Friday, November 13, 2009

Penyakit Taun Diisytihar Wabak Di Terengganu

KUALA TERENGGANU : Taun kini diisytiharkan sebagai wabak di Terengganu apabila bilangan pesakit yang mengalami gejala muntah dan cirit birit kronik yang dirawat di wad isolasi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini meningkat kepada 56 orang semalam, berbanding 20 orang kelmarin.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nordiyanah Hassan, berkata walaupun setakat ini hanya tiga daripada pesakit terbabit disahkan mengidap taun berdasarkan analisis sampel yang dibuat, tetapi penyakit itu diisytiharkan wabak selepas kes kematian pertama dicatatkan kelmarin.

"Sebagai persediaan dan langkah pencegahan awal, beberapa hospital di daerah lain juga sudah diarah membuka wad isolasi bagi menangani wabak daripada terus merebak.

"Jabatan juga sudah menghantar beberapa pegawai melaksanakan kerja mengambil sampel dan mengenal pasti punca wabak itu berlaku bagi membolehkan kerja pencegahan dapat dilakukan dengan lebih berkesan," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, semalam.

Dr Nordiyanah berkata, bagi memastikan wabak tidak menular dan dapat dikawal, Jabatan Kesihatan menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah pencegahan bagi memastikan mereka tidak mendapat jangkitan.

"Langkah yang perlu diambil termasuk mengelak makanan yang sudah tercemar dan tidak dimasak dengan sempurna, mengelak meminum air yang tidak dimasak, menjauhi premis perniagaan dan pengendali makanan yang tidak mengamalkan aspek penjagaan kebersihan yang baik dan jangan makan makanan yang sudah terdedah," katanya.

Sementara itu, tinjauan Berita Harian di wad isolasi HSNZ semalam mendapati, pekarangan wad sesak dengan waris pesakit yang ingin melawat tetapi tidak dibenarkan berikutan langkah pencegahan yang dilaksanakan hospital.

Sementara itu, waris pesakit, Wan Mohd Zaki Wan Abdul Rawi, 24, berkata dia akur dengan larangan hospital yang tidak membenarkannya bertemu ibu saudaranya di wad isolasi.

- Berita Harian Online

sebelum ini ... SEORANG MATI AKIBAT TAUN DI TERENGGANU

0 komen:

Related Posts with Thumbnails

YB ADUN Sura Untuk Semua

 

Arkib Laman

Blog YB ADUN Sura © 2008 | Ripped by SamarQondy | Coordinated by Team IT DUN Sura