Sunday, October 25, 2009

Bajet : " Andih, mari sekejap ", panggil Pandir

Oleh ZOLKHARNAIN ABIDIN

Baca sampai habis untuk mengikuti ulasan bajet sebenar.“Andih, mari sekejap”, panggil Pandir sambil menyedut rokok daun. Digentel-gentelnya putting rokok daun itu sambil disedutnya puas-puas. Asap daripada tembakau murah memenuhi ruang pondok penginapannya.



Andih mengejapkan ikatan kain batik lusuhnya. Dilempar penyapu lidi ke tepi. Panggilan Pandir tak disahut pun. Telinganya sudah mangli dengan panggilan begitu. Kalau tak disuruh urut betis tentu disuruh picit belakang. Itu fikir Andih.

Tapi, Pandir adalah suaminya. Baik buruk, busuk harum, itulah suaminya. Dunia sampai akhirat. Dia melangkah longlai sambil menatang segelas air sejuk. Walau tidak diminta, kasih kepada suami tetap mengatasi.

“Aku tengok TV di kedai Jusoh tadi. PM kita bagi ucapan…apa tu? Bejat? Eh, bajet…?” Pandir memulakan bicara. Andih dengar tak dengar.

“Kalau Pandir tak tahu…aku lagilah tak tahu.”

Getus hari Andih. Bagi Andih, bejat atau bajet serupa saja. Dia cuma fikirkan kepok beras dan ikan kering. Minyak masak dan bawang merah. Kalau itu semua ada di rumah, peduli apa dengan bejat atau bajet.

“Kau tahu Andih, pegawai kerajaan dapat bonus 500 ringgit…! Apa tu… potongan KWSP naik balik! Lagi…ah, aku tak kuasa nak ingatlah.”

Pandir menggaru-garu kepala. Matanya terkebil-kebil seperti cuba mengingati sesuatu.

“Ada lagi!, bejat… eh, bajet kali ini… kau tahu Andih, 1 Malaysia – Kemakmuran Bersama. Hah, Andih, cuba kau bayangkan, rumah kita seperti banglo kat atas bukit tu. Aku dapat pandu kereta macam si YB tu. Baju aku Andih, macam baju yang Najib pakai tu. Engkau pula Andih, baju engkau, subang engkau, mekap engkau…”

Kraak, pum. ..Pandir terhenti. Matanya melilau mencari sesuatu. Bunyi tu macam biasa dia dengar. Kerap benar rasanya.

“Bunyi apa tu Andih?” suara Pandir meninggi.

“Aduh, cepatlah tolong, kaki aku terperosok ke bawah ni.” Rayu Andih.

Mata Pandir terbeliak. Lantai dapurnya patah lagi. Entah kali keberapa. Dua bulan lepas, nyaris-nyaris Kasim JKKK bedebup jatuh ke tanah apabila dia terpijak lantai reput di tepi dinding. Nasib baik dia sempat pegang kain pelikat Pandir.

“Itulah, lain kali jalan tu kena hati-hati. Engkau pun tahu, lantai rumah kita ni semakin reput. Tapi kau jangan bimbang, tadi aku dah jumpa JKKK kat kampung kita ni. Dia kata lepas bejat… eh, bajet nanti, lantai rumah kita ni akan diganti.”

Pandir berleter berjela-jela, ala-ala PM bentang bajet.

Andih hanya mengaduh. Dia bangun lemah menuju ke tepi dinding. Minyak gamat Langkawi dicapai dan disapu ke betisnya perlahan.

Prem… premm…Andih hanya terhidu bau asap motor Pandir yang entah kemana.

Untuk ulasan bajet sebenar oleh Dr Dzulkefli Ahmad, sila baca di sini.

0 komen:

Related Posts with Thumbnails

YB ADUN Sura Untuk Semua

 

Arkib Laman

Blog YB ADUN Sura © 2008 | Ripped by SamarQondy | Coordinated by Team IT DUN Sura