Monday, December 7, 2009

Video Ucapan TGNA 5 Disember, 2009


Sunday, December 6, 2009

Hanya Kemaman Dan Kuala Terengganu Masih Banjir

KUALA TERENGGANU, 6 Dis (Bernama) - Keadaan banjir di Terengganu semakin pulih dan kini hanya tinggal dua daerah iatu Kemaman dan Kuala Terengganu yang masih dilanda banjir.

Gambar hiasan...YB ADUN Sura meninjau mangsa banjir di pusat
perpindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Bandar Dungun baru-baru ini

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu berkata banjir telah pulih sepenuhnya di daerah Marang, Hulu Terengganu dan Dungun Ahad. Beliau berkata di Kuala Terengganu kini masih terdapat 199 mangsa banjir sementara Kemaman 201 orang.

Katanya semua jalan termasuk jalan utama dari Kuala Terengganu-Kuantan dan Kuala Terengganu-Kota Baharu serta jalan negeri boleh dilalui semua jenis kenderaan.

Semua sungai utama di Terengganu berada diparas biasa, kecuali Sungai Nerus di Kampung Bukit yang parasnya ialah 11.07 meter (paras waspada 11 meter), tambahnya.

Di PAHANG, bilangan mangsa banjir pada Ahad malam tinggal 951 orang apabila 13 orang daripada dua keluarga di Pekan dibenarkan pulang pada pukul 5.45 petang selepas air surut di kediaman mereka.

Menurut jurucakap Pusat Kawalan Operasi Bencana Banjir Pahang, bilangan mangsa banjir di Kuantan pula ialah seramai 820 orang daripada 176 keluarga yang ditempatkan di sembilan pusat pemindahan. Katanya pada pukul 6 petang, 10 keluarga dari pusat pemindahan Sekolah kebangsaan Cherating Baru dan Pusat Bina Insan Jaya Gading telah dibenarkan pulang.

Mangsa lain ditempatkan di Balairaya Kampung Pahang, Sekolah Menengah Kebangsaan Paya Besar, Dewan Orang Ramai Kampung Semangat, Sekolah Kebangsaan Pandan, Balairaya Kampung Soi, Sekolah Menengah Gudang Rasau, Dewan Orang Ramai Sri Damai, Surau Kampung Sri Melati dan Sekolah Agama Al-Siddiq yang mencatatkan mangsa pemindahan paling ramai iaitu 235 orang daripada 49 keluarga.

Katanya, mangsa banjir di daerah Bera kekal 131 orang daripada 30 keluarga dari Kampung Paya Tateh yang ditempatkan di Kompleks Rakan Muda Kerayong.

- BERNAMA

Ahli Parlimen PAS Marang Bela Guru Wanita

Sesi pertanyaan jawab Lisan, 1 Disember 2009

- Soalan tambahan MP PAS Marang kepada soalan asal No. 2. Dato’ Seri Abdul Hadi bin Awang [ Marang ] minta MENTERI PELAJARAN menyatakan jumlah nisbah guru lelaki dan perempuan di sekolah-sekolah menengah khususnya di sekolah menengah kebangsaan di kawasan bandar dan pinggir bandar [1 Disember 2009]


Saturday, December 5, 2009

Sumbangan Cemerlang UPSR 2009 Bermula

DUNGUN 5 Disember Sabtu - Pelajar cemerlang yang memperolehi keputusan 5A UPSR 2009 baru-baru ini, telah menerima kunjungan Y.B.Ustaz Haji Wan Hassan Mohd Ramli, ADUN Sura di rumah ibubapa masing-masing.

Adik Mohd Rizauddin Bin Mohd Sabri dari Sekolah
Kebangsaan Pusat Dungun sedang menerima sumbangan

Petang tadi, Ustaz Haji Wan Hassan diiringi Ketua PAS Cawangan Tanah Lot, Encik Mohd Razali Haji Aman semasa menyampaikan sumbangan penghargaan kepada pelajar cemerlang UPSR di Kampung Tanah Lot.


Sumbangan kepada pelajar Sekolah Kebangsaan Bandar
Dungun,
adik Nur Nadhirah Syafiqa Binti Mohamad Musa

"Seramai 517,908 pelajar di seluruh negara telah mendaftar dan menduduki peperiksaan tersebut," satu kenyataan oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dipetik.

Menurutnya, seramai 510,125 orang atau 98.5 peratus calon adalah dari sekolah di bawah Kementerian Pelajaran dan sekolah bantuan kerajaan.

Katanya, baki seramai 7,783 orang iaitu 1.5 peratus merupakan pelajar swasta.

Tambah beliau, mereka menjalani UPSR di 8,289 pusat peperiksaan yang disediakan di seluruh negara.

Friday, December 4, 2009

Berjuanglah Untuk Menegakkan Agama Allah

by : http://presiden.pas.org.my

Orang yang memberi sumbangan harta benda pada jalan Allah SWT diberi pahala sampai kepada 700 kali ganda di mana kebiasaannya amal yang baik itu digandakan dengan 10 kali ganda tetapi pengorbanan harta benda kerana meninggikan agama Allah diberi pahala sampai kepada 700 kali ganda.

news menu righttop news photographyAllah Taala berfirman dalam al-Quran bermaksud : "Jangan kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan." (Al-Baqarah ayat 195)

Makna mencampakkan diri ke dalam kebinasaan ialah kamu tidak menjalankan tugas jihad. Tetapi ada manusia menyalahgunakan ayat ini. Mereka berkata, tidak ada gunanya kita berjuang untuk Islam nanti, kita akan dipenjarakan, ditukar tempat kerja atau dibuang kerja dan sebagainya sedangkan Allah Taala mengatakan jangan kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan.

Inilah cara bagaimana cakap-cakap yang berdalilkan ayat dengan cara yang salah kerana ayat ini mempunyai hubungan dengan menegakkan agama Allah SWT, bahkan orang yang tidak berani menegakkan agama Allah itulah orang yang mencampakkan diri mereka ke dalam kebinasaan.

Pernah diriwayatkan ketika orang-orang Islam berperang dalam rangka menawan kota Konstantinople (Istanbul, Turki) tiba-tiba orang Islam berdepan dengan tentera Rom yang terlalu ramai.

Ada antara orang Islam itu seorang pahlawan yang terlalu berani. Dia terus masuk ke dalam tentera Rom yang ramai secara bersendirian sehingga dia dibunuh oleh tentera Rom, lalu orang ramai mengatakan, kenapa dia sanggup membinasakan dirinya? Tidakkah Allah mengatakan dalam al-Quran : " Jangan kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan." (Al-Baqarah ayat 195)

Kebetulan di dalam peperangan itu ada seorang sahabat yang bernama Abu Ayub al-Ansari r.a iaitu sahabat yang diberi kelebihan ketika Rasulullah s.a.w berhijrah di mana baginda s.a.w bermalam di rumah sahabat itu sebelum baginda memiliki rumahnya sendiri di kota Madinah. Semasa Abu Ayub meniti usia tua, beliau juga hadir sama dalam peperangan dengan tentera Rom.

Apabila beliau mendengar seseorang membaca ayat tersebut, dia naik radang sambil berkata: "Wahai manusia! Sesungguhnya kamu telah mentakwilkan ayat ini dengan takwil yang begitu rupa. Sesungguhnya ayat ini diturunkan kepada kami golongan Ansar ketika kami telah mendapat ganjaran daripada Allah ketika Allah memenangkan agama-Nya dan ramai orang yang menolong agama-Nya maka berkatalah sesetengah kami terhadap sesetengah yang lain.

"Kami berbisik sesama kami dengan tidak diketahui oleh baginda Rasulullah s.a.w bahawasanya harta manusia sudah banyak. Kita ketinggalan dalam masalah harta benda kerana mementingkan jihad, tidak menguruskan kebun dan perniagaan dengan baik.

"Sesungguhnya Allah memberi kemenangan kepada Islam dan orang yang menegakkan agama Islam juga sudah ramai maka langkah sebaiknya kita semua tinggal di Madinah, tidak payah lagi berperang seperti biasa. Kita serahkan urusan jihad itu kepada orang lain kerana kita mahu membaiki dan menjaga kebun kita dan apa yang ketinggalan selama ini dalam harta benda, kita dapat mengatasinya semula."

"Justeru, Allah SWT menurunkan ayat ini kepada Nabi-nya sebagai menolak apa yang kami katakan:"Dan berbelanjalah kamu pada jalan Allah dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan."

Abu Ayub r.a adalah serorang sahabat yang berani di mana ketika dalam keadaan sakit beliau mewasiatkan supaya dikebumikan mayatnya di tepi kota itu (kota musuh), jangan dibawa pulang mayatnya ke Madinah. Ini kerana beliau mahu kuburnya dipijak oleh kuda-kuda tentera Islam yang meneruskan perjuangan Islam, menawan kota tersebut dari tangan musuh.

Orang Islam berjihad beratus-ratus tahun lamanya untuk menawan kota Konstantinople kerana kerajaan Rom Timur mempunyai teknologi yang kuat dan lebih daripada orang Islam. Mereka mempunyai berbagai-bagai senjata moden pada zaman itu antaranya mereka boleh melontarkan peluru api yang boleh bernyala di dalam air sehingga kapal-kapal tentera Islam terbakar.

Akhirnya Allah SWT memberi kurniaan kepada Sultan Muhammad al-Fateh iaitu Sultan kerajaan Islam Uthmaniyah yang memimpin tentera Islam dalam usia 20-an. Baginda diberi kelebihan yang dijanjikan oleh Rasulullah s.a.w bahawa baginda boleh menawan kota itu semula dan memimpinnya.

Setelah kota itu ditawan orang Islam, mereka menukar namanya kepada Istanbul dan gereja Es Sophia yang besar itu telah ditawan oleh orang Islam. Patung-patung yang dibina di dalam dan persekitarannya di buang serta ia ditukar menjadi masjid yang agung hingga ke hari ini.

Sehingga sekarang masjid itu dikenali dengan Masjid Al-Fateh atau Masjid Es Sophia tetapi sayangnya apabila Mustafa Kamal Ataturk berkuasa di Turki, dia telah menjadikan masjid itu sebagai muzium. Tetapi alhamdulillah setelah orang Islam kembali sedar, muzium itu ditukar semula kepada masjid.

Berdasarkan kepada ayat yang ditafsirkan ini dan berdasarkan kepada riwayat Abu Ayub, orang Islam boleh menunjukkan keberanian sehingga keperingkat mati menentang musuh yang lebih ramai jika sekiranya tindakan itu memberi semangat kepada tentera-tentera Islam yang lain.

Memang berlaku di kalangan orang Islam apabila hatinya terlalu kuat hubungannya dengan Allah SWT dengannya, yang dia nampak ialah balasan baik daripada Allah dan janjinya, apabila berlakunya hubungan langit dan bumi yang terlalu erat dan tidak ada pemisahan lagi, maka seseorang itu tidak akan takut lagi kepada mati.

Inilah yang pernah dinyatakan oleh ulamak sebagaimana yang disebut oleh as-Syahid Saiyid Qutb di dalam buku-buku tulisannya. Apabila bumi berhubung dengan langit, apabila hati itu bulat kepada Allah SWT, maka dia tidak mengira mati lagi dalam menegakkan diri dalam kebinasaan.

Kesimpulannya, mencampakkan diri ke dalam kebinasaan ini ialah ditujukan kepada orang yang tidak berjihad dan tidak memberi sumbangan harta benda serta jiwa raganya untuk meninggikan agama Allah. FirmanNya yang bermaksud : "Berbuat baiklah kamu, sesungguhnya Allah kasih kepada orang yang berbuat baik." (Al-Baqarah ayat 195)

Di antara berbuat baik itu ialah membelanjakan harta benda kepada menegakkan agama Allah SWT dan sesungguhnya Allah amat suka dan kasih kepada orang-orang yang suka berbuat baik.

--------------------------------------------------------------------------------------------

Dipetik daripada buku "Kuliah Tafsir, Tauhid Rububiyah dan Tauhid Uluhiyah", halaman 173-178, terbitan Dewan Muslimat Sdn Bhd, 1999.

Thursday, December 3, 2009

Lawatan ADUN Sura Ke Pusat Perpindahan Banjir

DUNGUN 3 Dis Khamis - ADUN Sura, Y.B. Ustaz Haji Wan Hassan Mohd Ramli telah melakukan lawatan ke pusat perpindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Bandar Dungun petang tadi. Lawatan beliau selaku Pengarah MTD Sura turut diiringi beberapa orang Ahli Jawatankuasa MTD Sura, Pemuda dan Muslimat. Isteri ADUN Sura, Puan Hajjah Siti Zaliha Mohd, turut serta menemui mangsa banjir semasa lawatan ini.


Berdasarkan catatan di papan kenyataan di pusat perpindahan tersebut, seramai 107 orang daripada 27 keluarga telah ditempatkan di situ yang terdiri dari 4 buah kampung, iaitu Kampung Batu 48 seramai 44 orang, Bukit Chatak 13 orang, Jalan Lembah 45 orang dan Teluk Lipat 5 orang.




Y.B. ADUN Sura turut menyampaikan sumbangan peribadi sempena kunjungan tersebut, beliau turut melahirkan harapan kepada pihak bertanggungjawab supaya menyegerakan penyelesaian berhubung permasalahan banjir di bandar ini.




" Adalah menjadi harapan yang tinggi kepada para penduduk di daerah ini sesuai dengan kenaikan taraf Dungun sebagai majlis perbandaran, seharusnya digembeleng segala kepakaran dan kemudahan yang ada untuk menyelesaikan masalah banjir ini, termasuk mencari jalan bagaimana untuk mewujudkan sistem perparitan yang mampu mengalirkan takungan air hujan di beberapa tempat yang sering ditenggelami akibat hujan berterusan." ujar beliau merangkap Yang DiPertua PAS Kawasan Dungun.

Wednesday, December 2, 2009

Jemaah Haji Malaysia Mula Pulang Esok

MEKAH, 2 Dis (Bernama) - Jemaah haji Malaysia mula pulang pada Khamis dengan penerbangan pertama dijadual berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz di Jeddah pada 7 pagi waktu tempatan (12 tengah hari waktu Malaysia).


Menurut jurucakap Tabung Haji di sini, pesawat sewa khas itu yang membawa seramai 450 orang jemaah haji dijangka tiba di KLIA pada 8.40 malam esok.

Penerbangan kedua pula dijangka berlepas pada 3 petang (8 malam waktu Malaysia) dan dijangka tiba di KLIA pada 7.55 pagi Jumaat.

Penerbangan terakhir yang membawa pulang jemaah haji Malaysia dijangka berlepas pada 2 Jan nanti.

Seramai 26,000 rakyat Malaysia menunaikan ibadat haji musim ini.

- BERNAMA

Tuesday, December 1, 2009

Amaran Hujan Lebat Di Dua Daerah Terengganu

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) - Hujan sekejap-sekejap dan kadangkala lebat dijangka berlaku di Marang dan Dungun sehingga esok dan boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah berdekatan tebing sungai.

Gambar hiasan ... persekitaran sebuah rumah di Bukit Gedup,
Pulau Serai, Dungun dinaiki air akibat hujan berterusan hari ini.

Dalam satu kenyataan Selasa, Jabatan Meteorologi hujan sekejap-sekejap dan kadangkala lebat dari semasa ke semasa juga dijangka turun di daerah Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Hulu Terengganu dan Kemaman di Terengganu dan di daerah Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang serta di daerah Mersing, Johor sehingga esok.

Angin kencang Timur Laut sehingga mencapai kelajuan 40-50km sejam dengan keadaan ombak setinggi 3.5 meter pula dijangka berlaku di perairan Condore dan Samui (Kelantan dan Terengganu) dari Jumaat sehingga Ahad ini.

Dengan itu, kawasan pantai di Kelantan dan Terengganu terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut sepanjang waktu tersebut.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora itu adalah berbahaya kepada bot kecil dan sukan laut, kata kenyataan itu.

- BERNAMA

Related Posts with Thumbnails

YB ADUN Sura Untuk Semua

 

Arkib Laman

Blog YB ADUN Sura © 2008 | Ripped by SamarQondy | Coordinated by Team IT DUN Sura