Thursday, October 8, 2009

Ulasan PRK Bagan Pinang Oleh Naib Presiden

oleh DATO' TUAN IBRAHIM TUAN MAN

PRK Bagan Pinang memperlihatkan kesungguhan BN untuk memenanginya, bagi membuktikan seolah-olah rakyat masih menyokongnya. Dengan berbekalkan calon kitar semula yang penuh dengan palitan rasuah, penggunaan jentera kerajaan yang melampau, pengisytiharaan Bandar Tentera bagi menggula-gulakan pengundi tentera; antara modal bagi membuktikan ‘sokongan’ tersebut.


Sebagaimana biasa, UMNO menggunakan sepenuhnya media perdana bagi memburukkan PAS khususnya sejak hari pertama penamaan calon lagi. Serangan terhadap rakan komponan dalam pakatan, khususnya PKR dengan menggambarkan Anwar Ibrahim sebagai ‘pengkhianat bangsa’, PAS menentang pembangunan, jadi alat DAP dan sebagainya merupakan modal biasa yang didendangkan oleh UMNO dalam setiap PRK sebelum ini. Nampaknya UMNO masih gagal belajar dari kekalahan sebelumnya, menyebabkan rakyat melihat UMNO benar-benar berada dalam keadaan nazak, sebelum berakhirnya penguasaan mereka insyaAllah dalam PRU ke 13.

Dalam kebanyakan pertemuan dan ulasan melalui media, UMNO tepaksa menjawab persoalan calon rasuah yang menjadi isu utama dalam serangan pembangkang. Rakyat mula melihat apakah UMNO yang mempnyai 3 juta ahli sudah tidak ada calon yang lebih berwibawa untuk diketengahkan? Apakah pengundi di Bagan Pinang sanggup dilabelkan oleh rakyat Negeri Sembilan khususnya dan rakyat negara ini amnya bahawa mereka sanggup mencemarkan tangan mereka untuk memilih calon yang tidak bermoral, calon rasuah, untuk diangkat sebagai wakil mereka?

Saya melihat betapa naifnya politik UMNO dengan menurunkan calon sebegini. Kalau di Jepun atau mana-mana negara maju lainnya, usahkan nak dipamerkan muka sebagai calon dalam pilihanraya, nak keluar ke tengah-tengah masyarakat pun mereka akan rasa malu. Tetapi dalam BN calon ini diangkat sebagai wira, dicium tangan, disanjung dan dinobatkan sebagai tokoh.


Dalam usaha memerangi rasuah habis-habisan kononnya, BN mengemukakan calon untuk menjadi pemimpin. Para pengundi hendaklah memikirkan secara serius apakah tokoh sebegini yang akan mewakili mereka dalam Dewan Negeri; dan apakah ia boleh berperanan dalam dewan yang akan mencerca pelbagai isu pembangunan yang terbengkalai, kegagalan dalam era kepimpinan beliau; disamping berlakunya ‘pertembungan’ antara beliau dengan MB yang sedia ada. Hari ini isu beliau akan diangkat sebagai exco mula berbunyi di kalangan penyokong beliau, dan isu ini terus dinafikan oleh MB.

Lebih malang bagi UMNO pilihanraya kali ini mereka terpaksa berhadapan dengan pengundi kaum India di empat peti undi. Beberapa program bersama pengundi India yang diadakan dengan pelbagai pujukan terpaksa dibuat, bilamana para pengundi kaum India masih lagi terbayang bagaimana ‘kepala lembu’ dipijak-pijak dalam demonstrasi di Shah Alam. Gambar yang sangat mengejutkan mereka tersebar di kalangan para pengundi. Mereka tahu angkara siapa, dan siapakah dalang dalam peristiwa tersebut.

Akhir kalam, semoga kita semua diberi kekuatan dalam menghadapi PRK Bagan Pinang ini. Mantapkan gerak kerja, korbankan segala kepentingan diri dan panjatkan doa kepada Yang Maha Esa agar kemenangan menjadi milik kita..Insya Allah.

0 komen:

Related Posts with Thumbnails

YB ADUN Sura Untuk Semua

 

Arkib Laman

Blog YB ADUN Sura © 2008 | Ripped by SamarQondy | Coordinated by Team IT DUN Sura