Tuesday, May 18, 2010

PAS Rancang Perluas Tapak Di Sabah Dan Sarawak

KUALA TERENGGANU, 18 Mei - PAS merancang untuk meluaskan pengaruhnya di Sabah dan Sarawak berikutan reaksi baik yang diterima parti itu sepanjang pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Sibu, kata Setiausaha Agungnya Datuk Mustafa Ali.


Beliau berkata PAS yakin masyarakat Sabah dan Sarawak semakin mengenali parti itu selepas melihat kempen yang dijalankannya semasa pilihan raya kecil Sibu yang berakhir pada Ahad lepas.

"Sehubungan itu, kita akan buka lebih banyak cawangan di sana (Sabah dan Sarawak)," katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Beliau berkata kemenangan DAP pada pilihan raya kecil itu juga memberi keyakinan kepada PAS untuk mengukuhkan tapaknya di kedua-dua negeri tersebut.

Diminta mengulas mengenai kedudukan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dikatakan menjadi liabiliti dalam pakatan pembangkang berikutan ramai pemimpinnya keluar parti, Mustafa berkata masalah itu adalah perkara biasa bagi sebuah parti baru.

"PKR bukan satu liabiliti. Biasalah, ianya parti yang masih belum stabil kerana parti baru. Macam PAS juga, mungkin bila dah lama nanti dan bila wakil rakyat yang jadi duri dalam daging semuanya dah keluar, ianya akan diterima," katanya.

Beliau juga menafikan PAS kini khususnya di Kelantan dan Kedah dilanda krisis dan berkata semua yang berlaku adalah mainan media semata-mata.

Sejak kebelakangan ini desas-desus mengatakan kerajaan Kedah yang diteraju PAS semakin goyah kerana beberapa wakil rakyat PKR didakwa akan bertindak keluar parti, sementara kerajaan PAS di Kelantan pula dilanda kemelut yang menyelubungi Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

sumber : bernama.com

0 komen:

Related Posts with Thumbnails

YB ADUN Sura Untuk Semua

 

Arkib Laman

Blog YB ADUN Sura © 2008 | Ripped by SamarQondy | Coordinated by Team IT DUN Sura