Jimadie Shah Othman | Mar 4, 09 3:48pm |
kemaskini 4.51pm Istana Negara memberikan reaksi positif bagi menerima memorandum membantah pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), Sabtu ini. Persetujuan istana itu dianggap "kemenangan pertama" aktivis bahasa dan sastera dalam Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang menganjurkan perhimpunan besar ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum bantahan kepada Yang di-Pertuan Agong. Pengerusi GMP Datuk Dr Hassan Ahmad berkata istana tidak melarang majlis penyerahan memorandum tersebut. Beliau dimaklumkan Tuanku Mizan Zainal Abidin tidak berada di istana pada masa yang dijadualkan dan memorandum tersebut akan diserahkan kepada seorang pegawai bagi pihak baginda. Dr Hassan menambah, satu salinan memorandum tersebut telah disampaikan kepada istana melalui setiausaha sulit kanan Yang di-Pertuan Agong semalam. Memorandum lapan halaman itu diserahkan awal, tambahnya, sebagai makluman kehadiran mereka di istana, petang 7 Mac ini. GMP merancang berhimpun di tiga tempat di ibu negara – kompleks membeli-belah Sogo, Pasar Seni dan Masjid Negara – sebelum berarak beramai-ramai ke Istana Negara pada jam 2 petang. Mereka merancang berarak dalam pakaian putih sebagai lambang pembersihan PPSMI, tanpa sebarang logo, bendera dan simbol parti-parti politik walaupun GMP turut disertai PAS dan PKR. Selain Dr Hassan, Sasterawan Negara A Samad Said dan pemimpin pembangkang termasuk penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijadual hadir. Menjelang perhimpunan besar itu, GMP akan menghabiskan empat programnya di seluruh negara sebelum ceramah akhir di Markaz Tarbiah PAS di Taman Melewar, Gombak pada Jumaat ini. Pada mulanya, kata Hasni, GMP telah menghantar permohonan untuk mendapatkan permit berhimpun ke ibu pejabat polis persekutuan di Bukit Aman, Sabtu lalu. Bagaimanapun, katanya, mereka dinasihatkan supaya mengemukakan permohonan itu kepada di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi. sumber : Malaysiakini |
SELAMAT MENJALANI SESI BARU PERSEKOLAHAN
6 years ago
0 komen:
Post a Comment