Wednesday, June 6, 2012

Stadium: Runtuh anjur Himpun & Ingat Jumaat ini


KUALA TERENGGANU:Badan Bertindak Menangani Isu Bangunan Runtuh (Runtuh) akan mengadakan program Runtuh & Ingat pada Jumaat, 8 Jun di pekarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak bermula jam 5 petang.

 Setiausahanya, Muhammad Zaidan Abdullah berkata ia sebagai mengingatkan kepada rakyat mengenai SSMZA yang runtuh pada 2 Jun 2009.

Jelasnya, program diisi dengan deklamasi sajak oleh SN Datuk A Samad Said, pidato rakyat, pimpinan masyarakat, NGO, pameran dan penyebaran risalah.

Katanya, pada 2 Jun 2009 yang lalu, Malaysia telah gempar dengan keruntuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak yang dibina dengan kos RM292 juta dalam tempoh tidak sampai setahun disiapkan.

Tambahnya, turut mendukacitakan rakyat Terengganu apabila keluar dari mulut seorang wakil rakyat di pihak kerajaan yang mengatakan ‘keruntuhan adalah satu rahmat’ kepada rakyat sedangkan, ianya adalah satu musibah.

Malah, katanya suatu kerugian kerana ianya melibatkan wang rakyat.

“Episod malang keruntuhan bumbung SSMZA seberat 2,500 tan dengan teknologi tanpa tiang dari Korea itu bukan sahaja tamat di situ, malah kita juga telah didedahkan dengan isu kecurian pelbagai peralatan di SSMZA yang dianggarkan berjumlah RM50 juta termasuk dua set janakuasa yang bernilai RM70,000 seunit,” katanya.

Jelasnya, Sabtu lalu, 2 Jun 2012 genaplah 3 tahun peristiwa memalukan itu berlaku, lebih memalukan apabila walaupun sudah 3 tahun, namun kerajaan negeri dilihat mengambil sikap lepas tangan dalam menangani isu ini.

Malah, ujarnya Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dilihat sentiasa cuba mengelak untuk berhadapan isu itu walaupun pada peringkat awal beliau mengatakan akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi menyelesaikan kes yang memalukan itu.

Katanya, kerja-kerja pembersihan sisa runtuhan hanya dilakukan selepas setahun berlakunya runtuhan (selesai akhir 2010).
Pada masa yang sama, ujarnya kerajaan negeri mengeluarkan kenyataan bahawa tender sudah dikeluarkan.

Namun, tambah beliau sehingga hari ini tiada apa-apa yang dilakukan terhadap SSMZA tersebut.

“Atas rasa tanggungjawab, dan kesal dengan sikap sambil lewa yang dilakukan oleh kerajaan negeri, maka Runtuh mengumumkan akan mengadakan satu himpunan aman bagi memperingati 3 tahun sudah berlalu dengan objektif utama memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kegagalan kerajaan negeri dalam menguruskan ‘Stadium Runtuh’ tersebut,” ujarnya.(hrkhdaily)



0 komen:

Related Posts with Thumbnails

YB ADUN Sura Untuk Semua

 

Arkib Laman

Blog YB ADUN Sura © 2008 | Ripped by SamarQondy | Coordinated by Team IT DUN Sura