuh penggal November lalu dengan majoriti tipis.

Anggota itu menyatakan sokongan ke atas usaha pentadbiran White House memperkenalkan rang undang-undang kesihatan yang menjadi kontroversi.

Kemarahan ke atas beliau dikatakan meningkat termasuk pejabatnya di Tucson turut menjadi sasaran dipecah masuk Mac lalu dan baru-baru ini seorang muncul dengan pistol pada majlis dihadiri beliau.

Polis berkata pihaknya telah menahan penembak, dikenal pasti sebagai Jared Loughner, 22.

Dia dikatakan menggunakan pistol 9mm untuk menyerang mangsanya.

Tujuan dia bertindak demikian belum dikenal pasti.

Bagaimanapun menurut Syerif Clarence Dupnik dari Pima County, penembak itu seorang yang tidak waras dan kemungkinan tidak bertindak seorang diri.

Presiden AS Barack Obama menyifatkan kejadian itu satu tragedi kepada negaranya.

“Ia satu tragedi bagi Arizona, dan satu tragedi bagi seluruh negara,” isytihar Obama.

Mereka yang terbunuh dikenali sebagai John Roll, 63, iaitu hakim persekutuan; Gabriel Zimmerman, 30, pengarah program komuniti Giffords; Dorwin Stoddard, 76, pastor Gereja Mountain Ave; Christina Greene, 9, murid Mesa Verde Elementary; Dorthy Murray, 76; dan Phyllis Scheck, 79.

Giffords kali pertama dipilih sebagai anggota Dewan Perwakilan Arizona pada 2000 dan senat negeri dua tahun kemudian.

Pada 2006, beliau kelahiran Tucson, memenangi pilihan raya Kongres AS dan mendirikan rumah tangga dengan angkasawan Mark E. Kelly dari New Jersey tahun berikutnya.

Sebelum kejadian ini, yang berlaku semalam (waktu AS), antara Kongres yang pernah menjadi mangsa tembakan ialah Senator Charles Sumner, wakil Republikan iaitu pada 22 Mei 1856.

Pada 1 Mac 1954, lima anggota Kongres cedera apabila empat rakyat Puerto Rican melepaskan tembakan di bangunan Capitol, Washington DC dan pada 18 November 1978, Leo Ryan, anggota

Kongres Demokrat dari California dan empat yang lain terbunuh di Guyana.

Wakil Demokrat New Jersey, Donald M. Payne terselamat serangan mortar ketika mengadakan lawatan ke Mogadishu, Somalia pada 13 April 2009 dan pada 22 Mac lalu, wakil Republikan Eric Cantor berkata, peluru menembusi pejabat kempennya di Richmond dan menerima e-mel ugutan.

sumber : themalaysianinsider.com

0 komen:

Related Posts with Thumbnails

YB ADUN Sura Untuk Semua

 

Arkib Laman

Blog YB ADUN Sura © 2008 | Ripped by SamarQondy | Coordinated by Team IT DUN Sura