Wednesday, October 21, 2009

ADUN Sura Ziarah Bakal Haji

AZAMIN AMIN
Wed | Oct 21, 09 | 3:58:33 pm MYT

KUALA LUMPUR, 21 Okt : Akibat senarai panjang, sesiapa yang mendaftar pada tahun ini untuk menunaikan Haji, hanya dapat melaksanakan rukum Islam ke-5 itu pada tahun 2020.

Sungguhpun demikian, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom, Tabung Haji tetap memberi keutamaan kepada bakal jemaah haji yang telah melewati usia 60 tahun dan warga emas supaya dipercepatkan proses untuk menunaikan Haji dalam jangka masa terdekat.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Panglima Abdul Ghapur Salleh (BN -Kalabakan) yang membangkit persoalan warga emas dan individu yang lewat usia yang tidak berkesempatan kerana meninggal dunia setelah sekian lama menunggu giliran begitu lama untuk menunaikan Haji.

Abdul Ghapur sebelum itu turut meminta Perdana Menteri menyatakan berapa banyak kuota Haji untuk rakyat Malaysia yang diperuntukkan oleh Kerajaan Arab Saudi pada tahun ini.

"Kerajaan Arab Saudi memperuntukkan kuota 1 peratus bagi jumlah penduduk sesebuah negeri.

"Oleh itu, bagi Malaysia jumlah kuota haji ialah 26,000," kata Jamil di Dewan Rakyat.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Nasharuddin Mat Isa (PAS-Bachok) kepada soalan asal Abdul Ghapur , Jamil menyatakan pihaknya sentiasa memantau perkembangan itu dan ada antaranya akibat kelewatan memohon visa di saat akhir, yang menyebabkan bakal jemaah haji sering kali terkandas dan tidak dapat ke Makkah.

Nasharuddin sebelum itu mahu tahu jumlah sebenar kes penipuan Agensi Jemaah Haji dan yang telah berjaya diselesaikan.

"Sebenarnya, penipuan agensi sering berlaku sejak dulu lagi dan terus berlaku ketika umat Islam menunaikan haji. Kita sentiasa memantau perkembangan itu dan akan ambil tindakan sewajarnya," kata Jamil menjawab soalan itu.

Semalam, rombongan pertama jemaah haji Malaysia telah berlepas ke Makkah pada pukul 7 pagi, di mana Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin antara yang berangkat ke Kompleks Haji Kelana Jaya untuk menghantar jemaah haji yang akan berlepas dengan penerbangan pertama itu.

Sejumlah lebih 350 orang daripada 26,000 jemaah haji berlepas dengan penerbangan pertama itu.

Dalam pada itu kerajaan Malaysia dan Arab Saudi telah mewajibkan semua jemaah haji mengambil suntikan Influenza A (H1N1) di mana Tabung Haji sendiri telah memperuntukan RM1.5 juta untuk suntikan H1N1 dan ia tidak termasuk dalam senarai suntikan percuma untuk jemaah haji.

Sementara itu, sebuah syarikat telah membekalkan 36,000 botol spray khas untuk kegunaan semua jemaah haji Malaysia.

Botol spray bersaiz kecil itu muat untuk dimasukkan ke dalam beg kantung jemaah haji dan boleh digunakan untuk berwudhu tanpa perlu meninggalkan tempat ibadat jika wudhu terbatal.

Ianya juga boleh digunakan untuk menyimpan air minuman atau sebagai penyembur muka jika cuaca terlalu panas. _

DI DUNGUN, YB Ustaz Haji Wan Hassan Mohd Ramli, ADUN Sura sempat meluangkan masa menziarahi bakal haji yang akan berangkat ke tanah suci, beliau turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada bakal haji yang dikunjungi.

Selain bertanya khabar, beliau turut berpesan agar masing-masing tidak mengabaikan menjaga kesihatan semasa berada di sana.

Beliau turut mengingatkan agar ahli keluarga yang ditinggalkan di Malaysia terutamanya anak-anak kecil, sepanjang ibubapa atau penjaga menunaikan ibadah ini mempunyai mahram dan saudara-mara yang boleh diamanahkan menjaga mereka berikutan kejadian pecah rumah dan kes-kes jenayah yang semakin berleluasa, yang tidak mengenal batasan usia.

YB ADUN Sura mengunjungi, bertanya khabar warga emas yang masih
menunggu jawapan dan berharap dapat menunaikan haji pada tahun ini

0 komen:

Related Posts with Thumbnails

YB ADUN Sura Untuk Semua

 

Arkib Laman

Blog YB ADUN Sura © 2008 | Ripped by SamarQondy | Coordinated by Team IT DUN Sura